Sunday, March 30, 2014

Maafkan Kesilapan Saya - Nik Aziz

KOTA BHARU  - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan bergenang air mata hari ini memohon maaf di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir negeri ini.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas menganggap sakit yang dialaminya sekarang adalah 'kifarat' atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini.

Permohonan maaf itu dibuat ketika beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini pagi ini.

"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.

"Ini sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan," katanya yang dipetik daripada akaun laman sosial, Facebooknya di sini hari ini.

Turut hadir di kuliah itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Abdul Aziz, 83, merupakan Menteri Besar paling lama dalam sejarah memerintah negeri ini.

Tokoh yang dikenali dengan pelbagai kenyataan kontroversi itu menerajui pemerintahan negeri ini selama lima penggal bermula pada tahun 1990 sehingga 2013.

Beliau melepaskan teraju pemerintahan kepada timbalannya, Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana masalah kesihatan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada 12 Januari lalu, beliau buat pertama kalinya mendedahkan mengenai keadaan kesihatannya seperti masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menyalurkan air kencing dan bateri bagi menguatkan jantungnya.

Difahamkan pada masa kini, Nik Abdul Aziz yang lebih dikenali dengan panggilan 'tok guru' terpaksa lebih kerap berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menerima rawatan.
Beliau juga tidak hadir pada himpunan Reformasi 2.0 di Kota Bharu yang disertai Anwar kerana tidak sihat.

Bagaimanapun sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan tersebut, keadaan dalaman Pas negeri ini agak berkecamuk dengan pergeseran di antara pemimpin.

Malah ada di antara pemimpin Pas mula mengkritik kepemimpinan Ahmad dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan atas pentas ceramah secara terbuka.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment