nuffnang

Sunday, September 13, 2015

Ada Apa Dengan Filem Gangster Malaysia?

Malaysia memiliki pelbagai jenis filem yang mendapat perhatian ramai. Namun, di antara pelbagai jenis filem ini, filem bercorak gangster sering mendapat sambutan hangat di panggung wayang. Filem gangster ini dilihat juga dari sisi penerbit filem sebagai jenis filem yang memberi untung. Adakah masyarakat Malaysia gemar kepada filem sebegini? Adakah rakyat Malaysia gemar menjadi gangster? Adakah rakyat Malaysia ini ganas? Adakah jenayah merupakan satu bentuk hiburan fiksyen kepada rakyat Malaysia?

Ini merupakan jenis-jenis soalan yang selalu timbul apabila isu lambakan filem gangster muncul. Di Malaysia, filem gangster bergerak dalam beberapa sub-genre seperti komedi gangster dan seram gangster. Malaysia merupakan negara yang unik dan sering memberi makna rojak kepada filem. Justeru, kita sukar untuk menentukan apakah filem gangster di Malaysia ini benar-benar gangster atau hanya filem yang berpura-pura gangster?

Filem gangster di Malaysia sebenarnya boleh dianggap sebagai keliru kerana kita tidak memiliki identiti gangster yang sebenarnya. Kita tidak merujuk kepada dunia gangster yang sebenar dan kita gagal memahami perilaku dan organisasi gangster itu sendiri. Gangster secara realiti di Malaysia dan gangster di alam filem di Malaysia sememangnya berbeza dan jauh sekali untuk dibandingkan. Kita ambil contoh mudah mengenai filem gangster yang sering diperkatakan di Malaysia.

Judulnya sudah pasti ramai yang tahu. KL Gangster, terbitan Skop Production tahun 2011 dan diarahkan oleh Syamsul Yusof. Filem ini dilihat seolah-olah membuka dimensi baru kepada jenis filem gangster di Malaysia. Walaupun filem ini memiliki kekuatan dari segi teknikal, namun saya tidak gemar akan filem ini. Bagi saya filem ini tidak memiliki nafas yang cukup sebagai sebuah filem gangster. Filem KL Gangster ini diikuti dengan sekuelnya berjudul KL Gangster 2, terbitan produksi sama dan diarahkan oleh pengarah yang sama pada tahun 2013.

Bagi saya kedua-dua filem ini bukanlah sebuah filem yang menonjolkan kebijaksanaan organisasi gangster, tetapi lebih menunjukkan gangster ialah sampah dan penyakit masyarakat yang perlu dihindari. Namun, di sini kita perlu memikirkan juga niat pembikin itu sendiri. Mungkin niat pembikin itu mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa gangster ialah satu perkara yang perlu dijauhi. Melalui niat sebegini tidak salah untuk kita melihat filem gangster Malaysia hanya sekadar bentuk pesanan moral semata-mata. Gangster di dalam filem di Malaysia dilihatkan sebagai individu yang suka mengamuk, suka memukul ibu dan bapa, suka merogol adik sendiri, tidak mempedulikan keluarga, suka bercakap dalam bahasa Melayu yang berbunyi seperti Cina walaupun yang bercakap itu ialah Melayu, suka mencuri duit ahli keluarga, suka bersembang kuat-kuat di khalayak ramai, suka menembak, tetapi selalu tidak tepat pada sasaran, lebih suka bertumbuk daripada menggunakan pistol dan yang lebih penting gangster-gangster ini sering berebut kawasan, tetapi kita tidak tahu kawasan apa yang direbut dan tidak ada pembahagian kawasan yang jelas diceritakan. Kita juga tidak mengetahui apa bentuk perniagaan yang dijalankan oleh gangster-gangster ini.

Melalui senarai ini kita dapat menentukan sendiri sama ada gangster di dalam filem Malaysia memiliki keupayaan watak yang kuat atau pun tidak. Gangster di Malaysia sekadar iklan moral yang menunjukkan betapa buruknya perangai kamu jika kamu seorang gangster. Bukan sahaja kedua-dua filem arahan Syamsul Yusof ini sahaja kelihatan tidak real sebagai sebuah filem gangster, tetapi banyak lagi filem-filem gangster tempatan yang kurang kualiti dan nilai gangsternya. Di antara filem berkenaan termasuklah Kongsi, Mael Lambong, Bini-Biniku Gangster, Gangster Celop dan beberapa lagi filem lain yang ada kaitan dengan gangster.

Namun, satu persoalan besar muncul di sini. Adakah dunia gangster yang digambarkan di dalam filem-filem gangster Melayu sama seperti realiti yang berlaku di alam gangster Malaysia. Adakah sebenarnya gangster di Malaysia sememangnya tidak memiliki organisasi dan cara kerja yang bijak? Itu kita tidak tahu. Mungkin juga rujukan yang ada adalah terhad dan kekangan yang dihadapi misalnya kawalan kreatif menyebabkan kita hanya dapat menghasilkan filem gangster yang menunjukkan gangster hanya tahu berkumpul ramai-ramai dan bertumbuk. Kita tidak didedahkan dengan perihal organisasi. Misalnya seperti apa yang dilakukan oleh Francis Ford Coppola dalam trilogi The Godfather dan apa yang didedahkan oleh Martin Scorsese di dalam filem Goodfellas danCasino.

Kita dapat lihat bagaimana di dalam The Godfather, gangster atau mafia digambarkan sebagai memiliki organisasi yang teratur, menyayangi keluarga, bijak di dalam membuat keputusan dan sentiasa nampak cermat serta berpakaian kemas. Gangster di dalam trilogi The Godfather bukanlah gangster yang hanya tahu bertumbuk atau menggunakan senjata api, tetapi Gangster di dalam filem berkenaan ialah Gangster yang mahir berkomunikasi, memiliki seni rundingan yang tinggi dan cekap di dalam menggunakan kesempatan terhadap musuh. Mereka tidak berkumpul beramai-ramai di tengah-tengah jalan dan bersembang-sembang sambil berbalas-balas pantun dan kemudian diikuti dengan pergaduhan beramai-ramai. Babak ini sering diulang-ulang beberapa kali di dalam filem-filem gangster Melayu. Tidak sesekali kita dapat mengesan kebijaksanaan Gangster berkenaan menyelesaikan masalah. Di dalam The Godfather membunuh adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah dan cara membunuh di dalam filem The Godfather ditonjolkan secara pelbagai, ada yang dibunuh dengan mesingan, ada yang mati terkena jerutan, ada yang mati sakit semulajadi, ada yang mati ditembak di kepala.

Begitu juga dengan Goodfellas (1990). Kita dapat melihat bagaimana cukup teratur dan bersahaja penonjolan gangster yang dipaparkan. Gangster dilihat tenang dan berfikir dalam menyelesaikan masalah dan mereka benar-benar diletakkan dalam dunia mereka. Apabila kita menonton Goodfellaskita akan merasakan dan terdetik di dalam hati, begitu cool menjadi seorang gangster. Segala-galanya nampak teratur, jenayahnya terancang dan bukan membabi buta. Setiap perkara diambil sebagai perkiraan risiko dan apa yang boleh membebankan organisasi akan ditolak keluar. Kita lihat bagaimana watak Tommy DeVito lakonan hebat Joe Pesci di dalam filem ini. Watak ini dipaparkan sebagai seorang gangster yang psiko, panas baran dan sering menimbulkan masalah termasuk membunuh sesuka hati tanpa membuat pertimbangan wajar. Namun, Tommy dipaparkan sebagai seorang lelaki yang sayangkan ibunya dan tidak berlembut sewaktu bertutur kata dengan ibunya.

Sebuah filem Tamil hebat, Jigarthanda (2014) arahan Karthik Subbaraj juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah filem gangster yang cukup rasa dan benar-benar memberikan kita sentakan mengenai bagaimana sebuah filem gangster harus dibikin. Kita lihat bagaimana watak ketua gangster bernama Sethu lakonan memberangsangkan Bobby Simha beraksi. Mengekalkan ciri-ciri gangster dari India, namun bentuk filem ini dibikin menghampiri corak yang dibuat oleh Quentin Tarantino dan Martin Scorsese. Pengaruh kedua-dua mereka di dalam filem ini jelas dapat dirasai. Bayangkan sebuah filem gangster Tamil dengan pengaruh Tarantino. Filem ini berjaya menjauhi tipikaliti filem gangster Tamil sebelum ini yang sering disulami dengan adegan-adegan pergaduhan yang tidak masuk akal dan melangkaui hukum fizik. Jika kita di Malaysia masih merasakan Hollywood itu terlalu jauh untuk dicontohi, kita boleh mula belajar dengan Karthik Subbaraj.

Walaupun begitu, masih terdapat filem gangster yang berkualiti daripada pembikin filem tempatan dan ini termasuklah Amir & Loqman Pergi Ke Laut (2014) arahan Mamat Khalid. Filem sebenarnya cuba membetulkan semula definisi filem Melayu dari segi teknik dan latarnya. Lihat sahaja watak-watak gangster di dalam filem ini, tidak perlu bercakap pelat Cina dan terjerit-jerit, semuanya dilakukan dengan tenang. Tidak perlu tatu naga atau ular, tetapi tetap berjaya menakutkan lawan. Lihat watak lakonan Kaza yang hanya berseluar biasa dan berbaju Melayu, tetapi mampu menjadi pembunuh upahan yang berkesan, lihat juga Dewa Sapri yang kelihatan seperti orang tua yang tidak mampu, tetapi mampu membunuh. Ini hanya fragmen kepada ulasan Amir & Loqman Pergi Ke Lautdan sekadar mahu menyebut bahawa filem gangster tempatan yang baik.

Pembikin filem yang mahu membikin filem gangster, seharusnya memahami organisasi dan perlakukan gangster di Malaysia. Adaptasi daripada kisah-kisah sebenar di Malaysia boleh diangkat untuk dijadikan filem. Misalnya kisah organisasi Geng Mamak yang berjaya menggemparkan negara pada 31 Ogos 1994 dengan hasil rompakan jongkong emas bernilai RM9.6 juta di Terminal B, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Kisah Geng Mamak ini jika difilemkan sudah tentu akan menjadi sebuah filem yang hebat, jika kena pada tangan pengarah, penulis lakon layar dan pelakonnya. Kisah tentang bagaimana organisasi ini tertubuh, bagaimana rancangan rompakan besar ini berjaya dilaksanakan tanpa mengorbankan nyawa sesiapa pun dan bagaimana pengakhiran organisasi geng ini. Ini merupakan di antara skop penceritaan yang boleh dikembangkan dengan baik lagi. Sebuah filem gangster yang baik, mesti berasaskan kepada organisasi yang sebenar. Namun, adakah Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan membenarkan semua ini? Saya tiada jawapan untuk itu. – Roketkini 

Sampah Yang Memualkan.....!

No comments:

Post a Comment