Friday, October 16, 2015

Di Mana Pusat Zakat?

Isu Biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera terus dirungutkan.
Beberapa malam lepas seorang bapa berjumpa dengan saya membincangkan perkara yang sama.

Anaknya di Mesir belajar perubatan. Katanya lebih 500 pelajar perubatan Melayu di negara itu kini menderita. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia minta tolong bagaimana mahu membantu pelajar-pelajar itu.

Dia pun bukan calang-calang orang. Bekas Presiden GPMS tahun 70an. Bekas guru, bekas pegawai pendidikan. Kini menagih bantuan sana-sini bagi membantu budak-budak itu.

Kebanyakan pelajar itu adalah tajaan sendiri, yang semuanya dihantar sendiri oleh ibu bapa kerana percaya mereka akan dibantu pada tahun kedua selepas memperoleh keputusan tahun pertama.

Namun hampa. Ada yang memperoleh keputusan cemerlang pun tidak dapat bantuan.

Berikut ialah SMS beliau kepada saya:

“Baik budi terhadap asnaf fisabilillah Medic kita di Mesir dengan jati diri hebat merentas huru-hara berjihad menjadi khalifah Allah yang terbaik, Masya-Allah.

Setiap bulan saya terima antara 17-23 asnaf Medic Mesir yang minta infak atasi COLA (sara hidup) me­­reka purata semua mereka RM12,000 setiap bulan sejak 2010. Dengan bantuan 10 sahabat yang sedia beri infak bulanan sejak 2010 berjaya saya tunaikan SOS asnaf tersebut dengan saya sendiri gunakan hampir 60% wang pencen bulanan saya.}

Kebetulan bulan Oktober ini hampir semua sahabat buat ibadah korban maka infak bulanan mereka terbatas dan saya cuma dapat RM6,000 daripada keperluan RM16,000 termasuk RM3,000 infak bulanan saya. Seperti yang telah dibincangkan semalam saya mohon infak RM10,000. Saya juga dah minta daripada lain-lain kawan tapi banyak yang nyatakan ekonomi mereka kini merosot.

Allah saja yang dapat sediakan Syurga Firdaus untuk sahabat-sahabat atas infak RM10,000 kepada asnaf anak bangsa yang amat daif tegal dalam jihad fisabilillah.
MOHON MASUKKAN DALAM BANK AFFIN A/C: 2054 8026 3686 PADA ATAU SEBELUM 16/10/15.

Hj Yusof Hj Mohd Yatim, mantan Presiden GPMS 1972-74&78-82”


Saya bertanya mengapa pelajar-pelajar itu tidak bekerja sambilan dan belajar. Di Mesir katanya bukan se­perti di UK atau US. Tiada kerja di sana dan jika kerja pun keadaannya tidak menyelesakan.

Oleh kerana ini adalah isu ummah kita, maka saya bertanya sana-sini. Seorang bekas hakim mahkamah syariah yang saya kenali mengesyorkan ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan mencuba merayu di:

* Baitulmal. Pusat Zakat Wilayah Persekutuan dan Selangor mempu­nyai dana zakat yang terlalu besar. Difahamkan kutipan setahun mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit.

Jika kantung kerajaan, MARA dan agensi-agensi lain sudah surut, maka inilah antara pilihan yang ada bagi ibu bapa itu memperoleh bantuan untuk anak-anak mereka.

Semasa kita membuat potongan gaji untuk zakat, itulah niat kita pun iaitu membantu anak-anak yang memerlukan bantuan untuk pelajaran.

Apa pandangan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat Selangor. Adakah ia hanya mampu melihat sahaja?

Rujukan: http://www.zakatsela­ngor.com.my/terkini/pc-kutipan-­agihan-2014/

http://www.maiwp.gov.my/i/index.php/berita-maiwp/392-ku­tipan-zakat-wilayah-persekutuan-2013-rm492-01-juta

* Dana Masjid. Saya difahamkan masjid-masjid bertaraf negara, ne­geri dan yang besar-besar mempu­nyai dana kutipan yang besar. Ia juga boleh diberi bantuan kepada golong­an pelajar di Mesir itu.

Mereka haruslah proaktif dan bukan sekadar menyimpan di bawah bantal sahaja. Saya mendapat tahu ada masjid yang mempunyai simpanan berjumlah jutaan ringgit yang boleh disalurkan untuk hal-hal kemas­lahatan sebegini.

Saya mendapat tahu institusi gereja di negara ini juga begitu aktif menjalankan usaha memberi biasiswa besar dan kecil serta dermasiswa kepada jemaah mereka. Di Barat gereja-gereja mempunyai geran bagi bantuan sebegini.

Ia juga sepatutnya dilakukan oleh masjid-masjid kita seluruh negara. Uar-uarkan kepada para jemaah bahawa kutipan derma kita ini akan disalurkan untuk bantuan pelajaran anak-anak kita. Saya pasti orang yang biasa menginfak RM1 akan menambah kepada RM2 dan yang sedekah RM5 kepada RM10 dan begitulah seterusnya pada setiap solat Jumaat.

Akhir sekali bangkitlah umat Islam semua bagi membantu pelajar-pelajar sebegini. Gunakan kuasa kekuatan jemaah kita.

Jika kerajaan tidak lagi berupaya membantu walaupun ia termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia ja­ngan ditangisi.

Para jemaahlah yang bertanggung­jawab secara fardu kifayah atas nama ummah untuk membantu.

Bila lagi kita mahu berdiri atas kaki sendiri.

Cuit-Cuit Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment