OSLO 31 Okt. - Sebuah gedung barangan murah dari Norway tidak menduga, tindakan menjual anggota badan manusia palsu bagi membangkitkan semangat Halloween, mendapat bantahan hebat daripada pelanggan mereka.
Tindakan Europris menjual produk yang diperbuat daripada daging itu, menimbulkan kemarahan kerana perbuatan tersebut menakutkan kanak-kanak.
Anggota badan palsu yang dibuat oleh pengilang yang dikenali sebagai Chop Shop itu kelihatan seperti anggota tangan serta kaki sebenar selain disertai tompokan darah.
Ia juga dibungkus sama seperti produk daging lain sehingga mengakibatkan kanak-kanak terkejut dan takut, sekali gus mengundang rasa geram ibu bapa.
Selepas menerima banyak aduan, mendapat perhatian media serta maklum balas negatif daripada komuniti atas talian, Europris akhirnya menarik semula penjualan produk berkenaan dan memohon maaf.
Syarikat itu menyifatkan perbuatan tersebut tidak bermaksud untuk mengecewakan pelanggan mereka terutamanya kanak-kanak.
Seorang pelanggan Europris, Mona Urfjell di akaun laman sosial Facebooknya berkata, anak-anaknya pasti takut jika melihat anggota tangan dan kaki palsu itu di kedai.
"Agak memalukan tradisi yang diwarisi sejak turun temurun dikaitkan dengan keganasan,'' ujar Urfjell. - AGENSI
No comments:
Post a Comment