Sunday, January 31, 2021

Berpada-pada! Kerjasama Dong Zong-OUM Mesti Selari Akta Pendidikan

Bendung segera pembangunan bahasa Mandarin yang tersasar taraf vernakular
BANGI – Meskipun jalinan kerjasama pertubuhan pendidikan radikal Cina, Dong Zong dengan Open University Malaysia (OUM) untuk membangunkan profesionalisme guru munasabah, namun usaha itu perlu selari dengan Akta Pendidikan 1996.

Terdahulu, portal berita berbahasa Cina, Kwong Wah melaporkan, Dong Zong kini bekerjasama dengan OUM untuk menjadikan bahasa Mandarin dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Tindakan itu untuk membolehkan guru bukan Cina yang berkhidmat di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan guru yang tidak mahir berbahasa Cina menerima latihan pendidikan profesional.

Difahamkan bahawa kursus pendidikan profesional ini adalah untuk meningkatkan kebolehan guru SMPC secara keseluruhan.

Katanya, Diploma Lepasan Ijazah dalam Pengajaran (PGDT) adalah kursus kelayakan profesional selama satu tahun yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk guru yang mendapat tawaran daripada OUM.

Kursus ini dirancang untuk pendidik yang belum memperoleh kelayakan pengajaran yang diiktiraf MQA dan ingin melanjutkan pendidikan dan latihan guru yang lebih profesional.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengingatkan bahawa dalam membangunkan bahasa lain di negara ini, hendaklah dipastikan tidak sesekali mengatasi pembangunan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.

“Dalam kes bahasa Mandarin ini, rakyat Malaysia, khususnya etnik Cina hendaklah sentiasa ingat bahawa ianya vernakular sahaja di negara ini, walaupun ia bahasa besar dunia selain bahasa negara di China.

“Dengan ini, pembangunannya hendaklah berpada-pada sahaja di Malaysia berdasarkan tarafnya sebagai hanya vernakular,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa sebarang pembangunan bahasa Mandarin di Malaysia yang didapati tersasar daripada taraf rasminya sebagai vernakular dalam Dasar Bahasa segera dibendung.

Tindakan sewajarnya juga perlu diambil supaya ia tidak berkembang di luar kerangkanya sebagai bahasa sukuan etnik Cina sahaja, walaupun diminati etnik lain.

Dalam Dasar Bahasa, bahasa Mandarin adalah vernakular, yakni bahasa sukuan bagi etnik Cina. Oleh itu, secara teorinya, ia digunakan dalam ranah keluarga dan komuniti itu sahaja.

Namun di Malaysia, ia ikut berperanan di peringkat negara apabila dibenarkan untuk digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). - ismaweb.net

Lihat juga....
Dong Zong, Jiao Zong perkukuh hubungan baik dengan China

Pengkhianat Tanah Rizab Melayu Harus Dilucut Kerakyatan

Rampas semula tanah demi kedaulatan undang-undang negara
BANGI – Hanya pengkhianat sanggup melakukan penyelewengan Tanah Rizab Melayu di Sitiawan, yang kini didakwa sudah berpindah milik kepada bukan Melayu.

Sebelum ini Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mendakwa, seluas 641.6 hektar Tanah Rizab Melayu di kawasan itu bertukar milik kepada orang bukan Melayu.

Dakwanya, tanah itu telah dipecah kepada 317 lot dengan 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan kini menjadi ladang kelapa sawit.

Beliau menegaskan pindah milik terhadap tanah yang asalnya digazetkan sebagai Rizab Tanah Melayu pada 7 Januari 1930 itu bercanggah dengan enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak mulai 2009 hingga 2013 itu mendakwa, perkara itu melibatkan sindiket dengan lebih mencurigakan kelulusan pecah kepada 317 lot itu hanya diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

Sekiranya dakwaan itu benar, rata-rata pengguna media sosial sebulat suara menggesa pihak berkuasa merampas semula Tanah Rizab Melayu itu dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terbabit

Netizen dikenali sebagai Mt Firdaus yakin isu ini berlarutan kerana penguatkuasa yang lemah dan tidak tegas.

Abdullah Bin Mansor menggesa pengkhianat dihukum dan tanah rizab itu dirampas semula demi kedaulatan undang-undang negara.

“Kalau tiada tindakan dari kerajaan, nanti akan ada pihak berlumba-berlumba mengaut tanah-tanah yang masih berbaki,” dakwanya.

Hukuman tegas turut disuarakan Asnawi Ma’dee bagi memastikan isu ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Amanah tak jaga, Melayu oh Melayu. Sebab duit, hukuman mati selayak bagi pengkhianat,” tegasnya.

“Pengkhianat wajib dihapuskan. Disebabkan ingin memenuhi keinginan dan kepentingan diri sendiri hingga sanggup korbankan hak bangsa dan agama,” demikian kata Mohamad Anas.

“Pengkhianat hanya direman lalu diikat jamin. Alangkah indahnya kalau mereka dibuang negara,” tulis Din Sa.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak mengesahkan menerima laporan daripada polis dan telah mengarahkan pasukan siasatan meneliti serta menyiasat kes berkenaan. - ismaweb.net

Siasat Modus Operandi Pindah Milik Tanah Rizab

PETALING JAYA: Modus operandi tukar hak milik tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu semakin banyak dan dilakukan dengan sangat halus bagi menghalalkan pemilikan yang sebenarnya tidak boleh berlaku.

Presiden Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu terbukti apabila semakin banyak aduan mengenainya diterima pihaknya.

“Kami masih mengesahkan aduan-aduan tersebut kerana tidak mahu membuat kenyataan palsu dan enggan menuduh tanpa bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Azmi, pihak berkuasa perlu bertindak segera mengenal pasti modus operandi digunakan pihak tertentu untuk menipu pemilikan tanah rizab Melayu.

“Ada tanah yang dimiliki bukan Melayu tapi rupanya ia tanah rizab. Ia dimiliki sebuah syarikat Melayu yang memegang saham 51 peratus tetapi apabila diperiksa yang membangunkan tanah itu bukan Melayu. Ada juga setinggan mendiami tanah rizab tetapi mereka terpaksa berpindah apabila ia didapati telah dijual kepada pemaju bukan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa, kebanyakan aduan mengenai perpindahan milik tanah rizab Melayu banyak membabitkan pengadu di Kedah, Perak, Johor, Pahang dan Selangor.

“Kebanyakan pindah milik berlaku di kawasan bandar antaranya di Kedah yang mempunyai banyak tanah rizab Melayu terutama di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar,” katanya.

Justeru, kata beliau, pihak berkuasa serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) perlu bekerjasama bagi menyekat `kerja jahat’ tersebut.

Beliau juga mahu Majlis Tanah Negara dan suruhanjaya khas memainkan peranan dalam melaporkan angka sebenar peratusan tanah rizab Melayu ketika ini.

“Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar pernah mendedahkan tanah rizab Melayu kini tinggal cuma 12 peratus dan keluasan tersebut disifatkan sangat kecil dan memeranjatkan.

“Ada juga kata ada tanah rizab yang diambil sudah diganti tetapi kita perlukan pengesahan tersebut,” katanya.

Menurut beliau lagi, peranan PTG sangat penting untuk tentukan nasib tanah orang Melayu manakala pihaknya cuma badan bukan kerajaan (NGO). - Utusan Malaysia

Saturday, January 30, 2021

Penyeliaan Kertas Siasatan....

Tiada tindakan hampir 7 bulan pendakwa raya bagi arahan tuduh, dedah ketua polis Johor
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai di ibu pejabat polis daerah, jika kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan berterusan.

Beliau memberi contoh tiada tindakan diambil pegawai penyiasat selepas hampir tujuh bulan mendapat arahan tuduh daripada timbalan pendakwa raya.

Katanya, hasil semakan dan pemeriksaan mengejut Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mendapati ada kelemahan penyeliaan kertas siasatan oleh ketua polis daerah dan ketua bahagian.

“Pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu tiada pengedaran dalam tempoh tiga bulan, selain tidak edarkan ke pejabat timbalan pendakwa raya, walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patologi,” katanya dalam teks laporan prestasi 2020 dan amanat.

Ayob Khan berkata, beliau akan menghantar pasukan khas dari IPK Johor membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah mulai bulan depan.

“Sekiranya masih terdapat kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan, sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semua akan dikenakan tindakan tatatertib. Tiada tolak ansur.

“Apa yang jelas di sini adalah kurangnya penyeliaan di peringkat daerah. Tuan-tuan semua (ketua polis daerah) berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing, sepatutnya tiada lagi alasan dan saya juga tidak mahu lagi menerima apa-apa alasan dalam konteks kelemahan penyeliaan di peringkat daerah.”  - freemalaysiatoday.com

Mengarutnya....Siapa tu?

Hamidah mengarut, melaga-lagakan polis, SPRM
IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menyifatkan kenyataan Datuk Hamidah Osman bahawa pihaknya dan polis ‘melayan’ isu tanah rizab Melayu ‘seperti bola’ sebagai cubaan untuk melaga-lagakan dua agensi berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu kononnya SPRM dan polis saling menuding jari adalah mengarut.

“SPRM tidak berpuas hati dengan cara Hamidah yang melaga-lagakan agensi kerajaan dengan mengeluarkan kenyataan yang karut kononnya pihak SPRM dan polis saling menuding jari.

“Tohmahan beliau terhadap SPRM polis adalah serius dan kami akan membuat laporan polis atas perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, dakwaan Hamidah itu juga berniat jahat dan berunsur fitnah.

“Pihak kami memaklumkan bahawa tindakan siasatan akan diambil dan kami tidak menyiasat mengikut arahan mana-mana pihak,” katanya,

Mengenai dakwaan Hamidah bahawa seluas 641.6 hektar tanah rizab negeri ini dipindah milik kepada bukan Melayu, Mohd. Fauzi berkata, SPRM sudah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“SPRM juga telah merakam percakapan saksi,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Hamidah yang mengibaratkan isu tanah rizab Melayu yang didedahkan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini `dilayan’ seperti bola apabila ditendang ke sana sini oleh polis dan SPRM.

Ini berikutan Hamiddah diberitahu siasatan kes itu telah dipanjangkan oleh polis kepada SPRM namun agensi penguat kuasa itu (SPRM) pula memaklumkan tidak menerima sebarang laporan.-UTUSAN ONLINE

Bangunlah Malaysia.....

Anonymous Malaysia beri amaran kedua
PETALING JAYA: Sekumpulan penggodam menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anonymous Malaysia’ memberi amaran kedua akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian menerusi #OpsWakeUp21.

Dalam video berdurasi 3 minit 17 saat, mereka memberi amaran sejak 2015, penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan WhatsApp, dengan menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka seakan-akan mereka melakukan jenayah.

Katanya, puncanya disebabkan penyedia perkhidmatan kerajaan dan swasta yang mengandungi data peribadi rakyat digodam serta dibocorkan sebelum data itu kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.

“Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami. Ada ahli politik dan pegawai kerajaan yang mengambil rasuah dan membiarkan ini berlaku,” dakwa rakaman suara itu.

Dalam video itu, Anonymous Malaysia menegaskan jika tiada tindakan diambil, netizen akan melakukannya.

“Kami tidak maafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” jelasnya.

Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan berikrar akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian melalui #OpsWakeUp21.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 atau 5 Akta Jenayah Komputer 1997 sekiranya perkara itu berlaku.

“Kita akan memantau sebarang aktiviti daripada mana-mana individu tidak bertanggungjawab yang cuba menggodam laman web kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Friday, January 29, 2021

Pemimpin Politik Kaya Tiada Integriti?

Saya tertarik dengan lontaran penganalisis politik Dr Muhammad Asri Mohd Ali bahawa UMNO hilang integriti kerana kebanyakan pemimpin UMNO dan exco Pemuda UMNO adalah jutawan sekaligus mencemarkan integriti parti.

Felo MPN yang juga pengkaji politik, Muhammad Asri Mohd Ali, menimbulkan persoalan tersebut ketika bertanya kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajidi bagaimana cara untuk melahirkan pemimpin yang dapat mempamerkan contoh etika dan akhlak baik seperti Canselor Jerman Angela Merkel, bagi melahirkan masyarakat yang tidak korup.

Dr Asri juga mendakwa, exco berkenaan tidak mungkin akan menang jika mereka bukan jutawan, malah mencabar Asyraf menamakan seorang individu bukan jutawan dalam barisan exco Umno.

Sebahagian kenyataan Dr Asri itu benar. UMNO telah berubah dari parti yang diurus oleh guru-guru kepada kumpulan mereka yang berjaya dalam perniagaan dan bidang profesional.

Suatu masa dahulu guru adalah antara kumpulan teratas dalam stratafikasi masyarakat Melayu kerana faktor pendidikan dan kewangan yang stabil. Ini kerana stratafikasi sosial orang Melayu pada masa tersebut meletakkan guru dan pagawai daerah antara tokoh masyarakat.

Zaman dahulu kalau hendak kahwinkan anak pun antara keutamaannya ialah guru, pegawai kerajaan, polis dan askar. Maka tidak hairanlah guru menguasai kepimpinan UMNO.

Namun zaman telah berubah. Orang Melayu telah maju dan berjaya dalam bidang perniagaan dan usahawan.
Kumpulan ini telah berada di bahagian atas stratafikasi sosial masyarakat. Malahan ada guru yang mula berniaga dan berjaya telah meninggalkan profesion mereka sekaligus menunjukkan kedudukan usahawan dalam masyarakat lebih tinggi.

Kejayaan kumpulan usahawan ini mengubah kehidupan diri, keluarga dan masyarakat setempat telah mengangkat status mereka.

Justeru seiring dengan perubahan zaman ramailah orang kaya mula menguasai kepimpinan UMNO. Ini adalah satu kejayaan UMNO.

UMNO berubah dari dipimpin oleh mereka yang hanya mempunyai kemahiran mengajar kepada mereka yang mempunyai kemahiran membuat perubahan dan berorientasikan kejayaan dalam hidup.

Bagaimanapun pandangan Dr Muhammad Asri tidak salah sepenuhnya. Ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang berperangai tidak senonoh, menjadi tamak haloba dan merosakan imej UMNO.

Namun ramai juga yang kaya sebelum memegang apa-apa jawatan dan menggunakan kekayaan mereka membantu parti di peringkat bahagian dan cawangan untuk terus bergerak.

Mereka juga membantu rakyat bawahan yang ditimpa musibah dan kesempitan hidup. Inilah tradisi budaya kerja-kerja politik UMNO yang bukan sekadar membuat dasar untuk negara tetapi menjadikan agenda kebajikan rakyat sebagai satu keutamaan.

Berbalik kepada ramai jutawan menjadi pemimpin UMNO. Realitinya adalah tidak masuk akal dalam dunia hari ini untuk UMNO memilih seorang Ketua bahagian yang makan gaji.

Jika seorang pemimpin mengharapkan sumber pendapatan dari orang lain, bagaimana beliau hendak memimpin dan membuat perubahan?

Malah saya berpandangan mempunyai Ketua Bahagian atau Exco pemuda yang kaya juga adalah satu kaedah memilihara intergriti. Apabila kaya mereka tidak mudah dijual beli atau digertak.

Jadi mengaitkan kekayaan pemimpin UMNO dengan ketiadaan integriti adalah tidak munasabah. Integriti ialah soal bagaimana individu menjaga akhlak dan perbuatan mereka. Tidak boleh digaul sekali seolah-olah kalau pemimpin UMNO kaya sahaja mereka mesti korup.

Dalam cabaran dunia hari ini, negara memerlukan pemimpin yang tahu menguruskan organisasi, ekonomi dan politik. Ini semua hanya boleh diperolehi dari mereka yang berjaya sebagai ahli perniagaan. Ahli perniagaan bukan sekadar kontraktor. Ia boleh jadi peguam yang berjaya menguruskan firmanya. Seorang doktor yang berjaya menguruskan perniagaan kliniknya juga adalah seorang usahawan.

Barangkali kerana keterbukaan itulah UMNO sentiasa menjadi kilang kepimpinan negara. Di sinilah muncul ramai individu yAang berjaya dan berpengalaman akhirnya memberi satu kepimpinan yang baik untuk negara.

Tuesday, January 26, 2021

Ebit Lew Sekali Lagi Jadi Tumpuan

PETALING JAYA – Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew, sekali lagi mencuri tumpuan netizen apabila kali ini menggerakkan misi bantuan membawa pelbagai barangan keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka serta komputer tablet ke Sabah.

Ebit Lew menerusi satu muat naik di laman Facebook miliknya hari ini memohon doa daripada orang ramai agar urusannya itu dipermudahkan.

“Doakan ya, misi bantuan ke Sabah. Saya bawa 1,000 set makanan, 100 kerusi roda, 75,000 keping pelitup muka serta 200 unit Samsung Tab bagi kegunaan pelajar di sana yang benar-benar memerlukan.

“Terima kasih. Terharu sangat dengan My Jet dan Zen Aviation yang menaja kapal terbang untuk kami. Semoga Allah S.W.T tambah rezeki buat MyJet. Terima kasih juga kepada Lapangan Terbang Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tidak mengenakan sebarang caj. Baik sangat semua,” luah pendakwah itu.

Tambah beliau, barangan berkenaan akan dihantar dahulu hari ini manakala beliau bersama pasukannya akan bertolak lusa dengan Malaysia Airlines (MAS).

“Saya hantar barang dahulu, penerbangan saya dijadualkan lusa dengan MAS.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada MAS kerana memberi kadar istimewa kepada pasukan kami. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Muat naik status yang dibuat setakat pukul 3 petang tadi itu telah mendapat 732 komen dan 935 perkongsian di laman sosial Facebook daripada pengguna yang rata-ratanya memuji dan mendoakan urusan pendakwah berkenaan. - kosmo.com

Sistem Dalam Talian Kerajaan Lemah

Anonymous Malaysia beri amaran serangan siber
KUALA LUMPUR ― Satu mesej berbaur amaran telah dikeluarkan membabitkan sistem keselamatan dalam talian pelbagai agensi milik kerajaan.

Memuat naik video ugutan tersebut di Facebook, akaun Anonymous Malaysia mengingatkan pihak berwajib bersedia berdepan kemungkinan berlaku aktiviti penggodaman melibatkan sistem dalam talian kerajaan.

Jelas pengendali akaun tersebut, tindakan itu sebagai 'pengajaran' berikutan kelemahan sistem keselamatan dalam talian negara ini sehingga menyebabkan maklumat peribadi pengguna terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Hello Malaysia. Ini adalah amaran kepada kerajaan Malaysia. Sudah tiba masa anda membuka mata setelah lama kami berdiam diri. Bersedialah. Kami tidak memaafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” katanya.

Jenayah siber melibatkan penggodaman sistem dalam talian di negara ini bukan suatu yang baharu.

Sebelum ini, pelbagai kes berlaku membabitkan penggodaman sistem dalam talian dan laman web agensi berkepentingan kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun lalu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang mengakui terdapat usaha berterusan pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa cuba menggodam maklumat Kementerian Keselamatan Pertahanan dan ATM.

Terdahulu, Anonymous Malaysia mendakwa kelemahan sistem dalam talian negara ini menyebabkan lebih 46 juta data peribadi pengguna terdedah kepada pelbagai sindiket.

Ia berikutan kecuaian dan tidak peka kepada persekitaran teknologi sehingga membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan jenayah siber.

“Sistem keselamatan anda lemah, semua data mungkin sudah terdedah. Ini menyebabkan penggodam boleh menjual maklumat.

“Banyak kes didapati data syarikat telekomunikasi telah terdedah lebih 46 juta dan ini menyebabkan berlaku kegiatan jenayah scam,” katanya lagi. - projekmm.com

Monday, January 25, 2021

China Luluskan Undang-Undang Pengawal Pantai, Malaysia Berhadapan “Masalah Besar”

Malaysia akan menghadapi masalah besar dengan Undang-Undang Pengawal Pantai China (Coast Guard Law) yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kongres Rakyat negara itu, badan pengubal undang-undang tertinggi China.

Undang-undang kontroversi itu yang diluluskan hari ini memberi kebenaran kepada kapal-kapal pengawal pantai China untuk menembak mana-mana kapal asing (yang memasuki perairan yang didakwa sebagai miliki China).

Ia (undang-undang pengawal pantai) memberi kebenaran kepada China untuk “mengambil apa-apa tindakan bersesuaian) untuk menghentikan atau mencegah ancaman daripada kapal-kapal asing.

Selain itu, undang-undang terbabit juga membenarkan anggota pengawal pantai China untuk merobohkan apa-apa struktur yang dibina di atas terumbu yang didakwa China sebagai miliknya dan menaiki (boarding) serta memeriksa mana-mana kapal asing yang berada di perairan yang Beijing dakwa sebagai miliknya. Undang-undang Pengawal Pantai China itu juga membenarkan pengwujudan “zon larangan” (exclusion zone) untuk mengelak kapal-kapal asing dan krew mereka daripada memasukinya.

Beting Patinggi Ali ini terletak di dalam perairan Sarawak tetapi dianggap oleh China sebagai wilayahnya yang paling selatan.

Mengapa admin kata Malaysia akan berhadapan masalah dengan undang-undang ini?

Ok, bayangkan kapal-kapal atau nelayan kita yang mahu menangkap ikan di Beting Patinggi Ali atau Pulau Layang-Layang yang China dakwa sebagai milik mereka di bawah “Nine Dash Line.” Di bawah Undang-Undang Pengawal Pantai China ini mereka boleh ditembak kerana memasuki perairan China.

Nelayan kita yang mahu ke Beting Patinggi Ali atau mana-mana pulau yang didakwa China sebagai miliknya (walaupun ia terletak di belakang rumah kita) boleh ditembak, ditangkap oleh anggota kapal-kapal pengawal pantai negara itu dan mungkin dibawa balik ke China untuk dibicarakan.

Akhirnya, merengkok 20 tahun dalam penjara China.

Apa akan jadi kepada resort di Pulau Layang-Layang dan apa-apa struktur yang kita bina di Pulau Layang-Layang dan terumbu karang lain di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh China? Ya kemungkinan besar ia akan dirobohkan oleh China sebagaimana yang dibenarkan di bawah undang-undang China itu.

Peruntukan “zon larangan” (exclusion zone) di bawah undang-undang China ini boleh menyebabkan kita bakal “kehilangan” pulau dan terumbu-terumbu karang yang telah kita duduki sekian lama dan menganggapnya sebahagian daripada Malaysia.

Undang-Undang Pengawal Pantai yang diluluskan oleh China hari ini adalah suatu undang-undang yang menghalalkan penjajahannya terhadap negara asing.

Jika kita tidak berbuat sesuatu untuk menentang undang-undang pengawal pantai China, kita sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada sebahagian besar perairan kita di Laut China Selatan (yang dituntut oleh China).

Ini adalah suatu undang-undang extra-territorial yang sudah semestinya tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, walaupun jurucakap kerajaan China Hua Chunying sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters berkata, undang-undang pengawal pantai itu selaras dengan undang-udang antarabangsa.

Tetapi apa opsyen yang kita ada?

Jika China “park” kapal-kapal pengawal pantainya yang setiap satu beratnya mencecah 10,000 tan-12,000 tan di Beting Patinggi Ali atau Pulau Layang-Layang dan tidak membenarkan kapal atau bot nelayan kita menghampirinya, apa yang boleh kita buat. –DSA

Apabila Pemimpin Hanya Pentingkan Politik....

‘Kalaulah semua wakil rakyat macam Ebit Lew’
“Kalau semua atau sebahagian wakil rakyat seperti Ebit Lew, selesai masalah.” Itu seloroh penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar.

Namun, katanya, perkara itu tidak berlaku kerana ramai pemimpin dikatakan lebih mementingkan politik daripada betul-betul menyelami dan membantu rakyat memerlukan bantuan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Menurutnya, wakil rakyat perlu segera melupakan seketika soal politik, sebaliknya mencari pendekatan dalam membantu rakyat yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

Katanya, ramai mengeluh khususnya penduduk di kawasan luar bandar mengenai kesukaran anak-anak belajar secara dalam talian kerana tidak mempunyai kemudahan gajet yang sesuai dan mencukupi terutama bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.

“Selain kerajaan, wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing perlu memainkan peranan bukan hanya buat ‘live’ di Facebook bercakap politik sahaja. Sekarang ini, masalah berkaitan isu pendidikan terutama dalam soal proses pembelajaran di rumah ini perlu segera diberikan perhatian.

“Mungkin wakil-wakil rakyat ini boleh sediakan pusat khidmat masing-masing dengan menyediakan kemudahan peranti dan internet. Saya faham, hendak membantu semua penduduk di kawasan masing-masing dengan memberi kemudahan komputer riba dan internet agak mustahil dilaksanakan namun satu pendekatan terbaik mesti dicari.

“Selain dana diterima untuk kawasan, mereka juga boleh berusaha cari dana sendiri bagi membantu penduduk yang memerlukan ini. Mereka kena cari apa juga pendekatan dan kurangkan berpolitik. Kalau semua macam Ebit Lew, saya rasa selesai masalah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Rusdi berkata, di peringkat universiti sahaja lebih 70 peratus penuntut terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sudah pasti murid serta para pelajar di sekolah jauh lebih ramai dalam golongan berkenaan.

Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan termasuk berbincang dengan guru-guru atau persatuan ibu bapa termasuk mereka yang di kawasan luar bandar agar input yang diperolehi itu lebih menyeluruh. – UTUSAN

Mana Wakil Rakyat, Sampai Bila Nak Harapkan Ebit Lew?

PETALING JAYA: Sesi persekolahan yang baharu bermula melalui kaedah pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) menimbulkan polemik terutama berkaitan masalah ketiadaan peranti dalam kalangan murid kurang berkemampuan serta isu capaian internet yang lemah.

Kedua-dua isu itu bukanlah perkara baharu malah berlanjutan sejak negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu sehingga sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terpaksa ditutup.

Kini hal yang sama timbul lagi namun lebih hangat diperkatakan selepas baru-baru ini pendakwah bebas, Ebit Lew memuat naik gambarnya dalam media sosial bersama 100 tablet untuk diberikan kepada murid dan pelajar yang benar-benar memerlukan peranti tersebut untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Bantuan dan sumbangan Ebit itu menimbulkan persoalan, di manakah peranan wakil-wakil rakyat, adakah mereka tidak ambil kisah masalah yang sedang dihadapi masyarakat?

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain berkata, sumbangan tradisi seperti baju sekolah dan sebagainya daripada ahli Parlimen dan ADUN wajar dihentikan buat sementara memandangkan keperluan pelajar pada masa ini adalah komputer riba, telefon pintar dan data internet.

“Setiap wakil rakyat mempunyai peruntukan masing-masing, dahulu sumbangan baju sekolah adalah antara yang kerap disalurkan.

”Namun dalam keadaan kebiasaan baharu ini keperluan pelajar berubah yang mana mereka lebih memerlukan gajet yang sesuai bagi mengikuti sesi PdPR,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai keluhan ibu bapa dan pelajar yang mengalami kesukaran untuk meneruskan sesi PdPR akibat ketiadaan gajet yang sesuai.

Selain itu, ibu bapa juga terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi memandangkan data internet masih mahal di negara ini.

Pengerusi Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daerah Barat Daya, Pulau Pinang, Ismail Kassim turut mendesak semua wakil rakyat daripada pelbagai parti politik berganding tenaga membantu menyediakan kemudahan peralatan peranti seperti gajet kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan.

“Hentikan perbalahan atau perbandingan parti politik sedia ada demi masa depan anak bangsa. Cari inisiatif atau jalan terbaik bagi menyediakan kemudahan gajet atau komputer riba untuk digunakan mereka dalam sesi pembelajaran online,” katanya.

Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa pula berkata, kerajaan negeri dan wakil rakyat sepatutnya mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti ibu bapa yang perlu dibantu dalam menyediakan peranti untuk kemudahan anak-anak mereka mengikuti PdPR.

Menurutnya,mereka sepatutnya menyediakan peruntukan khas untuk keluarga yang kurang berkemampuan membeli gajet sekurang-kurangnya satu gajet sebuah keluarga untuk kemudahan anak-anak.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pihak kerajaan dan wakil rakyat sepatutnya membantu menyediakan kemudahan WiFi di pusat komuniti di kawasan-kawasan yang mempunyai masalah capaian internet yang lemah.

Katanya, pelajar di kawasan tersebut boleh memanfaatkan kemudahan internet itu di pusat komuniti untuk mengikuti sesi PdPR dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kehadiran terhad pada satu-satu masa.

Bagi Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kedah, Zainol Abidin Mohamad, ini merupakan masa terbaik buat kalangan ahli politik menjadi juara rakyat dengan tampil memberi bantuan.

Terdahulu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kementerian Pendidikan digesa mendapatkan peruntukan khas bagi membantu keluarga pelajar yang terkesan untuk mengikuti kaedah PdPR.

Di SEREMBAN, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan bantuan komputer riba selain menyediakan kemudahan pembelajaran lengkap dengan komputer dan capaian internet di tempat awam seperti balai raya.

Sementara itu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya juga menyedari tentang kebimbangan ibu bapa mengenai tahap pendidikan anak-anak selepas sekolah ditutup terutama yang tidak mempunyai gajet di rumah masing-masing.

“Untuk merapatkan jurang digital ini, pejabat saya telah memulakan inisiatif mengumpul komputer terpakai untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang mampu. Sejak dimulakan hampir 500 buah komputer telah diserahkan melalui pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN

Bumi Dipijak Milik Orang!

Mukadimah
Mengejutkan! Itu gambaran yang boleh diberi susulan pendedahan melalui wawancara eksklusif ini. Ceritanya, Mingguan Malaysia pada minggu lalu diberitahu, ada satu sindiket telah menyeleweng 1,604 ekar tanah rizab Melayu di Sitiawan, Perak.

Mendengar sahaja perkara itu, beberapa pertemuan diatur dengan pasukan forensik tanah yang terlibat menyiasat penyelewengan ini. Ia dipengerusikan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak mulai 2009 hingga 2013.

Melalui beberapa sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak mereka, akhirnya Hamidah bersetuju berkongsi butiran serta bukti-bukti termasuk dokumen, dalam wawancara ini.

Ikuti temu bual ini, yang disertai wartawan Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub serta jurugambar Amir Khalid, yang bertempat di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kuala Lumpur.

MINGGUAN MALAYSIA: Ada pembongkaran yang nak dibuat melalui wawancara ini?
HAMIDAH: Hari ini saya nak buat pendedahan mengenai satu sindiket. Ada tanah rizab Melayu seluas 1,604 ekar dipindah milik kepada bukan Melayu yang saya lihat perkara ini dibuat secara tak sah kerana bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Kenapa kaitkan dengan sindiket?
Sindiket ini biasanya kita gunakan sebagai berkumpulan. Untuk kes yang kita bongkar ini, ia bukan kerja seorang. Ia memerlukan satu pasukan ataupun ia melebihi satu orang. Ini kerana proses yang dilalui bukanlah proses mudah. Yang kalau proses yang ketat terutamanya dari segi pemilikan tanah boleh dibolosi, ia pastilah merupakan satu sindiket.

Apa yang dilakukan kumpulan ini?
Tanah ini asalnya digazetkan sebagai rizab Tanah Melayu pada 7 Januari 1930, melalui gazet kerajaan bernombor 488. Carian rizab ini kita peroleh melalui Jabatan Arkib Negara. Dalam dokumen rizab 1930 itu, bertajuk F.M.S Government Gazette, British telah merizabkan tanah seluas 42,000 ekar tanah ini untuk menjadi tanah rizab Melayu.

Di mana kedudukan tanah ini?
Di mukim Sitiawan, daerah Manjung, Perak.

1,604 EKAR DIPINDAH MILIK
Apa berlaku terhadap tanah rizab itu?
Pada 21 November 1997, Kerajaan Negeri Perak dalam Borang 11AK, mengeluarkan Hak Milik Sementara bernombor 12676 kepada sebuah syarikat iaitu Ladang Mara (M) Berhad, iaitu tanah seluas 1,604 ekar dengan nombor lot 17527. Ia terletak di mukim Sitiawan dalam daerah Manjung, Perak. Merujuk satu memorial yang tercatat, tanah tersebut merupakan sebahagian daripada tanah seluas 42,000 ekar, yang digazetkan melalui gazet kerajaan bernombor 488 seperti disebut tadi.

Apa maksud memorial, dan apa lagi tercatat dalam memorial itu?
Memorial di sini merujuk satu catatan penting, yang mengesahkan tanah itu sebahagian daripada tanah rizab Melayu. Untuk makluman juga, memorial itu dengan jelas menyatakan ‘Pengisytiharaan Rizab Melayu, Dalam Kawasan Rizab Melayu Sitiawan, Bernombor Pemberitahuan Warta 488’. Ini bermakna, tanah 1,604 ekar itu adalah sebahagian daripada tanah rizab Melayu yang digazetkan pada 1930 dahulu.

MEMORIAL RIZAB MELAYU DIHILANGKAN?
Kemudian apa berlaku?
Selepas pengeluaran Hak Milik Sementara itu, pada 3 Februari 2005, pihak berkuasa negeri mengeluarkan satu Pajakan Negeri. Ini dibuktikan melalui Borang 5CK bernombor 174772 kepada tanah yang sama iaitu lot 17527. Tapi malangnya kita dapat kesan daripada pajakan negeri yang kita buat carian ini, didapati memorial seperti yang dicatat pada Borang 11AK, iaitu ‘Pengistiharaan Rizab Melayu’ itu sudah hilang. Di sinilah kita musykil, bagaimana perkara yang amat penting, iaitu rizab Tanah Melayu boleh hilang dengan tiada sebarang prosedur yang dibuat melalui enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara.

Maksudnya, ia sengaja dihilangkan?
Apa yang pasti, ia sudah tiada dalam Borang 5CK itu. Yang pelik lagi, tanah ini pula telah bertukar hak milik daripada Ladang Mara (M) Berhad, telah ditukar kepada satu syarikat lain. Ini juga satu kecurigaan, bagaimana tanah itu boleh ditukar semudah itu.

SURAT DARI PEJABAT KERAJAAN
Apakah ada kemungkinan pejabat tanah tahu hal ini?
Kalau kita lihat, selepas itu, pada 5 Januari 2011, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung mengeluarkan surat kelulusan bertajuk ‘Permohonan Pecah Sempadan Tanah Bagi Hakmilik PN174772 Lot 17527 Mukim Sitiawan, Daerah Manjung’. Surat itu untuk pecah sempadan, maksudnya pecahkan lot ini daripada satu lot besar bersaiz 1,604 ekar dipecah menjadi 317 lot bersaiz lima ekar setiap lot. Lebih mencurigakan lagi, kelulusan ini hanya diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG). Ini lagi satu benda yang bertentangan dengan Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Kenapa?
Hal ini kerana, mengikut akta tersebut di bawah Seksyen 214A, jelas menunjukkan bahawa sebarang pindah milik, dipindah hak atau dilupuskan, harus melalui dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Tanah Estet Negara.

Apa fungsi lembaga ini?
Untuk makluman, tanah estet merupakan tanah yang melebihi 100 ekar, maka itu dipanggil tanah estet. Maknanya, tanah yang melebihi 100 ekar, perlu dibawa kepada Lembaga Tanah Estet Negara untuk kelulusan pindah milik, dipindah hak atau dilupuskan.
Ini saya nak beritahu, saya rasa sejak saya menjadi Exco saya tidak pernah dengar wujudnya Lembaga Tanah Estet Negara dalam kerajaan. Dimaklumkan mengikut Seksyen 214A, Lembaga Tanah Estet itu mestilah terdiri daripada Setiausaha Negeri sebagai Pengerusi, Pengarah Pejabat Tanah Galian sebagai Setiausaha dan perlu ada empat lagi anggota yang dilantik Pihak Berkuasa Negeri yang mesti dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Berbalik kepada isu surat PTG, apa lagi dalam surat itu?
Jadi di sini kita lihat satu perkara yang bertentangan dengan Akta Kanun Tanah Negara, kerana dalam surat ini, dimaklumkan kelulusan hanya melalui Pejabat Daerah dan Tanah Manjung sahaja, dan bukan melalui Lembaga Tanah Estet Negara seperti di peruntukan dalam Seksyen 214A, Akta Kanun Tanah Negara.
Ini satu perkara yang mencurigakan, malah hal menjadi lebih ketara apabila surat ini ditandatangani oleh bagi pihak (wakil) Pentadbir Tanah Manjung. Ini bermaksud, ia bukan ditandatangani oleh Pentadbir Tanah itu sendiri, sebaliknya hanya wakil. Kemudian kita dapati banyak lagi perkara tak konsisten dalam surat itu, seolah-olah ia disiapkan secara tergesa-gesa.

BUMI DIPIJAK MILIK ORANG
Apa berlaku selepas surat itu?
Susulan kelulusan itu, syarikat ini telah mula menjual kepada individu, lot-lot yang berjumlah 317 lot tadi. Tetapi, lagi satu kemusykilan di sini, apabila syarikat itu didapati merupakan syarikat bukan Melayu, yang mana merujuk Borang 14A Pindah Milik Tanah, Bahagian atau Pajakan, Pengarah syarikat itu seorang berbangsa Cina.

Itu bukan nama orang Melayu?
Ya benar, bukan nama Melayu. Sepatutnya tanah ini, daripada Ladang Mara (M) Berhad yang dipindah kepada syarikat berkenaan, haruslah pengarah syarikat itu juga orang Melayu. Tapi di sini kita lihat semasa memohon untuk menjual tanah tersebut, tuan punya tanah atau pengarah syarikat yang memiliki tanah itu, ditandatangani oleh orang Cina.

Tindakan pihak Datuk selepas itu?
Pasukan forensik tanah kami kemudian buat carian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang terakhir dibuat bertarikh 10 Julai 2020, syarikat ini, ahli lembaga pengarah mereka semua terdiri dari kalangan bukan Melayu, begitu juga dari segi pemilikan saham syarikat itu, yang dimiliki oleh semua orang bukan Melayu.
Kemusykilan kita bagaimana tanah rizab Melayu telah ditukar kepada syarikat ini yang semasa proses penjualan 317 lot itu, ditandatangani oleh pengarah syarikat yang bukan Melayu. Lebih malang lagi, ia dijual pula kepada 317 pembeli, yang mana semuanya bukan pun orang Melayu.

Apa bukti semua 317 bukan dimiliki orang Melayu?
Kami telah membuat carian di Pejabat Tanah dan Galian, iaitu carian bertarikh 23 September 2020, dan memang daripada apa yang kami dapat daripada carian itu, semua 317 lot ini, hari ini telah pun dimiliki oleh orang bukan Melayu. Malah, ada lagi perkara yang lebih ganjil.

Apakah perkara itu?
Yang lebih ganjil, bagaimana ketika kami membuat carian persendirian ini, keluarlah pula balik memorial ‘Pengisytiharaan Rizab Melayu’, seperti mana tercatat dalam Borang 5CK bernombor 174772 yang dikeluarkan pada 3 Februari, 2005 lalu.
Dalam carian itu, pihak tertentu meletakkan status ‘Pengisytiharaan Rizab Melayu’ tanpa meletakkan pemberitahuan warta dan sebagainya bernombor 488.

DALANG SINDIKET
Siapa yang terlibat?
Saya tidak boleh terus menuduh siapa terlibat sindiket ini, tetapi kita sudah laporkan kepada polis pada 24 September 2020. Yang mana kita minta polis menyiasat perkara ini sebab walaupun kita nampak ada unsur-unsur penyelewengan tetapi apa yang kita nak, kita mahu polis menyiasat dengan teliti, siapakah yang terlibat dalam penyelewengan ini.
Kita sudah nampak ada penyelewengan. Tapi untuk mengetahui siapakah yang melakukan penyelewengan itu, itu adalah tugas polis untuk melaksanakannya.

MENTERI BESAR, EXCO
Sejauh mana kerajaan negeri dan Menteri Besar ambil tahu kegiatan sindiket ini?
Itulah masalahnya sekarang. Saya rasa bukan hanya berlaku di negeri, malah berlaku di Pusat. Mungkin pertimbangan mereka berlebih ke arah isu politik, dan isu yang macam ini mereka tak ambil hal sangat.
Ketika isu ini dan laporan dibuat pada September 2020, Menteri Besar masih Datuk Seri Faizal Azumu dan hari ini Menteri Besar pun dah bertukar, tapi feedback daripada laporan saya masih tiada tindakan atau maklum balas atau makluman dari pejabat Menteri Besar.

Adakah barisan Exco terutama yang memegang portfolio tanah maklum perkara ini?
Untuk kes 1,604 ekar ini, bila dalam urusan pecah tanah atau pun kita panggil sub-divide, ia tidak melibatkan Pihak Berkuasa Negeri atau Exco.
Ia hanya di peringkat pejabat tanah sahaja, tetapi ada kes-kes juga yang melibatkan Exco. Yang itu kita akan buat pada pendedahan lain. Untuk kes ini, kes pecah sempadan ia hanya dilaksanakan di pejabat tanah sahaja.

PASAL PEJABAT TANAH
Bagaimana dengan pihak Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah?
Saya ada membuat satu kunjungan khas kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, kepada Pengarah. Kami maklumkan penyelewengan ini. Malangnya saya melihat perkara ini tidak diambil serius dan beliau hanya mengatakan bahawa ini merupakan satu kesilapan. Dia kata pada saya, Datuk sebagai manusia kita, born to make mistake.

Maksudnya itu kesilapan pihak PTG tidak disengajakan?
Itu yang saya katakan. Kita berasa kecewa sebab sepatutnya bila perkara ini kita dedahkan atau kita maklumkan pada dia, dia sepatutnya ambil serius bagaimana 1,600 ekar tanah boleh terlepas ke tangan bukan Melayu kerana kesilapan dari PTG. Tapi dia mengambil ringan. Itu yang menyebabkan kami tidak berpuas hati sehinggakan pasukan forensik saya membuat keputusan perkara ini kita mahu bawa ke mahkamah.

CAMPUR TANGAN POLITIK?
Sejauh mana kemungkinan wujud campur tangan politik dalam penyelewengan ini?
Saya tak berani nak mengatakan sama ada wujud atau tak wujud, mungkin ada, mungkin tiada.
Mungkin ada tekanan dari orang politik kepada pegawai kerajaan, itu sesuatu yang bersifat subjektif. Itu sebab kita minta benda ini disiasat serius. Sebab bila kita buat laporan polis, ini perlukan siasatan rapi melibatkan polis dan sebagainya jadi kita minta perkara ini didedahkan, atau sekurang-kurangnya ditangani lah.

ISU SANGAT SERIUS
Adakah isu seleweng tanah rizab Melayu ini berlaku di tempat lain? Berapa luas tanah rizab melayu sudah ‘disapu’ sindiket?
Sebab itu saya berterima kasih kepada Mingguan Malaysia untuk membuat pendedahan ini, kerana kita mahu wujudkan kesedaran kepada orang awam. Bukan sahaja kepada rakyat, tetapi kepada pucuk pimpinan parti politik jika benar mereka sayang kepada agama, bangsa dan negara juga kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan untuk melihat perkara ini.

Sebab saya yakin seperti yang saya katakan tadi dalam kes di Perak, baru satu kes yang kita tengok daripada 42,000 ekar, 20,000 ekar tanah sekarang ini yang kita sudah kesan telah berpindah milik tetapi masih berstatus tanah rizab Melayu, tetapi pemiliknya bukan orang Melayu. Perkara ini juga tidak mustahil berlaku di negeri lain. Kita nak perkara ini didedahkan kepada masyarakat.

Di mana kelemahan sampai rizab tanah Melayu boleh diseleweng?
Kita pun agak kecewa sebab setahu kita mungkin hampir 90 peratus kakitangan awam dalam pejabat tanah ialah orang Melayu. Sepatutnya perkara ini sensitif, dan kalau sekiranya benarlah ada penyelewengan yang dilakukan oleh bangsa kita, ini amat menyedihkan kerana satu amanah yang kita letak pada bangsa kita sendiri tak boleh dijaga. – Mingguan Malaysia

Sunday, January 24, 2021

Tanah Rizab Melayu Hilang

KUALA LUMPUR: Seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak didakwa telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hami­dah Osman mendedahkan, sindiket itu menyasarkan tanah di daerah Sitiawan yang telah digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1930.

“Tanah ini asalnya diwartakan sebagai rizab Melayu pada 7 Januari 1930 melalui gazet kerajaan dalam dokumen rizab berjudul F.M.S Go­vernment Gazette, British yang te­lah merizabkan tanah seluas 16,800 hektar,” katanya.

Katanya, pada 21 November 1997, kerajaan Negeri Perak telah memberi pajakan selama 99 tahun sebahagian tanah tersebut, yang berkeluasan 641.6 hektar kepada sebuah syarikat.

“Dalam dokumen Hak Milik Sementara tanah itu, ada satu catatan memorial pengisytiharaan yang mengesahkan tanah itu merupakan sebahagian daripada tanah seluas 16,800 hektar yang telah digazetkan,” ujarnya.

Menurutnya, kemusykilan timbul apabila pada 3 Februari 2005 apabila pihak berkuasa negeri telah mengeluarkan satu dokumen Pajakan Ne­geri ke atas tanah yang sama, namun memadamkan status tanah tersebut sebagai rizab simpanan Melayu.

“Di sinilah kita musykil, bagaimana satu perkara yang amat penting iaitu rizab Tanah Melayu boleh hilang dengan tiada sebarang prosedur yang dibuat melalui enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara,” jelasnya.

Lebih memeranjatkan, katanya, dalam dokumen itu, tanah 641.6 hektar telah dipindah milik kepada syarikat lain beralamat di Sitiawan, Perak yang pengarahnya ialah seorang bukan Melayu.

Sehubungan itu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan forensik tanah bagi menyia­sat penyelewengan tersebut.

Hasil siasatan mendapati, tanah tersebut kini telah dipecah kepada 317 plot berbeza yang 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu, yang mana ia dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.

Susulan itu, beliau berkata, pada 24 September 2020, pihaknya membuat laporan polis dan meminta siasatan terhadap penyelewengan tersebut dibuat.

Pihak polis, pada 12 Januari 2021, mengesahkan kepada Mingguan Malaysia bahawa mereka menerima laporan tersebut.

Justeru, Hamidah berkata, sindiket itu perlu dibongkar dan dalang haruslah diheret ke muka pengadilan.

“Kami harap sindiket tanah rizab Melayu ini dapat dibongkar dan semua tanah yang telah dipindah milik secara tidak sah dibatalkan kelulusan tersebut, seterusnya dikembalikan kepada kerajaan negeri,” tegasnya. – UTUSAN

Saturday, January 23, 2021

Penceroboh Mahu Di Hargai....Di Mana Keadilannya?

Samka mahu sumbangan pekebun haram tak dipertikai
BANGI, – Lantang memperjuangkan nasib pekebun haram durian Musang King di Raub, Pahang, Save Musang King Alliance (Samka) menggesa supaya sumbangan mereka tidak dipertikai.

Atas alasan kononnya usaha keras pekebun haram telah berjaya meletakkan nama Raub di persada dunia sebagai pengeluar utama durian Musang King di Malaysia.

Selain itu, Samka turut meminta agar jasa mereka tidak diabaikan dan mahu keadilan ditegakkan.

“Keringat, kerja keras dan tenaga kerja mereka yang telah disumbangkan dalam pertanian durian tidak boleh dipertikai atau diabaikan. Mereka berjaya meletakkan Raub di peta dunia sebagai pengeluar durian Musang King Malaysia.

“Kami bangga dengan pekebun durian yang bekerja keras ini. Mereka tidak layak dilayan secara tidak baik dengan tawaran sepihak atau dibuli syarikat besar. Di mana keadilan?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook yang dimuat naik pada 14 Januari lalu.

Kenyataan Samka itu memetik komen netizen dikenali PurpleMoose5046 dalam segmen YOURSAY| Kerja keras pekebun durian ‘dihargai’ dengan perjanjian tidak adil terbitan MalaysiaKini pada 27 Ogos 2020.

Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S Nantha Balan dan Datuk M Gunalan membuat keputusan itu pada prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan pekebun itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah berkenaan.

Hakim terbabit berpendapat pekebun itu tidak seharusnya membuat permohonan itu kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan boleh disemak di mahkamah.

Selain itu, mahkamah mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman. - ismaweb.net

Identiti Kita Semakin Dihilangkan....

Berbaju Melayu di pintu masuk negara

UTUSAN Malaysia baru-baru ini menyiarkan artikel bertajuk Teguhkah jati diri bangsa kita? Artikel tersebut secara keseluruhan menyatakan mengenai jati diri apabila identiti bangsa sudah terkubur akibat dijajah oleh bangsa asing.

Pada pandangan saya, pertama sekali, diri sendiri harus dipersalahkan kerana beberapa perkara yang dilakukan secara tidak sengaja menjadi punca hilangnya jati diri dalam diri seseorang.

Antaranya isu pemakaian tali leher bukanlah budaya orang Melayu, justeru ia perlu diubah.

Begitu juga penggunaan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama seseorang yang dilihat sudah mula ‘dihilangkan’ oleh individu terutama di media sosial.

Malah jika dilihat, penyambut tetamu di pintu masuk di lapangan terbang termasuk di kaunter pemeriksaan imigresen tidak lagi mengenakan pakaian tradisional seperti baju Melayu, baju kurung atau kebaya. Sepatutnya mereka diarahkan untuk menggayakan pakaian tersebut kerana ia antara langkah dalam membentuk jati diri dalam kalangan rakyat. Pada masa sama memberi mesej kekuatan patriotisme dan semangat perpaduan masyaralat pelbagai kaum kepada pelancong luar.

Begitu juga penggunaan kepala surat yang dikeluarkan oleh setiap kementerian harus menggunakan tulisan Jawi seperti suatu ketika dahulu.

Apabila langkah-langkah tersebut diambil, sudah tentu jati diri bangsa Melayu akan terserlah kembali.

Begitu juga amalan mengucap terima kasih dan selamat datang kepada pelancong. Jika tidak diamalkan, orang Melayu akan hilang jati diri di dunia.

Jangan salahkan musuh politik hendak menghancurkan bangsa Melayu kerana kuasa sudah berada di tangan kita sejak lebih 60 tahun lalu, namun tidak dimanfaatkan.

Oleh : OMAR LOLO

Friday, January 22, 2021

Perbankan Islam Hilang Peluang?

PANDEMIK Covid-19 mengakibatkan ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan kurang pendapatan.

Pada saat sukar ini, kita lihat peranan penting yang dimainkan oleh institusi kewangan di Malaysia bagi membantu masyarakat berdepan masalah kewangan.

Inisiatif bermula dengan pelaksanaan moratorium automatik sehinggalah bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Pun begitu, masih ramai masyarakat Muslim gagal melihat kelebihan yang diberikan sistem kewangan Islam berbanding perbankan konvensional.

Pertolongan ditawarkan oleh institusi kewangan Islam dilihat seakan-akan sama sahaja de­ngan apa yang disediakan bank konvensional.

Sedangkan ramai berharap sistem perbankan Islam, yang mengamalkan konsep perkongsian untung rugi dan bertepatan dengan kaedah fiqah lebih kehadapan dalam membantu peminjam menghadapi tempoh sukar, berbanding perbankan konvensional yang tidak dapat lari daripada konsep riba dan untung.

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global, Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, sistem kewangan Islam di negara ini kehilangan satu peluang keemasan bagi membuktikan mereka adalah pilihan lebih baik berbanding perbankan konvensional.

Beliau sendiri sukar melihat perbezaan dari segi manfaat yang ditawarkan sistem perbankan Islam bagi membantu pe­minjam keluar daripada kemelut ekonomi.

“Perbankan Islam, adakah ia berbeza daripada konvensional atau memberi alternatif sekadar pada nama sahaja?

“Kalau kita melihat kepada prinsip asas perbankan Islam, ia bertunjangkan dua prinsip utama, iaitu berasaskan perkongsian risiko dan larangan riba.

“Dari segi fungsi pula, perbankan Islam bertindak sebagai pemangkin atau pemudah cara aktiviti perdagangan antara unit ekonomi yang mempunyai lebihan dengan unit ekonomi,” ­katanya.

Baharom berkata, berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia, jumlah aset dimiliki bank-bank Islam di Malaysia pada penghujung 2019 ialah RM835.19 billion berbanding dengan RM771.81 billion pada 2018.

“Ini satu pertumbuhan yang amat sihat. Selain didorong ke­perluan orang ramai untuk produk berasaskan shariah, ia­ juga dilihat sebagai alternatif yang tidak kurang menarik untuk golongan bukan Islam.

“Namun, apabila pandemik berlaku, berlaku sedikit kegusaran daripada pelanggan yang percaya bahawa perbankan Islam sesungguhnya berdiri di atas prinsip-prinsip seperti keadilan, kesaksamaan, inklusiviti dan keperihatinan apabila sistem kewangan ini tidak mempamerkan perbezaan dengan perbankan konvensional,” katanya.

Tambah Baharom lagi, ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang unik dalam perbankan Islam setelah melalui kesulitan serta kesukaran akibat krisis ekonomi.

“Perbankan Islam harus menggunakan peluang ke­emasan ini untuk membuktikan mereka adalah institusi berasaskan ­shariah.

“Antaranya dengan memudahcara pembiayaan serta pembayaran pembiayaan, menunjukkan ehsan dan kehadapan tanpa menunggu arahan kerajaan untuk melanjutkan moratorium secara sukarela, menstruktur semula pembiayaan serta memberi diskaun kadar keuntungan.

“Ini akan menjadikan mereka lebih digemari, dihormati dan disayangi,” katanya. - www.kosmo.com.my

Derhaka Jika Cabar Di Mahkamah

Pengisytiharan darurat kali kesembilan dalam sejarah negara baru-baru ini menimbulkan pelbagai polemik khususnya dalam kalangan ahli politik dan pengamal undang-undang.

Terdapat pihak-pihak tertentu ingin mencabar proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (Agong) pada 11 Januari lalu di mahkamah.

Dilaporkan, ada tindakan undang-undang telah difailkan bagi tujuan mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat tersebut.

Pada asasnya, sekiranya kita lihat kepada proklamasi darurat oleh Agong di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka menyatakan telah berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku akibat pandemik Covid-19.

Susulan proklamasi darurat itu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dimasyhurkan di bawah Perkara 150 (2B) oleh Agong atas dasar sama.

Perlu ditekankan, tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan di bawah Perkara 150 bahawa Agong wajib bertindak di atas nasihat Kabinet ataupun Perdana Menteri dalam membuat apa-apa proklamasi atau ordinan darurat.

Perkara ini juga jelas apabila Seri Paduka menolak nasihat kerajaan bagi satu proklamasi darurat yang pernah dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu.

Saya berpandangan, kebijaksanaan, budi bicara, kewajaran dan proportionality keputusan Agong dalam membuat proklamasi dan ordinan tidak boleh sama sekali dipersoal di mana-mana mahkamah atas apa-apa dasar sekalipun.

Ini adalah seperti mana yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya pandangan beberapa pihak bahawa Agong tidak mempunyai budi bicara dan terikat dengan nasihat Kabinet atau Perdana Menteri dalam membuat proklamasi atau ordinan tersebut di bawah Perkara 150 adalah tepat sekalipun, yang mana adalah dinafikan, nasihat tersebut juga tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di mana-mana mahkamah.

Ini secara jelas diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) yang menyatakan seperti berikut:
(a) Hal puas hati Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
(b) Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-kesalahan:
(i) Sesuatu proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1).
(ii) Kuat kuasa berterusan proklamasi itu.
(iii) Mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B).
(iv) Penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Tidak Sah
Saya berpandangan sedemikian kerana sebarang tindakan terhadap nasihat yang diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada Agong tersebut secara efektifnya dan secara tidak langsung adalah suatu bentuk mencabar terhadap kesahihan proklamasi dan ordinan tersebut.

Atau dengan kata lain, tindakan atau percubaan membawa isu proklamasi darurat ke mahkamah secara jelasnya adalah mencabar kuasa Agong dan boleh disifatkan sebagai perbuatan menderhaka terhadap Seri Paduka dan institusi raja.

Ini sudah semestinya tidak dibenarkan oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu suatu ouster clause di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan undang-undang bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada Seri Paduka sekiranya ouster clause tersebut didapati tidak sah (void) oleh mahkamah.

Dari sudut undang-undang, ouster clause adalah sah dan berperlembagaan dan sebarang tindakan yang bercanggah dengan ouster clause itu tidak boleh berdiri di sisi undang-undang.

Saya berpandangan, ouster clause berkenaan adalah konsisten dengan prinsip Separation of Powers di mana institusi kehakiman adalah dihalang daripada campur tangan dalam sebarang tindakan pihak eksekutif yang selaras Perlembagaan Persekutuan.

Institusi kehakiman sememangnya bebas dan hanya mempunyai bidang kuasa seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang.

Sekiranya segala nasihat eksekutif terutama nasihat-nasihat Kabinet yang diberikan (di bawah Perlembagaan Persekutuan) (termasuk kewajaran (reasonableness) dan proportionality nasihat tersebut) boleh dicabar dan dipersoal di mahkamah, eksekutif atau sesebuah kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara ini.

Ini juga akan menyebabkan satu situasi floodgate di mana cabaran terhadap setiap nasihat eksekutif di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa dan dipersoalkan di mahkamah.

Perkara ini perlu diberikan perhatian memandangkan ia boleh menetapkan satu precedent yang tidak konsisten dengan prinsip Separation of Powers.

Prinsip rule of law juga termasuk menghormati undang-undang sedia ada pada setiap masa.

Kesimpulannya saya berpandangan, segala tindakan oleh mana-mana pihak untuk mencabar proklamasi dan ordinan darurat ke mahkamah adalah satu tindakan yang tidak wajar atas prinsip Separation of Powers.

Pihak ini seharusnya memahami terlebih dahulu tujuan undang-undang darurat wujud. Paling penting, sebarang tindakan bersifat politik semata-mata harus dihentikan demi memberikan fokus dan kerjasama sepenuhnya kepada Agong dan kerajaan dalam menghadapi gelombang pandemik Covid-19 dengan baik.

Thursday, January 21, 2021

Bila Ahli Ekonomi Bercakap Mengenai Perpaduan

BEKAS orang kuat CIMB kata, dalam webinar semalam mencadangkan pembentukan kontrak sosial baru untuk memastikan masa depan lebih baik dari segi ekonomi, politik dan sosial. Mengambil contoh abangnya, bekas Perdana Menteri, yang cuba menghapuskan tindakan afirmatif menerusi Model Ekonomi Baharu tetapi gagal. Dengar katanya baik-baik;

“Cubalah tarik balik tindakan afirmatif hari ini dan PAS, Umno serta yang lain akan membantah kerana menganggapnya menggugat hak Melayu. Jika mendesak pembaharuan pengundian akan dilihat sebagai mengurangkan hak Melayu. Jadi ia tidak boleh dilakukan secara berasingan.”

Katanya, membiarkan sistem seperti sedia ada bererti masalah sama akan berulang-ulang sambil memberikan sebagai contoh bagaimana Pakatan Harapan (PH) tetap dibelenggu isu-isu sama.

Ingin saya bertanya, sedar atau tidak bahawa dasar afirmatif ini bukan sahaja dapat membantu Bumiputera, tetapi juga bukan-Bumiputera turut semakin kaya.

Cuba baca buku, Tan Teong Jin, Ho Wah Foon, Tan Joo Lan (2005). Kajian mereka mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan penyelidik-penyelidik Cina yang lain. Tulisan mereka agak lembut, objektif, berpijak di bumi nyata serta memahami realiti dan sejarah.

Bagi mereka, sebenarnya dasar DEB banyak mendorong masyarakat Cina terutama para usahawannya untuk gigih berdikari dan seterusnya menjadi lebih cemerlang dalam sektor korporat. Mereka merumuskan bahawa kemakmuran hidup dan masa depan masyarakat Cina bergantung kepada dinamika politik dan status ekonomi Melayu.

Dengan berkembangnya ekonomi orang Melayu, mereka turut dapat merasai kenikmatannya. Perniagaan mereka turut berkembang kerana saling bergantungan antara satu sama lain dari segi penawaran dan permintaan.

Yang menyebabkan dasar afirmatif (DEB) ini tidak mencapai matlamatnya dalam jangka masa ditetapkan kerana rasuah dan kroni berleluasa. Inilah yang perlu dihapuskan terlebih dahulu, bukan kontrak sosial

Satu lagi, semenjak beliau menerajui CIMB habis semua identiti negara hilang entah ke mana. Cuba masuk CIMB sudah tak rasa macam berada di Malaysia, tetapi seperti di New York. Nak cari satu perkataan Bahasa Melayu pun susah. Terbawa-bawa hingga kini. Boleh dikatakan semua GLC pun terikut-ikut.

CIMB yang dahulunya Bank Bumiputera, sudah hilang habis identiti Bumiputera. Sebab itu, sukar sama sekali untuk saya menerima pendapat beliau. Kenapa perlu disemak kontrak sosial ini, apa yang perlu dilakukan adalah melaksanakan kontrak sosial dengan telus agar perpaduan terjamin.

Menyemak kembali kontrak sosial hanya akan menghiriskan hati-hati yang telah terluka. Sama seperti kita mahu mengiktiraf Komunis. Saya cukup hairan, kenapa ahli ekonomi ini tidak langsung menyentuh mengenai isu pendidikan yang telah memisahkan kita sekian lama sehinggga menyebabkan sukar berlaku interaksi. Ada yang tidak boleh langsung berbahasa Kebangsaan. Terlebih orang putih tidak boleh juga, sehingga tenggelam jati diri negara.

Satu lagi kenapa tidak sentuh soal rasuah yang begitu menjadi barah, termasuk dalam sektor perbankan. Nak jadi panel bank, nak dapat projek bank, kalau tidak rasuah, tidak sah. Persepsi rasuah ini tidak kurangnya menjadi perpaduan negara tergugat.

Makan rasuah lebih hina daripada makan babi. Masih tak faham lagi ke. Bila sebut sahaja babi, terasa jijiknya. Bila sebut rasuah, selamba saja. Tak pula rasa jijiknya. Walhal, hukum-hakam rasuah sangat jelas. Masuk neraka. Sekurang-kurangnya, makan babi masa darurat boleh juga disentuh.

Tengok isu kartel daging, semakin terserlahlah bahawa selama ini gejala rasuah telah menjadi darah daging dalam kalangan pihak berkuasa. Patutlah anak-anak kita ini ramai yang tak menjadi. Rupanya banyak makan hasil haram. Ini juga penghalang perpaduan bukan?

Sebelum menutup tirai, satu lagi, dasar apa yang menjadi bekas orang kuat CIMB sehingga dapat menerajui CIMB suatu masa dulu.

OLEH : PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Tentunya Gerombolan Chauvinist Akan Tersenyum Lebar....

Tak habis berpolitik, mahu bawa Malaysia ke arah negara republik?
BANGI – “Adakah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membawa Malaysia ke arah negara republik?”

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim berhubung tindakan Presiden PKR itu yang mahu mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah.

Sebelum ini Anwar mendakwa, proklamasi darurat sebagai langkah terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Sudah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa.

“Pasukan peguam sudah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin),” dakwanya.

Difahamkan, langkah itu menyusul selepas Anwar menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membatalkan pengisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Januari ini.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar mengingatkan bahawa tindakan sedemikian seolah-olah mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong.

“Masih tidak habis lagi berpolitik, mencabar keputusan di mahkamah bermakna mencabar wibawa YDPA, nak membawa Malaysia ke arah republikkah?,” soalnya.

Bercakap kepada Ismaweb.net hari ini, beliau menggesa ahli politik fokus dalam membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19 serta meminimakan kesan ekonomi yang terbeban oleh rakyat.

“Menyemak perbelanjaan yang dilakukan kerajaan supaya selari dengan dua matlamat ini, menangani COVID dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. - ismaweb.net

Wednesday, January 20, 2021

Individu Lawan Perintah Agong Patut Dilucutkan Kerakyatan

Puak merapu! Saman kerajaan waktu rakyat sibuk lawan COVID-19
BANGI – Dalam keadaan rakyat sibuk memerangi penularan wabak COVID-19, ditambah dengan bencana banjir yang belum surut, masih wujud puak ‘merapu’ demi kepentingan peribadi.

Demikian kekesalan yang diluahkan Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman terhadap tindakan bekas penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan apabila memfailkan saman pemula terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia.

“Puak merapu masa orang ramai tengah sibuk dengan COVID-19 dan susah cari makan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.

Saman yang difailkan Khairuddin itu bagi mencabar tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan COVID-19.

Khairuddin selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, menerusi Tentuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Muhyiddin serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

Menerusi saman pemula itu, Khairuddin antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan bahawa pengisytiharan Proklamasi Darurat tersebut adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Tindakan Khairuddin itu turut dikecam kebanyakan pengguna media sosial yang rata-ratanya ‘meluat’ dengan sikap kebanyakan ahli politik di negara ini.

“Kalau rakyat saman dia boleh tak? Sebab kalut nak batal darurat yang Agong dah setuju,” tulis Fauzan Wairon.

“Mana individu yang menentang perintah Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap derhaka pada negara. Andainya didapati bersalah kerakyatan dilucutkan,” kata Daud Saad Saad.

“Muak politik, dengan COVID-19 lagi. Tak boleh ke ahli politik berbaik-baik buat sementara,” kata Aiman Nasuha.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Muhyiddin, pada hari sama, menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Jan hingga 1 Ogos 2021.

Antara lain, Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam. - ismaweb.net

Perlukah Malaysia Amalkan Lese Majeste?

MALAYSIA merupakan antara negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Institusi raja di Malaysia adalah satu institusi tradisional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu yang telah muncul berabad-abad lamanya.

Institusi raja yang bertapak di negara ini telah mengalami evolusi daripada sistem beraja mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Dalam sistem beraja mutlak, raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan Inggeris.

Sementara dalam sistem Raja Berperlembagaan, raja bertindak mengikut peruntukan perlembangaan yang telah ditetapkan sekaligus menutup ruang kepada kuasa mutlak, di peringkat Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.

Namun kebelakangan ini, penghinaan terhadap sistem beraja semakin menjadi-jadi dan ada sahaja berita dibaca yang menulis mengenai penghinaan terutamanya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terbaharu adalah berkenaan tiga keping gambar yang dimuatnaik dalam media sosial memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong disunting oleh satu akaun Instagram bernama bukan_bangjago.

Persoalan kini, perlukah Malaysia mengenalkan undang-undang dikenali sebagai ‘Lese Majeste’ sepertimana yang diamalkan di Thailand bagi membendung kebiadaban tersebut?

Lese Majeste, yang berasal daripada bahasa Latin bermakna menderhaka kepada raja yang digubal demi melindungi, memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi raja.

Monarki Thailand dilindungi oleh Seksyen 112 Kanun Ke­seksaan negara itu, yang mengatakan bahawa sesiapa yang memfitnah, menghina atau mengancam raja, permaisuri serta pewaris akan dihukum penjara tiga hingga 15 tahun.

Undang-undang terhadap penghinaan raja telah berlaku dalam kod jenayah Thailand sejak awal 1900-an, ketika Thailand masih dikenali sebagai Siam lagi.

Bekas pensyarah Jabatan Sejarah sebuah universiti tempatan, Amran Zakir berkata, masyarakat tradisional Thailand memandang monarki sistem beraja ini sebagai institusi suci.

Monarki mempunyai akar yang mendalam di Thailand, di mana raja-raja memegang kuasa mutlak selama beratus-ratus tahun sebelum Revolusi 1932.

“Dalam undang-undang Lese Majeste di Thailand, hukuman tidak terkecuali kepada warga a­sing yang bersalah kerana menghina kerabat raja.

“Pada Disember 2011, seorang warga Amerika Syarikat (AS) kelahiran Thailand dipenjarakan selama dua setengah tahun ke­rana menghina Raja Thailand selepas dia menyiarkan bahan secara dalam talian daripada buku biografi Raja Bhumibol Adulyadej versi bahasa Inggeris,” jelasnya.

Di negara ini, tiada undang-undang khusus seperti Lese Majeste, namun individu yang mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja akan disiasat dan didakwa mengikut Akta Ha­sutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Apa yang pasti, undang-undang di Malaysia ketika ini boleh dikatakan masih ringan dan perlu dihalusi semula bagi memberi pengajaran kepada individu yang tidak bertannggungjawab. - www.kosmo.com.my

Tuesday, January 19, 2021

Segera rombak pimpinan UMNO – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Seluruh kepemimpinan UMNO perlu dirombak semula termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, ini termasuk menukar ahli Majlis Tertinggi (MT) dan pemimpin di semua peringkat untuk memilih pemimpin yang bukan hanya diterima ahli malah disenangi rakyat.

Beliau berkata, pemilihan parti perlu dibuat segera apatah lagi tempoh penggal kepemimpinan parti berakhir pada tahun ini sekali gus dilihat mampu meredakan suhu ketidakpuasan hati mana-mana pemimpin atau ahli akar umbi.

“UMNO perlu rombakan secara total. UMNO perlukan pemimpin ‘Avengers’, iaitu yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya sambil mengakui pemilihan parti tidak akan menyelesaikan 100 peratus masalah yang berlaku.

Beliau mengulas beberapa suara akar umbi UMNO yang mahukan perubahan terhadap pucuk pimpinan sekali gus memberi isyarat parti Melayu itu sudah bersedia atau perlu diterajui muka baharu menjelang PRU-15 bagi memastikan UMNO terus relevan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Mohd. Alfie Zainal Abidin berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus pemimpin UMNO di semua peringkat perlu dalam kalangan orang muda atau parti bakal ditolak sekali lagi oleh rakyat.

Katanya, ini termasuk pemilihan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan majoriti pengundi kini adalah dalam kalangan golongan itu yang menjadi penentu kalah menang parti.

Justeru, kata beliau, pemilihan parti sewajarnya diadakan secepat mungkin kerana retorik kemahuan akar umbi UMNO telah disalah gunakan oleh pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Dengan adanya pemilihan parti yang disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan diadakan tahun ini, kepemimpinan baharu pasti membawa suara sebenar akar umbi,’’ katanya.- UTUSAN

Apabila Kita Sendiri Memperlekehkannya.....

Nasib bahasa Melayu menumpang di negara sendiri
PETALING JAYA: Bahasa Melayu seolah-olah menumpang di negara sendiri ekoran sikap masyarakat yang lebih menyanjungi bahasa Inggeris sedangkan kedudukannya adalah jelas termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga pejuang bahasa Melayu, Tan Sri Rais Yatim meluahkan kekecewaan beliau apabila usahanya untuk terus menyelamatkan bahasa kebangsaan semakin tidak diendahkan.

“Bahasa Melayu yang dahulunya ibarat pokok dan bahasa Inggeris adalah dedalunya, tetapi keadaan ketika ini adalah yang sebaliknya. Pertama sekali, kita tengok dalam kalangan agensi kerajaan yang mana terdapat beberapa jabatan yang terus mengetepikan bahasa Melayu.

“Kita harus memandang isu ini sebagai satu penyakit iaitu penyakit budaya, penyakit tamadun. Saya dan beberapa rakan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan kita ini sudah tidak ramai. Kami semakin sedikit dan terpinggir,” katanya kecewa.

Industri media termasuklah antaranya televisyen dan radio seringkali menggunakan bahasa rojak ataupun bahasa bercampur-campur. Kebelakangan ini, rancangan hiburan tanah air lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris yang diangkat sebagai nama program.

Rais menjelaskan, institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi medan pertuturan bahasa Melayu tidak lagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran.

“Sebab yang paling merejam kepada karya bahasa Melayu apabila wujudnya pengalihan bahasa kepada nahu Inggeris,” katanya.

Dalam Perkara 152, Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 telah menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, bagi Felow Utama Institut Kajian Etniik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong, usaha mewujudkan masyarakat yang mencintai bahasa Melayu, jati diri rakyat Malaysia harus diperbaiki terlebih dahulu.

“Kita perlu serius dalam hal ini, sudah sampai waktunya kita berani bercakap masalah yang jelek ini. Kita harus sedarkan rakyat, kita perlu ubah sikap dahulu usaha mengetengahkan serta menyanjungi bahasa Melayu.

“Kita boleh lihat orang Melayu sendiri memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu.

“Sememangnya kita pernah mewujudkan dasar mewajibkan percakapan bahasa Melayu dan ingin membawa bahasa ini di mata dunia tetapi jika bahasa ini juga ibarat melukut di tepi gantang’ di watannya sendiri, bagaimana pula pandangan masyarakat dunia,” katanya. 
UTUSAN