Monday, October 12, 2015

Suara Rakyat Yang Tak Mahu Didengari....!

Kaji semula dasar perpaduan kaum
Dalam begitu banyak isu yang berlaku sepanjang ming­gu ini, saya terkesan dengan masalah sikap perkauman masyarakat kita sekarang. Sikap biadap dua pemuda bukan Melayu yang menghamburkan kata-kata kesat dan mencampakkan wang di depan penguat kuasa wanita Melayu yang berkhidmat dengan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang menunjukkan satu sisi negatif dalam minda masyarakat majmuk negara ini.

Satu lagi isu ialah hasrat baik penganjur 'Baju Kuning' dan 'Baju Merah' yang tidak jemu-jemu hendak mengadakan perhimpunan. Kini terserlah si baju kuning disertai majoritinya kaum Cina dan si baju merah didokongi oleh kaum Melayu.

Perkara ini menunjukkan tanpa mengira bangsa, masyarakat berbilang kaum negara ini semakin hari semakin terhakis rasa hormat menghormati dan bekerjasama antara kaum. Makna perpaduan antara kaum kian pupus dalam minda mereka.

Masalah sekarang yang semakin menghambat perasaan rak­yat negara ini ialah sikap kurang ajar dan tidak meng­hormati antara kaum.

Ada masa orang Melayu tidak dapat mengawal perasaan akan mengutuk orang Cina atau India. Ada ketika yang lain orang Cina dan India menghina orang Melayu. Perkara ini rasanya kurang atau tidak pernah dilaporkan berlaku di Sabah dan Sarawak. Rasanya masyarakat berbilang kaum di sana rasa tolak ansur kalangan mereka lebih tinggi berbanding dengan masyarakat di Semenanjung. Kenapa?

Sekarang secara terang-terangan segelintir orang Cina tanpa takut menghina orang Melayu. Penghinaan secara simbolik atau terang-terangan ini dilakukan oleh pemimpin politik mahupun orang awam. Banyak insiden yang dilakukan tanpa sedar dan dimulakan oleh kaum bukan Melayu itu lambat-laun akan membakar jiwa penyabar umat Melayu.

Kekecohan
Bangsa Melayu tidak selama-lamanya akan terus bersa­bar. Saya percaya akan pertimbangan yang lebih besar diam­bil oleh orang Melayu setakat ini. Apa yang negara ini perolehi jika kekecohan dan tunjuk perasaan terus-terusan diadakan antara orang Melayu dan bukan Melayu terutama di Kuala Lumpur?

Sedangkan di negara yang mem­­punyai satu bangsa pun boleh bergaduh dan berperang inikan pula negara kita yang komposisi pen­duduknya pelbagai kaum. Jangan­lah difikirkan apabila umat Melayu dihasut supaya berpecah-belah maka perasaan untuk menghormati kaum Melayu diketepikan.

Rasa hormat kepada Raja-raja, agama Islam, pemimpin kerajaan, anggota polis dan penguat kuasa yang majoritinya Melayu dicampak ke longkang. Dulu tidak macam ini. Kenapa sekarang lain? Sudah kuat sangatkah mereka dan mahu menguasai negara ini.

Saya lihat masalah yang berlaku sekarang adalah kesan daripada pendidikan sekolah dan institusi pengajian tinggi negara ini sejak 10 hingga 20 tahun lalu. Inilah hasil yang sedang kita tuai.

Murid Cina dengan corak pe­mi­kiran dan pergaulannya adalah kesan didikan yang dipu­puk melalui aliran Sekolah Jenis Ke­bangsaan (SJK) Cina. Begitu juga dengan murid India di SJK Tamil. Murid Me­layu masih dengan kesetiaan dengan semangat dasar pelajaran kebangsaan di sekolah kebangsaan.

Sebut tentang dasar kerajaan ini, sudah lenyapkah Da­sar Budaya Kebangsaan, Dasar Sosial Negara dan dasar-dasar yang memupuk semangat perpaduan antara kaum. Rasanya dasar itu masih ada tetapi tidak ada sesiapa yang mahu mempopularkannya. Banyak pihak ambil langkah tidak ambil kisah.

Boleh kita tanya bagaimana hasil Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan peserta berbilang kaum itu. Lepas selesai program, sambung pengajian di institusi tertentu atau masuk bidang pekerjaan, mereka kembali dengan sikap perkauman yang sudah sebati sejak di bangku sekolah.

Saya lihat dasar perpaduan kaum negara ini kurang berjaya. Kenapa sesetengah pemimpin negara kita enggan meng­akuinya. Dari semasa ke semasa semakin teruk sikap perkauman yang mem­biak dalam minda anak-anak muda.

Bodoh sangatkah orang Melayu mentadbir negara ini? Hina sangatkah Raja-raja Melayu menasihatkan rakyatnya supaya menjaga perpaduan? Bangsat sangatkah orang Melayu dalam memastikan negara ini terus aman, maju dan makmur?

Perkembangan sekarang, baik pemimpin atasan poli­tik mahupun rakyat bawahan sering tuduh-menuduh dalam mem­pertahankan kaum masing-masing. Dengan kedudukan dan suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan, mereka menambah masalah dengan pergolakan politik antara kaum pula.

Dahulu ada sebuah kementerian yang mempromosikan aktiviti perpaduan masyarakat, apakah ia perlu diwujudkan semula? Entahlah terserah kepada bijak pandai di Putrajaya.

Kalau rasa sistem pendidikan menjadi sarang memecah-belahkan generasi muda berdasarkan kaum masing-masing maka bertindaklah dengan berani. Usah cakap pusing-pusing dan berbelit-belit akhirnya tidak ada apa yang berubah. Tapi jurang perpaduan antara kaum semakin membesar.

Perpaduan antara kaum adalah isu 'wajib bincang' baik peringkat pembuat dasar ataupun sesa­ma golongan remaja sendiri. Kalau belum ada perancangan ke arah mengkaji semula dasar perpaduan kaum, maka lakukanlah segera.

No comments:

Post a Comment