SEKEJAP sahaja masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah 10 tahun bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tanggal 31 Oktober 2003 tarikh akhir beliau menjadi Perdana Menteri. Generasi muda yang membesar ketika zaman pemerintahannya, merasai ketokohan beliau sebagai negarawan yang sukar dicari ganti.
Era generasi muda zaman Dr. Mahathir tidak sama sebagaimana kini. Dahulu, generasi muda tidak kenal apa itu internet, apa itu telefon pintar, tidak juga mengenali laman-laman sosial seperti Facebook. Yang ada hanyalah televisyen atau paling canggih pun komputer yang saiznya cukup besar.
Mungkin masih terdapat generasi muda yang pernah bermain dengan pelbagai permainan ketika waktu petang menjelma sebagaimana generasi muda zaman 1990-an seperti guli, gasing, konda kondi, congkak, layang-layang dan pelbagai lagi permainan ciptaan generasi muda terdahulu. Mereka yang bermain permainan ini semakin lama semakin boleh dibilang dengan jari. Gajet-gajet terbaru dengan pelbagai jenis permainan elektronik dan digital mengambil alih permainan-permainan yang berbentuk fizikal dan tradisional.
Gaya hidup generasi muda berubah sekelip mata mengikut zaman. Dahulu, rata-rata anak-anak muda datangnya daripada keluarga yang miskin. Sekarang, semakin ramai keluarga yang berada. Apabila zaman berubah, maka, gaya hidup juga berubah.
Adakah zaman berubah membuatkan generasi sekarang berhijrah menjadi lebih baik? Dalam satu keadaan, kehidupan pada masa kini cukup selesa berbanding dahulu. Ini adalah satu berita baik bagi sesebuah tamadun manusia. Namun, dari sudut lain keselesaan ini membuatkan generasi sekarang dibuai dengan kemewahan. Lihatlah di sekeliling kita, pelbagai pembaziran berlaku. Pembaziran makanan, pembaziran penggunaan elektrik dan air dan tidak kurang juga pembaziran masa.
Banyak masa dibazirkan untuk melayari laman-laman sosial. Sedangkan masa itu cukup berharga untuk perkara-perkara yang lebih utama seperti menambahkan ilmu pengetahuan bagi mencari kebenaran. Usah terkejut, jika ada generasi muda yang terlalu bergantung untuk mendapatkan maklumat hanya dengan melayari laman-laman sosial seperti Facebook. Bagi sebilangan daripada generasi muda ini, laman-laman sosial adalah lebih dipercayai berbanding lain. Maka, maklumat yang tidak benar diyakini benar, manakala yang benar dipercayai sebagai palsu.
Itu belum bercakap mengenai ayat-ayat yang digunakan di laman-laman sosial. Tidak pernah terfikir ketika zaman generasi muda terdahulu, ada kalangan generasi muda, kini sanggup mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya. Mungkin kerana negara kita semakin hari semakin beralih menjadi negara maju, maka, hal-hal sensitif yang tidak dibincangkan pada masa dahulu, dibincangkan secara terbuka pada masa sekarang. Tiada lagi kerahsiaan. Yang ada hanyalah istilah ketelusan kononnya itulah zaman serba moden sampaikan hal-hal peribadi juga mahu dibincangkan di laman-laman sosial.
Generasi muda seolah-olah "panik" dengan ledakan maklumat sampaikan tidak mengetahui bagaimana untuk mengurus maklumat dengan baik. Hal-hal rumahtangga tidak kira diri sendiri mahupun orang lain juga dibincangkan di laman-laman sosial, maka timbullah pelbagai persepsi yang mengundang umpatan dan fitnah.
Umpatan dan fitnah boleh mengeruhkan hubungan silaturrahim sesama Islam, begitu juga ia boleh menjadikan kehidupan masyarakat terjejas.
Tetapi itu yang berlaku dan sebilangan generasi muda sama ada sedar atau tidak sedar, bagi mereka sudah menjadi lumrah kehidupan zaman moden serba canggih tanpa batasan tanpa sempadan
Tidak kurang juga fahaman liberal semakin merebak dalam kalangan generasi muda. Usah terkejut, kalau ada di antara mereka tidak kisah pun ajaran Islam terutamanya kewajipan mengerjakan solat lima waktu. Sedangkan solat itulah adalah tiang agama. Fahaman liberal semakin membiak apabila ada desakan untuk mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Hak asasi manusia tidak boleh mengatasi hukum Allah SWT. Bahkan hak asasi individu tidak boleh mengatasi hak masyarakat.
Malangnya, terdapat segelintir generasi muda yang kononnya berasakan dirinya cukup hebat selepas belajar di luar negara, cuba menyebarkan fahaman liberal yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Mereka perlu diberi ingatan dan nasihat, betapa mereka dihantar ke luar negara pun ditaja oleh wang rakyat, tetapi masih berasakan diri sendiri cukup hebat. Sewajarnya, ilmu yang diperoleh menjadikan mereka lebih tawaduk, tidak riak dan memahami dengan jelas dalam mencari kebenaran dan bukannya sebaliknya.
Sikap liberal inilah mengundang masyarakat sekarang bersifat individualistik. Mencari kekayaan kebendaan dengan kaedah matlamat menghalalkan cara walhal keberkatan itu paling diutamakan dalam mencari kekayaan. Sungguh menakutkan apa yang akan berlaku sekiranya segelintir generasi muda ini yang berfahaman liberal, menyokong LGBT, menganut fahaman pluralisme dan hanya mementingkan diri sendiri, menguasai pentas pemerintahan negara suatu ketika nanti. Tidakkah kita bimbang, negara kita ini nanti dikuasai mereka yang menghalalkan yang haram semata-mata ingin menjadi hero hak sama rata, hak asasi individu dan pelbagai jenis hak yang berteraskan nafsu serakah manusia semata-mata?
Tidakkah kita risau, musuh-musuh agama Islam sentiasa menanti peluang ini untuk merosakkan negara kita yang sejak dahulu lagi kukuh berpaksikan generasi muda yang cukup hebat menentang anasir-anasir yang memudaratkan pasak kekuatan umat Islam Malaysia? Atau kita masih berasakan ini hanyalah permainan politik dan hanya menyakininya apabila nasi sudah menjadi bubur?
Umat Islam Malaysia terutamanya generasi muda perlu membuka mata seluas-luasnya, berlapang dada, menganjak paradigma dan berhijrah ke arah menguatkan kesatuan umat Islam Malaysia dengan bergantung harap ke atas keesaan Allah SWT agar musuh-musuh Islam tidak sesekali berani menggugat kekuatan umat Islam Malaysia.
Bacalah tipu muslihat mereka sejelas-jelasnya sebelum kita diperdayakan mereka sehingga menjadi umat yang melarat dan ketika itu masa tidak mampu diundur ke belakang lagi. Tatkala itu, menangis air mata berdarah sekalipun tiada guna sama sekali.
Oleh : Rohami Shafie
No comments:
Post a Comment