SASTERAWAN Negara Usman Awang semasa hayatnya pernah menghasilkan sebuah puisi menggambarkan sikap orang Melayu yang begitu menjunjung tinggi adab dan kesantunan.
"Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun,
Jika menipu masih bersopan,
Bila mengampu bijak beralas tangan."
Demikian bait-bait puisi nukilan beliau yang melambangkan bagaimana orang Melayu begitu mementingkan perihal kesantunan, adab dan budi bahasa.
Namun, bak kata pepatah, 'lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang'. Orang Melayu kini dilihat semakin hilang arah apabila pengamalan nilai budi bahasa dan sopan santun semakin terhakis.
Walaupun pahit untuk diterima, tetapi itulah hakikatnya apabila orang Melayu sudah tidak mahu lagi mengangkat martabat Melayu itu sendiri.
Berbicara soal budi bahasa, kita boleh lihat bagaimana cara pertuturan generasi muda zaman sekarang.
Mereka sudah tidak lagi segan silu bercakap kasar bukan saja ketika di kalangan rakan sebaya bahkan pada mereka yang lebih berusia.
Pendapat sama turut diakui Karyawan Tamu, Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim.
Menurutnya, fenomena terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam kalangan orang Melayu terjadi akibat perubahan sistem nilai masyarakat hari ini.
"Sistem nilai orang Melayu sekarang sudah berubah kerana orang Melayu zaman dahulu lebih pentingkan orang lain seperti orang tua, dan guru.
"Ini kerana orang dahulu amat menghormati golongan yang lebih tua, dan bukannya kedudukan dan pangkat seperti sekarang," katanya.
Nik Safiah yang terkenal sebagai pejuang mendaulatkan bahasa Melayu turut memberitahu, sistem nilai orang Melayu kini lebih cenderung menghormati dan mengangkat martabat seseorang dari segi kedudukan dan pangkatnya.
Katanya lagi, orang Melayu juga semakin hilang jati diri dan tidak lagi memegang budi bahasa sebagai lambang kedaulatan Melayu kerana pemikiran mereka telah dipengaruhi unsur luar.
Selain faktor perubahan sistem nilai dan pengaruh pemikiran luar, amalan berbudi bahasa juga semakin terhakis akibat pengaruh filem dan bahan bacaan yang kerap kali menggunakan bahasa pasar, kasar dan lucah.
"Kalau dilihat sekarang dialog dalam filem-filem tempatan juga tidak lagi mencerminkan identiti orang Melayu yang terkenal dengan sifat berbudi bahasa.
"Adegan dan pertuturan dalam filem tertentu lebih banyak menggunakan bahasa kasar yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada penonton kanak-kanak dan remaja yang menontonnya," ujar Nik Safiah.
Dalam pada itu, perubahan dari segi penggunaan bahasa yang baik dalam novel turut berubah apabila semakin banyak penulis novel di pasaran hari ini menggunakan bahasa pasar dalam hasil karya mereka.
Situasi ini perlu dipandang serius memandangkan secara majoritinya novel adalah bahan bacaan yang paling laris dan popular di kalangan remaja.
Nik Safiah berkata, perkahwinan campur antara orang Melayu dengan kaum lain sama ada Cina, India atau orang asing juga boleh mendorong kepada terhakisnya amalan berbudi bahasa di kalangan generasi muda.
"Sebenarnya proses pembelajaran anak-anak bermula di rumah, jadi sekiranya ibu bapa berkahwin campur kemungkinan besar mereka ini tidak akan mengajar anak-anak mengenai amalan berbudi bahasa dan bersopan santun.
"Sekiranya situasi ini terus berlaku ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan masyarakat Melayu dan lama-kelamaan identiti Melayu itu akan lenyap," katanya.
Tambahnya lagi, identiti orang Melayu juga terhakis melalui aspek pemakaian.
"Orang Melayu kini tidak lagi mahu memakai pakaian Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu, sebaliknya mereka lebih gemar dan berbangga mengenakan pakaian yang kurang sopan akibat pengaruh pemikiran Barat," katanya.
Justeru beliau berkata, bagi mengembalikan semula generasi Melayu yang berbudi bahasa dan memegang kuat kesantunan Melayu, mereka sendiri harus bangun berganding bahu mewujudkan identiti sendiri.
"Tegur menegurlah, yang tua menegur yang muda begitu juga sebaliknya, sama-sama kena terima, daripada situlah terbentuknya amalan berbudi bahasa,"katanya.
Sementara itu, Penggiat Budaya, Zubaidah Sual pula berkata, dalam soal ini, ibu bapa adalah golongan yang perlu memainkan peranan ke arah pembentukan jati diri dan budi pekerti yang baik di kalangan anak-anak.
"Ibu bapa sekarang berdepan dengan situasi yang sangat mencabar kerana mereka perlu menggunakan pendekatan yang sangat berbeza bagi memastikan anak dirumah mendapat didikan yang sewajarnya.
"Bagaimanapun, kadangkala ibu bapa telah memberikan didikan yang sempurna di rumah, tetapi anak pula yang membawa pulang perkataan yang kurang enak didengar dari sekolah.
"Sebab itu saya rasa pihak sekolah terutamanya guru harus menanamkan amalan berbudi bahasa di kalangan pelajar supaya generasi Melayu berbudi dapat dibentuk semula," ujarnya.
"Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa."
Oleh : Norazlina Ismail
No comments:
Post a Comment