Friday, July 13, 2018

Iktiraf UEC Beri Isyarat Tidak Baik

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan rancangan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan memberi isyarat tidak baik kepada rakyat yang setia mengikuti sistem persekolahan ali­ran utama negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pelaksanaan cadangan mengiktiraf UEC perlu mengambil kira aspek kemanusiaan dan keadilan kepada semua rakyat.

Menurut beliau, langkah itu boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan rakyat dalam soal memilih aliran persekolahan sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi melihat sekolah kebangsaan sebagai keutamaan.

“Kerajaan perlu menilai dari segi kemanusiaan. Ia seperti ung­kapan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Ini mungkin merugikan kepada mereka yang mengikut sistem persekolahan aliran utama.

“Ini akan membuatkan mereka menilai semula keperluan untuk mengikuti aliran utama, setelah menyedari UEC akan turut mendapat faedah yang sama. Oleh itu, ini boleh memberi implikasi terhadap perpaduan nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Masz­lee Malik hari ini menegaskan kementeriannya akan tetap me­neruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto PH selain menyatakan, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat flip-flop dalam perkara tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan menganggap keputusan kerajaan itu tidak ubah seperti flip-flop sedangkan beberapa hari lalu Maszlee telah menyatakan akan melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

“Mungkin kena semak kamus apa maksud flip-flop. Tidak sampai beberapa hari berkata mahu membuat kajian terlebih dahulu dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru tetapi hari ini mahu meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC.

“Sepatutnya kena berpegang kepada janji untuk melakukan kajian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan mungkin boleh mendedahkan kajian yang telah dibuat berkenaan usaha mengiktiraf UEC seperti yang dijanjikan oleh Maszlee sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Ga­pena), Prof. Madya Zainal Abidin Borhan berkata, keputusan kerajaan itu hanya menjejaskan ke­seluruhan amalan sistem kebangsaan di negara ini.

“Syarat asas untuk masuk perkhidmatan awam adalah lulus Bahasa Melayu dan Sejarah de­ngan kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jadi bagaimana kita mahu memperakui kebolehan bahasa Malaysia pelajar ini dalam per­khidmatan awam?” soalnya.

Beliau turut mencadangkan agar calon-calon UEC mengambil ambil dua mata pelajaran tersebut supaya kelulusan mereka setara dengan SPM.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment