KAMI Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) ingin membawa orang Melayu merenung dengan mengetepikan ideologi sempit dari segi jangka panjang kerana semua sedia maklum bahawa tiada kawan dan lawan dalam dunia politik yang kekal dan abadi, kecuali kepentingan diri semata-mata.
PPPMM ingin berkongsi pandangan dan nostalgia umat Melayu selepas 56 tahun merdeka, apakah rintihan, apakah nikmat, pahit manis, sedih pilu terhadap panorama bangsa bernama Melayu yang mewarisi kuasa sekian lama, selaku pemimpin, pembesar, penguasa, tetapi bangsanya terbiar di bumi sendiri, menjadi calon pengemis, merengek, merintih di bumi sendiri.
Mari kami bawa semua Melayu, sesekali merenung impian hati setiap Melayu yang tidak mungkin kesampaian malah semua hati Melayu yang sedar dan mengharap setinggi gunung.
Tetapi hatinya digamit sedih, merintih dan pilu. Nafas kecewa mendesah bersalut kesah di sana sini. Harapan untuk melihat bangsanya bernama Melayu itu bertaut dan bersatu, membina tamadunnya kian lebur.
Kini Melayu kian resah mengundang persoalan, apakah begini caranya selaku pemimpin yang diberi amanah, melayari bahtera sejak merdeka umpama sudah hilang pendayung, hilang sauh, hilang arah dan tujuan, bagaikan tongkang pecah.
Mari kita sama-sama jenguk dan jengah selepas kita merdeka, kenapa anak bangsa terbiar di jalanan, bergelandangan dalam keadaan terhuyung-hayang mempamerkan wajah hodoh penagih dadah.
Ramai anak Melayu menjadi kongsi gelap berbanding bangsa lain. Di setiap sudut jalan, pasti hadir warga merdeka menadah tangan mengemis simpati untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Aksi anak muda merempit di jalan raya, seringkali berkesudahan dengan tragedi kehilangan kaki, tangan dan nyawa.
Di saat orang lain memunggah harta kekayaan siang dan malam, generasi merdeka lebih senang bersantai dan melepak hingga dinihari, sebelum pulang ke rumah menyambung mimpi. Bangun keesokan dari tidurnya saat mentari sudah beredar ke ufuk barat.
Dari pesta muzik dan keasyikan ekstasi anak-anak gadis pula berakhir dalam rangkulan kemaksiatan tanpa sempadan sebelum terjebak menjadi pembunuh sadis untuk menghumban bayi yang dikandungnya ke dalam longkang atau tempat pembuangan sampah sebagai hidangan langau dan binatang liar.
Di lorong-lorong hanyir masih ramai anak gadis yang menjual tubuhnya sebagai bahan ratahan bangsa asing. Imam di masjid atau surau seringkali diteman sepi tanpa jemaah.
Selain itu, faktor inflasi yang semakin meningkat, harga barang dan rumah melambung, tidak ketinggalan kehadiran hampir satu juta pekerja asing, pusat maksiat, hiburan yang berlebihan, macam cendawan tumbuh yang menjadi tarikan remaja, sekali gus menjauhkan mereka dari agama.
Dalam kita hendak berkuasa, kita beri lebih tumpuan kepada bukan Melayu, kononnya kalau mengetepikan mereka akan menyebabkan kita kalah dalam pilihan raya.
Ramai orang Melayu menyangka bahawa diri mereka cukup cekap dalam berpolitik, sebaliknya politik orang Melayu yang memecahbelahkan Melayu dan dalam pemerintahan orang Melayu banyak perkara yang hanyut.
Tidakkah dalam zaman orang Melayu berkuasalah bahasa Melayu hanyut, budaya Melayu hanyut, huruf jawi hanyut, tanah rezab Melayu hanyut, nama Tanah Melayu hanyut dan banyak lagi yang hanyut kalau hendak kami perincikan.
Kita yang kerap berbangga sebagai sebuah negara Islam gagal menumpaskan kegiatan dakyah orang bukan Islam secara radikal, yang kerap mengganggu keharmonian beragama seperti menghina Islam, Allah, Nabi, al-Quran, raja-raja Melayu dan kalimah Allah pun tercemar, menjadi pertikaian hingga ke Mahkamah Sivil.
Daripada sistem pendidikan pun sejak lepas merdeka, kita gagal untuk mewujudkan sistem satu aliran, sekali gus kontrak sosial terabai dan tidak membawa makna apa-apa.
Lebih malang, kita orang Melayu disuruh berhijrah ke bandar untuk menyahut cabaran dan seruan pemimpin agar berniaga dan mencari pekerjaan.
Maka menerokalah orang Melayu membuka tanah poket, di pinggir dan di tebing-tebing sungai. Pada tahun 1960-an hingga hujung tahun 1980-an, ramai orang Melayu membuka tanah baharu dibuatnya kampung dan penempatan baharu dan mereka digelar warga miskin kota.
Orang Melayu jugalah yang memanggilnya dengan jolokan setinggan untuk menampakkan lebih jelek dan hodoh, dilabelkan pula perkataan haram yang disebut setinggan haram, kampung haram, atau penempatan haram.
Kini orang Melayu macam burung merpati di rumah flat, tidak keterlaluan kalau kita kata orang Melayu di bandar merupakan miskin tegar kerana mereka terpaksa berkongsi bumbung, lantai dan dinding yang tidak terurus, tidak dijaga dengan pelbagai masalah sosialnya yang tidak terkawal.
Semua kisah yang dipaparkan di atas, adalah kepincangan atau tragedi besar bangsa Melayu dan ia juga kami anggap sebagai dokumen politik berbaur negatif yang perlu difikirkan untuk kebaikan, demi menjaga maruah orang Melayu, pada kaca mata kaum lain yang turut menghuni tanah air ini.
Orang Melayu perlu sedar dan diingat-ingatkan bahawa kita kecil di negara sendiri kerana kelemahan penguasaan ekonomi, bertambah kecil kita apabila kuasa politik yang ada akan terhakis dan lenyap.
Selagi kita bersikap acuh tidak acuh dan tidak bersungguh-sungguh untuk mengorak langkah, mengatur strategi secara lebih konkrit menyuntik semangat kepada orang Melayu keseluruhannya, agar bersatu demi masa depan anak cucu kita.
Jika tidak, nantikanlah natijahnya, kita juga akan kalah sorak, malah negara akan tergadai.
Presiden PPPMM
No comments:
Post a Comment