ADALAH satu perkara lumrah, setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga ada isteri-isteri yang memberitahu mereka seolah-olah terasa diketepikan oleh suami masing-masing. Ada yang mengatakan suami seolah-olah tidak perasaan dengan kehadiran mereka dan melayan mereka seolah-olah orang asing dalam rumah dan suami pula hilang dalam dunia sendiri.
Setiap hubungan biasanya akan berhadapan dengan ujian yang melibatkan keseimbangan emosi, kesabaran dan kapasiti empati. Apatah lagi sekiranya hubungan berkenaan adalah hubungan suami isteri yang telah berpanjangan dan sudah tentu sesuatu perlu dilakukan dalam usaha menyelamatkan keadaan.
Situasi tidak sedar atau kurang perasan ini akan menyebabkan sesuatu yang mengecewakan dan menyakitkan kerana merasakan hubungan yang dibina semakin tawar dan hambar. Namun, sebelum itu pasti ada beberapa perkara yang menyebabkan mengapa suami seolah-olah sudah tidak perasan atau menyedari keadaan isteri sendiri. Ini juga adalah permulaan bagaimana suami anda akan berubah arah atau cuba membina satu cinta baru di luar. Jika ini berlaku anda perlu cepat menarik kembali perhatian suami anda.
*Dia adalah seorang yang sibuk dalam bidang profesional.
*Dia sudah tidak lagi tertarik dengan keadaan anda secara fizikal kerana sudah terbiasa dengan kehadiran anda sepanjang masa.
*Dia sudah tidak mahu berkongsi ikatan emosi dengan anda.
*Dia telah mula merasakan bosan dengan anda.
*Dia mungkin sedang menjeruk rasa atas satu faktor isu yang tidak pernah selesai.
*Dia sudah tidak mencintai anda sebagaimana perasaan itu bertandang mula-mula dahulu.
*Dia hanya mula mengambil mudah sahaja perhubungan anda berdua.
*Dia sudah mula hilang minat terhadap anda.
Sekiranya keadaan ini terjadi, jangan menunggu terlalu lama. Lakukan sesuatu untuk mendapatkan perhatian suami anda semula dengan daya penarik diri anda.
Anda boleh mula dengan memotong rambut dengan gaya terbaharu agar dia terperasan dengan apa yang anda lakukan kepada rambut. Kadangkala dengan memotong rambut, wanita itu akan akan kelihatan seksi.
Kemudian dapatkan baju-baju rekaan terbaharu untuk anda dan pakainya sewaktu duduk berdua dengannya ketika sedang makan di rumah. Selalunya, suami anda akan mengerling sedikit kepada anda melihat gaya terbaharu anda itu.
Sapukan sedikit minyak wangi yang baunya mampu menawan suami anda.
Bauan minyak wangi ini sedikit sebanyak akan mendekatkan anda dengan dirinya ketika anda lalu lalang di depan suami. Jadikan wajah anda jelas kelihatan segar dan ceria ketika menguntum senyuman buatnya, terutama ketika dia berada di rumah.
Goda suami anda, ingatkan caranya ketika di usia awal perkahwinan dahulu, cubalah caranya sekarang, tentu suami anda terperanjat. Seterusnya ucapkan pujian untuknya dengan menyatakan hari ini keadaan dirinya cukup menawan, menggoda dan tampan sebagaimana reaksi anda beberapa tahun lalu.
Mula menyatakan perasaan anda dan hormati dirinya. Berhenti daripada terus menyalahkan diri sendiri terus menerus menyebabkan suami anda semakin menjauhkan diri akibat faktor-faktor daripada diri anda.
Dapatkan satu tenaga baharu untuk melayan suami anda penuh dengan rasa kecintaan dan humor.
Kemudian apabila semuanya tidak berjalan lancar, anda sepatutnya bercakap dengan suami anda mengenai perasaan anda sekarang.
Tetapi perlu dijauhkan adalah pertengkaran demi pertengkaran.
Perkara mudah yang boleh anda lakukan adalah fokus mendengar pandangan suami anda tentang anda dan kemudian jangan marah apabila dia mungkin bercerita mengenai sikap anda yang membuatnya mula hilang perasaan.
Apabila ini sudah berlaku, anda kini sudah ada perkara yang perlu anda selesaikan atau sama-sama berganding bahu cuba memberikan yang terbaik untuk hubungan anda seterusnya.
Sumber : utusan@Keluarga
No comments:
Post a Comment