Thursday, October 15, 2015

Rangsang Emosi Positif

Emosi mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kesihatan. Beberapa emosi negatif seperti marah dan bimbang dan kaedah untuk mengawal kesan emosi tersebut telah diulas dalam ruangan yang lepas. Sama seperti emosi negatif, emosi yang positif seperti keseronokkan juga mempunyai pengaruh terhadap tahap kesihatan emosi dan juga fizikal individu.

Tekanan dan masalah yang boleh mencetuskan kepelbagaian emosi negatif adalah perkara normal dalam kehidupan seharian. Kepentingan untuk menangani emosi negatif tersebut adalah jelas. Untuk minggu ini, ruangan ini menyenaraikan beberapa kaedah ringkas untuk merangsang emosi positif.

Tumpuan dan perhatian berfungsi dalam bentuk terpilih. Apabila minda tertumpu terhadap sesuatu perkara, ia akan mengabaikan perkara yang lain. Oleh yang demikian, apabila minda tertumpu terhadap perkara yang negatif, ia akan mengabaikan perkara yang positif dan sebaliknya. Oleh yang demikian, mengalihkan perhatian dan tumpuan minda dari perkara yang negatif kepada sesuatu yang lebih neutral dan menceriakan akan membantu merangsang emosi positif.

Alihkan perhatian
Kaedah-kaedah berikut boleh cuba digunakan untuk mengalihkan perhatian minda daripada perkara yang membebankan dan merangsang emosi diri yang lebih positif.

1 Membaca bahan bacaan yang memberi insipirasi kepada diri
Jika anda berasa tidak bermotivasi dan terbeban dengan masalah, carilah masa untuk membaca buku dan bahan bacaan lain yang dapat memberi inspirasi kepada diri. Buku-buku biografi atau autobiografi kehidupan individu yang telah berjaya boleh dijadikan sumber inspirasi.

2. Cari masa untuk menonton filem dan cerita-cerita kegemaran anda
Cari masa untuk menonton filem dan cerita kegemaran terutamanya filem dengan genre lawak jenaka. Filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee contohnya, adalah pencetus emosi positif yang baik. Emosi sering dipengaruhi oleh perkara yang dilihat dan didengar. Oleh demikian, jika anda dalam keadaan sedih dan bermasalah, elakkan daripada menonton filem genre sedih yang boleh menambahkan keamatan emosi tersebut.

3. Elak seketika menonton berita
Paparan-paparan berita kebelakangan ini sering berkait dengan perkara yang membangkitkan emosi negatif seperti marah dan sedih. Oleh yang demikian, elak menonton berita untuk seketika.

4. Bersukan dan bersenam
Bersukan dan bersenam dapat menggalakkan pengeluaran hormon yang menyebabkan perasaan tenang. Selain itu, interaksi sosial yang berlaku semasa sesi senaman dan sukan dapat mencetuskan emosi positif. Pelbagai bentuk aktiviti senam dan sukan yang boleh dipilih sama ada secara bersendirian atau berkumpulan, menjadikan aktiviti ini satu amalan yang dapat memberikan kebaikan jangka panjang terhadap kesihatan yang menyeluruh.

5. Dengar muzik yang memberikan semangat
Kajian menunjukkan bahawa muzik dikenal pasti sebagai medium untuk meningkatkan emosi positif. Luangkan masa untuk mendengar alunan musik kegemaran anda yang dapat menceriakan mood. Bagi umat Islam, mendengar alunan bacaan al-Quran juga dapat menenangkan perasaan.

6. Usahakan impian
Setiap orang mempunyai impian. Jika impian ingin memulakan perniagaan, libatkan diri dengan aktiviti ke arah merealisasikan impian tersebut. Sekadar berimpian tanpa meletakkan sebarang usaha tidak akan dapat merealisasikan impian tersebut.

7. Gunakan teknik pernafasan dalam dan perlahan
Emosi yang dialami individu biasanya akan menyebabkan perubahan fisiologi badan seperti peningkatan kadar pernafasan dan kadar degupan jantung. Oleh yang demikian, jika anda berada dalam keadaan beremosi, seperti marah dan kecewa, perlahankan pernafasan dan bernafaslah dalam-dalam. Ini akan meneutralkan emosi dan akan mencetuskan rasa tenang.

8. Senyuman dan gelak tawa
Gelak ketawa dan senyuman adalah perangsang emosi positif yang sangat baik. Ada ketika dalam kehidupan seharian kita dibebani dengan masalah dan tiada apa yang dapat menceriakan diri. Jika berada dalam keadaan tersebut, carilah sesuatu untuk merangsang rasa lucu dan ceria.

9. Luangkan masa untuk melawat tempat yang belum pernah dilawati.
Mengikut kemampuan masing masing, luangkan masa untuk pergi ke tempat menarik berdekatan rumah yang belum pernah dilawati.

10. Amalkan kaedah relaksasi
Relaksasi adalah kaedah merehatkan minda untuk mencapai perasaan ketenangan. Jika berada dalam situasi yang mencetuskan emosi yang negatif, gunakan kaedah membilang dari belakang (contohnya dari 10 ke 1) sehingga emosi negatif tersebut pudar. Gunakan juga kaedah pernafasan dalam dan perlahan seperti yang disebut di atas.

Kaedah-kaedah di atas boleh dicuba untuk merangsang emosi ke arah yang lebih positif dan seterusnya menyumbang terhadap kesihatan diri yang lebih menyeluruh.

2 comments: