Sunday, March 2, 2014

Mereka Yang Teristimewa....!

Pihak Berkuasa Kita!
DI Malaysia, jika anda mahu menghina dan menyemarakkan ekstremisme, sertailah DAP. Sebagai parti paling rasis, DAP ada lesen besar untuk melakukan provokasi yang keterlaluan.

Awang sudah tidak larat menggeleng kepala dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu yang menghina Islam, Melayu, pasukan keselamatan, kakitangan awam dan negara.

Anehnya, pihak berkuasa meletakkan kayu ukur berbeza terhadap DAP. Kalau pihak lain berbuat demikian maka pantas sahaja tindakan diambil sehingga ada kalanya dilihat terlebih pro aktif.

Sampai hari ini misalnya, ramai tertanya-tanya apakah tindakan terhadap Red Bean Army (RBA) yang telah banyak melakukan fitnah, tohmahan dan provokasi yang dahsyat terutama semasa musim pilihan raya umum lalu. Semua tahu perbuatan mereka mengancam keselamatan negara tetapi mereka terlepas begitu sahaja. Awang berpendapat pihak berkuasa telah memberikan isyarat yang salah seolah-olah kumpulan kecil ekstremis seperti RBA dan DAP lebih diutamakan berbanding majoriti rakyat.

Sebenarnya orang ramai sudah bosan mendengar pelbagai alasan termasuk daripada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Awang bersimpati dengan apa yang menimpa Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Shen Yee Aun yang menerima ugutan bunuh ekoran pendedahan demi pendedahannya mengenai RBA. Kalau beliau seorang diri boleh berani dan cekal melawan ekstremisme, kenapa pihak berkuasa teragak-agak?

Tidakkah pendekatan berlembut dan kegagalan pihak berkuasa bertindak turut menjadikan DAP dan RBA semakin ekstrem.

Terbaharu, Ketua Publisiti DAP, Hew Kuan Yau menghina isteri pemimpin negara dengan cara yang tidak boleh diterima. Mengharapkan kematian seseorang adalah pemikiran kotor yang selalu ada dalam kalangan ekstremis. Ini bukan kali pertama Kuan Yau bersikap melampau. Beliau pernah menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pemimpin Melayu Barisan Nasional (BN). Mengapa DAP terus berani melakukan provokatif, jawapannya kerana pihak berkuasa kita yang beri mereka muka.

Isu Lim Guan Eng mahukan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam, klip video Teresa Kok, Jeff Oii gelar kakitangan MPPP sebagai kucing kurap; cubaan campur tangan Lim Kit Siang ke atas khutbah Jumaat; Tony Pua mempersoalkan larangan Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap sambutan Hari Kekasih, kenyataan Tony menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang majoriti orang Melayu sebagai ‘anjing’ dan banyak lagi - menampakkan DAP tidak gentar untuk terus menyemai kebencian.

Awang ingin mengucapkan ‘tahniah’ kepada pihak berkuasa kita kerana dalam sebahagian hal, telah memperkasakan pihak ekstrem.

Oleh : Awang Selamat



PDRM Agresif Tarik Penyertaan Cina
KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan khas untuk menarik penyertaan kaum Cina secara agresif dalam pasukan itu selain melonggarkan syarat pengambilan serta mengkaji aspek gaji dan syarat kemasukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pasukan khas itu berperanan memberi kesedaran terhadap profesion polis kepada kaum Cina di seluruh negara, khususnya pegawai berpangkat rendah.

Beliau memberitahu, pada masa ini, penyertaan kaum Cina dalam PDRM adalah rendah iaitu kurang dua peratus berbanding jumlah keseluruhan 111,000 warga pasukan itu.

"Polis juga akan berbincang dengan institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari punca kenapa kaum Cina masih kurang berminat menyertai polis.

"Kita akan melihat semua aspek terutama soal gaji yang rendah atau syarat kemasukan yang sukar," katanya selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2013 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol).

Pada majlis itu seramai 394 orang ditauliahkan sebagai Inspektor polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan itu telah melonggarkan syarat kemasukan terhadap kaum tersebut iaitu lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding kepujian sebelum ini.

"Mereka yang dipilih menyertai latihan nanti akan diberikan ujian khas bagi memantapkan kemahiran dan penguasaan bahasa Melayu.

"Jabatan Pengurusan juga akan cadangkan kepada Ketua Polis Negara agar latihan kepada kaum itu dikurangkan iaitu daripada sembilan kepada enam bulan untuk menarik minat mereka," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, sesi pertama pengambilan konstabel baharu tahun ini akan dibuka mulai Isnin ini.

Katanya, borang permohonan boleh dimuat turun daripada laman web PDRM di www.rmp.gov.my dan yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke balai polis berdekatan atau ke Unit Perjawatan Pengambilan Bukit Aman.

Sumber : Dalam Negeri@utusan


No comments:

Post a Comment