Wednesday, March 12, 2014

Dulu Lain, Sekarang Lain

Ungkapan dulu lain, sekarang lain, lumrah bagi pasangan berumah tangga biarpun sepatutnya lagi lama usia perkahwinan itu sudah tentu suami atau isteri telah dapat memahami corak atau kerenah pasangan ketika melayari bahtera alam perkahwinan.

Usia perkahwinan yang bertahun seharusnya menjadi satu ruang untuk merapatkan pasangan dan memudahkan kepada hubungan suami dan isteri memandangkan saling kenal-mengenali antara satu sama lain, namun seringkali apa yang berlaku, saban tahun rumah tangga yang dibina semakin hambar tidak sebagaimana di awal perkahwinan semuanya indah belaka.

Faktor-faktor kesuraman alam perkahwinan berkenaan mungkin didorong oleh rasa kebosanan, penat, jemu dengan pasangan namun tidak pula pasangan mahu mengambil iktibar terhadap sesuatu perkara bagi membaik pulih keadaan.

Biarpun bukan semua pasangan yang berumah tangga akan menjalani fasa kehidupan yang hambar dalam perkahwinan mereka malah ada yang bahagia dengan perjalanan kehidupan masing-masing, namun tidak dinafikan ramai juga yang merasakan alam perkahwinan mereka bukan lagi seperti suatu ketika dahulu.

Berikut antara beberapa perkara yang dilihat biarpun remeh namun sekiranya berterusan akan mengeruhkan hubungan sekiranya tidak dibaiki dengan segera oleh pasangan.

Lambat balik
Pada awal perkahwinan sebaik habis bekerja, hendak balik segera ke rumah, asyik teringat isteri. Namun selepas bertahun liat pula hendak pulang. Mulalah bagi alasan yang bukan-bukan... jalan sesaklah, ada mesyuaratlah, ada jamuan makan malamlah, atau banyak kerja sangat sehingga tertidur di pejabat. Mengapa agaknya?

Beli sahaja
Pernahkah antara kita yang teringat di awal-awal perkahwinan dulu bagaimana rajinnya memasak meraikan suami atau mahu menunjuk kepada pasangan bagaimana sedapnya masakan air tangan sendiri. Suami sedang tidur pun dikejutkan minta cuba resipi terbaharu. Kini selepas beranak dua, hendak ke dapur pun malas, alasan sibuk dan penat menjadi faktor utama. Lebih senang makan sahaja nasi bungkus beli dari kedai. Berhidang atau tidak bukan lagi jadi sandaran, asalkan makan dan kenyang itu sudah cukup memadai.
Pegang tangan
Dulu mesranya bukan main, pegang tangan tidak lepas, takut pasangan terjatuh atau tersepak sesuatu. Bila anak semakin bertambah, pasangan jalan menonong meninggalkan isteri berkepit dengan anak-anak di belakang berbatu.

Berdandan
Pada masa bercinta sanggup bersolek mendapatkan perhatian. Selepas lama berkahwin, ketika di rumah tiada lagi solekan, pakai apa sahaja yang mudah, tetapi apabila pergi kerja pandai pula berdandan.

SMS jadi ringkas
Dulu kalau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), perkataan yang dihantar panjang dan menarik, apabila sudah berkahwin jangankan hendak menelefon pasangan, apabila membalas SMS pun pendek-pendek sahaja... ‘K’ (kependekan daripada OK) pun sudah cukup, janji faham.

Tiada lagi berkomunikasi
Di awal perkahwinan semuanya indah belaka, berkomunikasi rancak dan ada sahaja bahan hendak diperkata. Setelah beberapa tahun berkahwin tinggal serumah pun tidak bersuara, mungkin labih teruk duduk sebelah-menyebelah pun berkomunikasi pegang gajet kemudian guna SMS untuk berbicara.

Tidur asing
Romantiknya pada usia perkahwinan yang baharu, tidur pun sebelah-menyebelah, bila anak dah bertambah, mama tidur dengan anak, bapa kena tidur bawah. Ada pulak yang tidur berasingan tidak tahan, rimas katanya atau rasa tidak bebas tapi itu hanya alasan tidak tahan sebab pasangan tidur berdengkur.

Menanti
Menunggu diibaratkan satu penantian yang tidak diketahui bilakah pengakhirannya. Sewaktu awal perkahwinan, menunggu pasangan bersiap atau berada di sesuatu tempat berjam-jam lamanya tidak mengapa asalkan dapat bersua. Kini usia perkahwinan pun bertambah, tiada masa lagi hendak menunggu, setengah jam itu sudah terlalu seksa rasanya, kalau lama lagi boleh jadi ribut. Silap-silap haribulan, kena tinggal dek suami terpaksa pergi sendiri naik teksi.

Ucapan sayang
Dulu sayang, manja adalah panggilan untuk pasangan, malah luahan rasa cinta juga sering di bibir. Setelah mendapat cahayamata mama dan papa jadi gelaran. Bertahun berlalu ungkapan sayang sudah pun jarang, ada yang lebih teruk ‘kau’ dan ‘aku’ diucapkan ketika memanggil pasangan lebih-lebih lagi ketika sedang marah.

Kejutan
Setiap kali ada kejutan terutama ketika hari-hari terpenting, sekarang hendak sampaikan ucapan selamat pun tidak sempat sebab tarikh hari jadi pun tidak ingat.

Pelukan
Sebagai tanda sayang, pelukan daripada pasangan sentiasa ada dalam usaha menzahirkan kasih sayang. Setelah bertahun berkahwin hendak memeluk pun tidak sudi. Malu dilihat anak-anak jadi alasan.

Hantaran sayang
Sebelum ke tempat kerja, setulus ikhlas isteri akan melambai suami dan beri kucupan sayang, selepas agak lama berumah tangga suami keluar ke tempat kerja, isteri masih lagi membuta, sarapan pun tidak tersedia. Begitu juga suami, bila diminta menghantar isteri ke tempat kerja pergilah sendiri katanya, “bukankah awak juga ada kereta?".

Intim
Ini yang lebih ketara, di awal perkahwinan berasmara tiga kali seminggu, sekarang tiga bulan pun belum tentu.

Sumber : utusan@keluarga

No comments:

Post a Comment