Tuesday, November 20, 2012

Sikap Ekstrim Pas

Doa hancurkan dan murtadkan Umno serlah sikap ekstrim Pas
KOTA BAHARU - Tidak cukup dengan mengadakan solat hajat untuk mendoakan Umno dan Barisan Nasional (BN) hancur Jumaat lepas, Pas membuktikan kebencian ekstremnya dengan kenyataan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Umno parti murtad.

Hakikatnya Pas dulu dan sekarang tidak banyak berbeza. Suatu masa dahulu, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi sanggup 'mengkafirkan' saudara seagama dalam 'Amanat Haji Hadi' semata-mata kerana politik dan hingga menyebabkan perpecahan ummah dengan kejadian sembahyang dua imam di Terengganu.

Doa itu dibacakan semasa Pas mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Jumaat lepas yang dipimpin adik Nik Aziz, Nik Razi Nik Mat sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran parti itu.

Nik Aziz yang agak emosional ketika diasak pertanyaan wartawan pada Muktamar Pas ke-58 hujung minggu itu menyifatkan Umno sebuah parti yang murtad kerana menolak hukum Islam manakala Abdul Hadi pula berkata doa itu boleh dibacakan ketika merasa diri dizalimi.

Sejauh manakah Pas mahu berlawanan dengan label Islam parti itu demi rakan pembangkangnya PKR dan DAP telah jelas dijawab menerusi doa kehancuran Umno dan BN yang direstui pemimpin dan diaminkan anggotanya.

Sedangkan sebagai umat Islam, pemimpin dan anggota Pas sedar yang mereka tidak boleh mendoakan yang buruk kepada orang lain, lebih-lebih lagi saudara seagama.

Mereka tahu umat Islam patut mencontohi Nabi Muhammad SAW seperti peristiwa yang dikisahkan Rasullullah direjam dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, tetapi Baginda tidak mendoakan kehancuran kaum itu malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

Muktamar itu juga memperlihat betapa pimpinan Pas tersepit antara suara perwakilannya dan usaha menjaga hati rakan pembangkang. Ini dapat dilihat melalui isu hukum hudud yang menjadi duri dalam daging Pas dalam usahanya menyulam kerjasama bersama PKR dan DAP.

Dewan Ulama Pas merupakan sayap yang paling lantang bersuara berkenaan isu ini apabila Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Harun Taib pada muktamar itu berkata PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Walaupun kenyataan Harun itu disanggah Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh dan Timbalan Pengerusi Dr Tan Seng Giaw, wakil Pas Wilayah Persekutuan Zahari Arip membidas mereka kerana dikatakan masih berdolak-dalik mengenai isu hudud.

Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya pada muktamar itu mengambil jalan selamat dengan tidak menyebut langsung mengenai hudud.

Namun setelah diasak perwakilan, Abdul Hadi menegaskan hukum hudud adalah hak eksklusif parti itu untuk melaksanakannya di negara ini apabila tiba masanya dan bukan Islam tidak perlu bimbang mengenai pelaksanaannya.

Selain hukum hudud, desakan perwakilan Pas yang mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri turut menyebabkan kepimpinan Pas tersepit dengan kemahuan PKR dan DAP yang mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Perwakilan Pas turut mempersoal sejauh mana kepimpinan ulama masih tinggal di dalam Pas. Perwakilan menyuarakan pandangan bahawa kepimpinan ulama dalam parti itu kian terancam dengan kemasukan ideologi yang tidak sepadan.

Muktamar itu menyaksikan beberapa anggota perwakilan seperti dari Pahang, Mokhtar Senik meminta kepimpinan ulama dalam Pas dipertahan dan anasir mengancam kepimpinan itu dihapuskan. Beliau turut mendakwa ancaman itu dibawa mereka yang memasuki Pas.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar ketika menggulung ucapan dasar Presiden Pas ternyata tidak senang dengan dakwaan kepimpinan ulama semakin terhakis dalam parti itu.

Abdul Hadi pula mengingatkan anggota perwakilan bahawa tidak perlu ada pengacau parti yang boleh mengganggu arah perjalanan Pas dan turut menegaskan mereka yang ingin menyertai Pas perlu mengikut cara parti itu.

Malah dalam ucapan penggulungannya, Abdul Hadi berkias dalam mengingatkan sesiapa yang mahu merampas stering kapal Pas yang bergerak berdasarkan kompasnya tersendiri akan 'dicampak ke dalam laut'.

Sanggupkan Pas menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dalam parti kerana mahu mengemudi kapal dengan rakan pembangkang PKR dan DAP? Itu kemungkinan yang akan menggugurkan peluang Abdul Hadi untuk menjadi perdana menteri sekiranya cita-cita pembangkang menakluki Putrajaya berjaya selepas pilihan raya.

Ini kerana hanya penyokong Pas yang beria-ia mahukan Abdul Hadi sebagai perdana menteri sedangkan yang lain memperlekeh idea itu. Maka Pas memerlukan sokongan padu penyokongnya dan dalam masa yang sama tidak sanggup diketepikan rakan pembangkang yang tidak gemar dengan haluan kepimpinan ulama dalam parti itu.

Yang tersepit ialah penyokong tegar Pas yang cintakan perjuangan asal Pas dan akar umbi yang mahu pemimpin Pas lebih tegas dalam menunjukkan hala tuju parti itu.

Pada PRU Ke-12 pakatan pembangkang memenangi 82 kerusi parlimen dan daripada jumlah itu Pas merupakan penyumbang tercorot iaitu 23 kerusi berbanding DAP 28 dan PKR 31. - Bernama

No comments:

Post a Comment