KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini menegaskan bahawa beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya berhubung soal kepentingan Melayu dan Islam kerana sudah bersara.
Kata Abdul Hamid, sepanjang menjadi hakim, beliau tidak membuat sebarang kenyataan berhubung isu berkaitan Melayu dan Islam kerana menjaga integriti dirinya dan badan kehakiman.
"Saya dilahirkan sebagai seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya tetapi takdir Allah SWT terhadap saya. Saya juga akan mati sebagai Melayu. Saya tidak ada pilihan kerana itu pun sudah ditetapkan oleh Allah SWT.
"Saya boleh pilih mengenai agama tetapi kalau diizinkan Allah, saya hendak pilih mati sebagai seorang Islam," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Barisan Perpaduan Nasional (BPN), di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pemberita portal propembangkang yang bertanya sama ada penglibatan bekas hakim dengan perjuangan Melayu dan Islam menimbulkan persepsi bahawa badan kehakiman dekat dengan isu-isu sebegitu.
Abdul Hamid yang juga Pengerusi BPN menegaskan, adalah satu tanggapan yang salah apabila menyatakan seorang bekas hakim tidak boleh memperjuangkan soal kepentingan Melayu dan Islam.
Katanya, apa yang diperjuangkannya juga bukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.
"Jadi, salahkah jika saya kata saya orang Melayu dan Islam. Salahkah jika saya katakan saya hendak bercakap mengenai hak orang Melayu dan Islam. Salahkah jika saya kata saya hendak mempertahankan hak Melayu dan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia seperti yang telah dipersetujui.
"Oleh kerana saya pernah jadi hakim, seolah-olah saya tidak boleh jadi Melayu, saya tidak boleh jadi Islam dan tidak boleh bercakap, ini tidak betul. Itu pendirian saya," katanya.
Menurut Abdul Hamid, beliau bersetuju menerima pelawaan untuk menyertai BPN setelah memikirkan betapa runcingnya kedudukan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia pada masa ini.
Namun, katanya, beliau bersetuju menyertai BPN dengan beberapa syarat iaitu yang pertama, penyertaannya itu hanya untuk suatu tempoh sahaja kerana faktor usia.
"Kedua, saya tidak akan terlibat dalam apa-apa hal yang menyalahi undang-undang. Ertinya, apa yang dilakukan oleh BPN hendaklah dalam lingkungan undang-undang, bukan di luar atau melanggarnya.
"Ketiga, segala tingkah laku BPN hendaklah mengikut peradaban Melayu dan akhlak Islam. Sebagai orang Melayu, kita ada adat dan adab. Sebagai orang Islam, kita ada syariah dan akhlak. Itu kita perlu patuhi," katanya.
Yang turut hadir pada mesyuarat tersebut, bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Ghazali Mohd. Seth dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor selaku Timbalan Pengerusi BPN serta Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, kalangan kaum minoriti yang mempersoalkan kebebasan mereka di negara ini dicabar supaya menunjukkan sebuah negara yang memberikan lebih banyak hak kepada kelompok tersebut daripada Malaysia.
Beliau berkata, kelompok tersebut sepatutnya melihat bagaimana layanan yang diterima mereka berbanding kaum minoriti di negara lain seperti di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Myanmar.
"Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di negara jiran, nama mereka pun perlu diubah. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah kerajaan menghalang mereka mengamalkan agama mereka?
"Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah ibadat mereka di Malaysia termasuk di tanah kerajaan dengan percuma dan tanpa sebarang tindakan, malah akhirnya diberikan pampasan pula berbanding dengan halangan yang dihadapi umat Islam untuk membina sebuah masjid di Eropah atau AS," katanya.
Menurutnya, berbanding rakyat di negara lain, ramai rakyat Malaysia tidak tahu berterima kasih, tidak berbangga dan tidak mempunyai rasa taat setia secukupnya terhadap negara mereka.
"Bukan itu sahaja, mereka memperlekehkan negara sendiri terutama sekali semasa berada di luar negara. Golongan ini akan melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan apa caranya dan akibatnya kepada negara untuk mengaut keuntungan diri sendiri, sambil memperlekehkannya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perpecahan serius yang berlaku dalam kalangan orang Melayu sekarang berpunca ketaksuban kepada parti dan pemimpin, di samping kehadiran golongan pemimpin dan penyokong yang oportunis untuk mencapai cita-cita tanpa mempedulikan apa bakal terjadi kepada bangsa, negara dan agama.
Katanya, orang Melayu juga berpecah kerana terlalu leka dengan kemakmuran yang baharu dinikmati.
"Melihat keadaan itu, kumpulan yang memang pandai mengira untung rugi, terus mengatur perancangan mereka untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil mengharapkan parti-parti dan orang Melayu yang naif. Mereka hampir berjaya," katanya.
Sumber : utusan@dalam-negeri
No comments:
Post a Comment