Friday, October 9, 2015

Jangan Cepat Salah Tafsir Dan Kecoh Isu Agama

SELEPAS isu khutbah yang dibangkitkan oleh sekumpulan Melayu DAP di Pahang yang turut disokong oleh pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam DAP, timbul pula isu azan di Pulau Pinang. Jika isu kandungan khutbah Hari Raya Aidiladha di Pahang yang menyeru kepada perpaduan umat Islam dianggap berunsur fitnah, isu azan pula dikatakan berkait rapat de­ngan politik. Nampaknya agama seolah-olah mahu dijadikan modal politik yang akhirnya boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Orang luar pula melihat bagaimana umat Islam bercelaru dengan agama mereka. Kenapa isu-isu seperti ini yang berkait rapat dengan kehidupan umat Islam dijadikan isu? Apakah sudah tidak ada isu lain yang boleh dijadikan modal politik? Kenapa ada pihak semakin berani mempertikaikan tentang jabatan atau agensi berkaitan agama termasuk isi kandungan khutbah?

Ada ketikanya sesuatu keputusan itu dibuat untuk kepentingan umum tetapi diolah sehingga dilihat bermotif politik. Contohnya isu khutbah. Ini bukan kali pertama kandungan khutbah dipertikaikan. Menyelak kembali isu berkaitan, pada awal tahun ini, ada pihak yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat. Pihak berkenaan menganggap khutbah mempunyai unsur-unsur provokasi. Begitu jugalah dengan khutbah Hari Raya Aidiladha di Pahang baru-baru ini.

Semua pihak perlu terlebih dahulu memahami khutbah yang disampaikan. Lihat kepada siapa sasaran khutbah itu. Faham betul-betul kandungannya. Kaji dahulu apakah yang perlu ada di dalam khutbah. Ambil kira realiti, Perlembagaan, budaya dan masyarakat. Bertenanglah semasa mengeluarkan kenyataan supaya pandangan yang diberi tidak menimbulkan rasa kurang senang atau kemarahan orang lain. Pihak yang mahu mengkritik juga hendaklah benar-benar memahami bahawa khutbah adalah syarat sah solat Jumaat.

Kebanyakan masjid pula menye­diakan teks khutbah yang diluluskan oleh jabatan agama Islam di negeri masing-masing. Malangnya ada khutbah yang dibaca oleh khatib tanpa mengikut teks yang diluluskan sebaliknya ‘karangan’ sendiri sehingga kedengaran se­perti ceramah politik. Ini juga satu masalah kepada mereka yang diamanahkan sebagai khatib. Secara sedar atau tidak, ada khatib yang menyelitkan unsur-unsur politik dalam khutbah. Di Pahang baru-baru ini, khutbah dijadikan isu apabila DAP mendakwa isi kandungannya merujuk kepada parti itu sebagai menentang Islam. DAP kemudiannya memberi amaran supaya khutbah itu ditarik balik atau berhadapan tindakan undang-undang. Bagaimanapun Mufti Pahang, Dr. Abdul Rahman Osman mempertahankan isi kandungan khutbah itu yang baginya merupakan nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama-sama dengan pihak yang dilihat cuba mencabar Islam. Baginya, DAP yang perlu memohon maaf kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam.

Adakah menjadi satu kesalahan, khutbah yang menyeru umat Islam bersatu padu walaupun mereka berlainan ideologi politik? Adakah salah menyeru umat Islam mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu? Tidak dinafikan perpecahan yang berlaku akibat orang Melayu Islam mengutamakan parti mereka sama ada UMNO, Pas, PKR dan Amanah. Masing-masing mengaku hebat dan secara sedar atau tidak semakin melonggarkan perpaduan dan persaudaraan sesama Islam. Seperti yang dikatakan Abdul Rahman, isi kandungan khutbah adalah merujuk kepada al-Quran yang menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin. Kandungan khutbah Ai­diladha bukan hasutan tetapi satu dakwah kepada orang Islam mengenai perkara yang sudah di­nyatakan dalam al-Quran.

Begitu juga dengan azan di Pulau Pinang. Isu ini juga isu lama yang diperbaharui beberapa fakta mengenainya. Cuma apabila orang Islam di Pulau Pinang atau negeri-negeri lain sudah biasa dengan keadaan sebelum ini, peraturan itu dilihat sebagai penghalang, sekatan, kongkongan atau lebih parah sebagai tindakan politik. Sekali lagi persoalannya kenapa baru hari ini isu ini timbul? Kenapa tidak selama ini? Adakah orang dahulu lebih to­leransi? Adakah hanya hari ini, orang Islam baru tersedar? Hakikatnya, alasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama ada asasnya.

Berkaitan pembesar suara ini, penulis masih ingat, suatu masa dulu jika ada kenduri kahwin di kampung (Bukit Mertajam, Pulau Pinang), mesti ada pembesar suara bagi memeriahkan majlis. Ketika itu piring hitam digunakan. Pada waktu pagi akan dipasang bacaan al-Quran oleh qari/qariah terkemuka seperti Ismail Hashim. Ini diikuti pula lagu-lagu nasyid di sam­ping lagu-lagu 60an dan Hindi. Tiba waktu solat, ‘siaran’ dihentikan seketika. Sebelah malam akan lebih meriah jika ada persembahan ghazal. Begitulah peranan pembesar suara. Apabila ada kelas agama, pembesar suara yang boleh dide­ngar dalam jarak jauh juga digunakan untuk menarik perhatian ramai. Menjelang subuh, alunan bacaan al-Quran diperdengarkan untuk ‘mengejutkan’ orang ramai supaya bersedia bangun menunaikan solat.

Bangun atau tidak terserahlah kepada individu berkenaan. Maka setiap kali azan subuh, ada ayat tambahan yang membawa maksud sembahyang itu lebih baik dari tidur. Dalam hal ini, seorang sahabat ketika mengulas mengenai isu azan ini bertanya, adakah ada orang yang tidak boleh tidur atau mati ketika mendengar azan? Tidak pasti ada atau tidak orang yang tidak dapat tidur atau mati kerana azan yang kuat melalui pembesar suara tetapi hakikatnya, ketika azan subuh ramai juga yang ‘tidur mati’. Berkaitan isu pembesar suara ini, tidak timbul masalah bagi penggunaannya ketika azan dan iqamat. Jangan cepat salah tafsir dalam persoalan ini. Tidak perlu mana-mana pihak menimbulkan polemik. Larangan penggunaan hanya melibatkan bacaan al-Quran menjelang subuh. Jika larangan itu dilanggar sekali pun, biarlah tempohnya amat minimum, contohnya mungkin lima minit menjelang azan. Lebih baik lagi jika pihak berkuasa me­nyerahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah masjid atau surau masing-masing untuk menentukannya. Bagi kalangan penduduk yang semuanya beragama Islam terutama di kawasan luar bandar atau kampung, bacaan al-Quran bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mengganggu. Mungkin bacaan menjelang subuh itu dapat membantu mengejutkan orang daripada dibuai mimpi indah. Pada bulan puasa ada juga yang menggunakan pembesar suara luar ini untuk ‘mengejutkan’ orang bangun bersahur. Ketika inilah budi bicara digunakan.

Kebenaran menggunakan budi bicara juga hendaklah melibatkanprogram lain seperti qiamullail, kuliah agama dan mesyuarat. Pada masa yang sama, fahamilah suasana sekitarnya kerana ke­adaan sudah berubah. Jika dahulu, orang tidak peduli dengan bacaan al-Quran yang didengar begitu kuat di luar masjid, hari ini keadaan berbeza. Ramai yang sudah pandai membuat aduan dan merungut bahawa kehidupan mereka terganggu. Bagi menjawab isu gangguan ini dan untuk mewajarkan larangan berkenaan, semua pihak perlu berpegang bahawa dalam beribadat, kita tidak sewajarnya mengganggu orang lain. Pada masa yang sama, ‘larangan’ berkenaan juga jangan hanya terbatas kepada ‘aktiviti’ orang Islam sahaja kerana dalam beberapa acara lain, bunyi kuat yang dihasilkan oleh pembesar suara turut mengganggu. Semoga kekecohan berkaitan pembesar suara ini tidak berpanjangan serta tidak timbul soal pilih kasih.

2 comments: