nuffnang

Sunday, July 8, 2018

Dalam Negara Ada Negara....!

Pengiktirafan UEC perlu melalui pendekatan holistik
MARANG - Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melibatkan sekolah persendirian Cina
mesti dilakukan secara pendekatan holistik supaya ia tidak menjejaskan perpaduan kaum dan menggadaikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sehubungan itu beliau bercadang untuk bertemu dengan semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, para pejuang bahasa di negara ini bagi membincangkan soal tersebut yang makin mendapat tentangan meluas.

Menurut beliau, UEC merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan apa yang perlu dilakukan ialah perlu mengambil kira pandangan beberapa pihak terlebih dahulu sebelum pengiktirafan dibuat.

"Isu pengiktirafan UEC ini tidak boleh dilihat sebagai sijil kemasukan semata-mata tetapi perlu juga mengambil kira isu Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, selain isu perpaduan dan keharmonian.

"Sebagaimana pernah saya nyatakan sebelum ini, saya perlu bertemu dengan semua pihak, bukan sahaja daripada golongan pendidikan kaum Cina tetapi juga dengan golongan pejuang bahasa kebangsaan dan juga mereka yang terlibat dengan urusan menjaga perpaduan.

"Bagi menjaga keharmonian, kita inginkan sekiranya UEC diiktiraf nanti, ia tidak akan menjejaskan perpaduan dan pada masa yang sama tidak menggadaikan bahasa kebangsaan," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, di sini hari ini.

Beliau mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau projek membaik pulih bangunan sekolah berkenaan yang terbengkalai sejak tahun lepas.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Adnan Salleh.

Pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menggesa kerajaan negeri Melaka menarik kembali pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang diumumkan minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan membolehkan pemegangnya memasuki perkhidmatan awam negeri itu.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dilaporkan berkata, isu paling utama ialah UEC tidak memiliki syarat am terpenting, iaitu kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

GAPENA menyifatkan langkah yang akan memporak-perandakan sistem dan struktur sedia ada itu bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 yang secara jelas menggariskan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

UEC yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dikatakan tidak selari dengan silibus yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.- www.utusan.com.my


UEC sabotaj pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan
KUALA LUMPUR- Pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) merupakan sabotaj
terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 selain boleh merenggangkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, parti itu membantah pengiktirafan UEC kerana pelaksanaannya sama ada daripada aspek piawaian, silibus dan bahasa jelas bercanggah dengan status quo sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini.

“Dua strategi utama untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di institusi pendidikan negara. Selain itu, kurikulum yang diwujudkan mestilah selaras dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.

“Bahasa Kebangsaan yang dirujuk dalam Akta Pendidikan 1996 ditafsirkan sebagai Bahasa Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga Seksyen 74 Akta Pendidikan 1996 dengan jelas mengarahkan semua institusi pendidikan swasta mematuhi kehendak kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid-murid bagi peperiksaan yang telah diselaraskan di peringkat negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dalam kenyataan terbaharunya pula seperti yang dipetik dalam portal Malaysiakini hari ini, mahu isu UEC selesai sebelum hujung tahun ini selain menambah isu tersebut tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. - www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment