KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya membuat keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) semata-mata kerana ingin menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, UEC adalah isu rakyat yang memberi implikasi besar dan seharusnya diperhalusi dengan mendalam, termasuk dijadikan Memorandum Parlimen untuk dibahaskan.
“Kita tidak boleh buat keputusan semata-mata kerana manifesto atau janji politik atau tidak mahu dianggap membuat pusingan U.
“Ini bukan cara menjawab rungutan rakyat. Di negara ini orang Melayu adalah majoriti, jadi suara orang Melayu bagaimana? Sekarang suara siapa yang dikemukakan.
“Lagipun UEC dibuat oleh NGO. Mana peranan kerajaan sebagai pembuat dasar negara,” katanya kepada Utusan Online ketika mengulas keputusan kerajaan meneruskan rancangan mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat flip-flop dalam perkara itu Rais berkata, sepanjang kemelut isu ini, masih banyak perkara yang belum dijelaskan dan dijawab kerajaan.
“Jadi saya memohon huraian yang paling tertib, harus diberi oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Mungkin ada perkara-perkara yang perlu kita perhalusi yang boleh mengharmonikan rakyat dalam bidang pendidikan rendah dan tinggi,” katanya.
Rais mengingatkan, jika keputusan mengiktiraf UEC dilaksanakan dalam keadaan rakyat tidak faham, pergelutan politik boleh muncul.
“Bagi saya sepatutnya, biar golongan cerdik pendidikan, pembuat dasar, mempolemikkan isu ini terlebih dahulu dan dibuat penghalusannya untuk diterima menteri.
“Jika menteri hanya bercakap begitu, tanpa membuat ‘kerja rumah’ yang saya sebut tadi, rakyat berhak untuk tidak menerima dasar ini, bererti pandangan mereka perlu dilayani dahulu.
“Setahu saya, isu UEC ini belum lagi dibuat penentuan perinciannya, semakan, bagaimana letaknya di bawah Akta Pelajaran dan beberapa akta lain. Adakah ini sesuai dengan pendirian kerajaan sebagai dasar terpenting yang hendak dipinda terlebih dahulu, atau dasar tentang harga barang,” katanya.
Sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment