nuffnang

Friday, October 23, 2015

Perbankan Islam 
Tiada ‘Roh Islam’, Zalim?

KUALA LUMPUR - Perbankan Islam yang diamalkan oleh bank-bank dalam negara didakwa tidak mempunyai ‘roh Islam serta zalim’ dan menekan pelanggan-pelanggannya di sebalik nama institusi perbankan itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nad­zim Johan yang kecewa dengan perkara sedemikian selain bimbang pelanggan tidak menyedari praktis bank yang mengambil kesempatan.

Katanya, antaranya amalan bank terbabit adalah mengenakan syarat yang terlalu berat sebelah dan pe­langgan seolah-olah terpaksa menye­rahkan segala hak mereka di tangan bank yang boleh bertindak apa sahaja tanpa kebenaran pelanggan.

“Nyata dan jelas Islam menentang apa jua jenis kezaliman dan ketidakadilan secara habis-habisan dan pelbagai aduan diterima berkaitan tindakan yang tidak munasabah dan tidak berjiwa Islam.

“Perkara ini tertulis dalam kan­dungan perjanjian semasa pembukaan akaun yang mana terdapat klausa yang memberi hak kepada bank untuk meminda sebarang perubahan tanpa persetujuan pelanggan terlebih dahulu. Namun demikian, saiz tulisan kandungan perjanjian yang terlampau kecil boleh dipertikaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pelanggan Perkhidmatan Kewangan Malaysia (Pebank), Sheikh Abd. Kareem Said Khadaied dan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Sementara itu, Sheikh Abd. Kareem berkata, institusi kewa­ngan Islam negara yang diselia Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) perlu meneliti kembali syarat dan klausa oleh bank-bank yang menyediakan perbankan Islam.

“Beberapa amalan daripada pihak bank dilihat tidak beretika serta telah tersasar daripada matlamat sebenar dalam mengangkat institusi perbankan berlandaskan hukum syarak dalam perniagaan mereka.

“Sebagai contoh, perjanjian sebelum sesuatu akad perniagaan atau persetujuan mestilah jelas dan tiada syarat tersembunyi. Perkara ini termaktub dalam syarat-syarat yang dikeluarkan oleh MPS,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki pula menggesa BNM supaya mengatasi permasalahan itu yang telah wujud sekian lama dengan menstrukturkan kembali institusi kewangan Islam negara bagi mengelak penindasan terhadap pengguna.

Katanya, apa yang dipertikaikan adalah persetujuan perjanjian yang terpaksa diikuti pelanggan yang di­lihat hanya menyebelahi pihak bank sementara pelanggan pula terpaksa menerima tanpa persetujuan. - utusan

No comments:

Post a Comment