SAYA memetik kata-kata Pengarah Pusat Keusahawanan dan Program Ijazah Kolej Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil bahawa pelajar Cina tetap cemerlang tanpa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan rata-ratanya menjadi manusia berjaya.
Mereka menjadi profesor, doktor, jurutera, arkitek malah usahawan Cina yang terbaik dan mampu bercakap dalam bahasa Melayu sementara ramai yang menggunakan UEC terpaksa menjadi usahawan import eksport dengan pengusaha di Taiwan, Hong Kong dan China disebabkan kekangan bahasa pengantar warga Malaysia.
Sudah jelas UEC itu membawa budaya, sejarah dan peradaban asing untuk diterap kepada anak-anak kecil kaum Cina di Malaysia, pada asasnya mencorak mereka menjadi ‘warga asing’ dan bukannya penyatuan dengan pelbagai kaum lain di negara ini.
Dengan mengiktiraf UEC di mana-mana peringkat sekalipun umpama mengiktiraf peradaban asing menapak di bumi Malaysia, membentuk ‘koloni’ asing yang hanya bergaul sesama sendiri menggunakan bahasa sendiri dan hanya mementingkan kepentingan kaum sendiri.
Bayangkan seorang pemegang sijil UEC yang tergagap-gagap bercakap bahasa Melayu mahu menjalankan tugas sebagai penjawat awam membantu rakyat, akhirnya hanya rakyat yang bercakap bahasa Mandarin sahaja boleh berurusan dengannya.
Ini akan membawa budaya swasta mengambil ‘pekerja berbahasa Mandarin sahaja’ masuk ke dalam perkhidmatan awam dan lambat-laun akan meminggirkan kaum lain khususnya orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk Malaysia.
Tentu akan ada hujah pemegang sijil UEC tidak semestinya tidak fasih bahasa Melayu tetapi kenapa pula menolak penilaian bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Begitu juga sukatan subjek Sejarah SPM ditolak, adakah demi melindungi sukatan Sejarah yang dibawa masuk dari Taiwan?
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mendahului Menterinya sendiri, Dr. Maszlee Malik dalam isu UEC kononnya mahu ‘diselesaikan’ menjelang penghujung 2018.
Orang Melayu sebenarnya tiada masalah mahu iktiraf UEC selagi bahasa Melayu dan Sejarah peringkat SPM diwajibkan. Janganlah gunakan hujah Melayu liberal untuk mempertahankan kaum lain kerana golongan itu sendiri sudah tidak mengaku mereka Melayu.
Saya harap Dr. Maszlee berdiri teguh dengan ketetapan orang Melayu. Jangan lupa sejarah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menggabungkan orang Melayu dari pelbagai ideologi politik.
Siapa kata orang Melayu tidak boleh bersatu mempertahankan agama, bangsa dan bahasa sendiri? Sedangkan ahli politik bukan Islam berani menghalang usaha memperkasa Mahkamah Syariah, apalah sangat untuk orang Melayu menghalang UEC.
Oleh : Pendidik Otai
No comments:
Post a Comment