SETIAP orang pasti berhadapan dengan episod stres dalam kehidupan seharian mereka. Jika stres tersebut tidak ditangani dengan bijak, ia akan memakan diri.
Pada tahun 2010, penyelidik di Universiti Rochester, New York, Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa orang yang mempunyai tekanan kerja yang tinggi juga mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang tinggi.
Dalam sebuah kajian pada tahun 2006 yang dilakukan di Universiti Tel Aviv, Israel pula mendedahkan bahawa pekerja yang mengalami tahap tekanan yang tinggi adalah 1.8 kali lebih cenderung untuk menghidap diabetes Jenis 2.
Kajian dari Universiti California, San Francisco pada tahun yang sama juga menunjukkan bahawa hormon tekanan dicetuskan boleh memburukkan atau menyebabkan gangguan kulit seperti psoriasis dan ekzema.
Anda berasa stres? Berikut adalah antara cara untuk mengurangkan stres.
Kelas yoga
Yoga bukan sahaja membuatkan tubuh anda lebih menarik malah ia memperbaiki fleksibiliti tubuh dan sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Dapatkan lebih tidur
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), tidur yang cukup bukan sahaja membuatkan seseorang itu kelihatan lebih baik, ia juga mampu memperbaiki kesihatan dan membantu seseorang itu mengurangkan tekanan.
Malangnya, kurang tidur dan tekanan persekitaran teruk (perasaan tertekan sepanjang hari) boleh menyebabkan anda tidak boleh melelapkan mata pada waktu malam, kemudian berasa letih dan lebih tertekan pada hari berikutnya.
Cuba terapi bercakap
Psikoterapi yang juga dikenali sebagai terapi bercakap sering digunakan sebagai alat pengurusan tekanan untuk meringankan gejala tekanan dan kebimbangan.
Dalam terapi bercakap ini, pesakit dan ahli psikoterapi membincangkan masalah pesakit dan bekerja bersama-sama untuk membetulkan pola pemikiran negatif.
Terdapat pelbagai jenis rawatan terapi bercakap, seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi tingkah laku dialektik (DBT) dan terapi berkumpulan. Kesemua terapi tersebut mempunyai persamaan dan ia bertujuan membantu pesakit menangani pemikiran dan perasaan negatif. Pada masa yang sama, ia mengajak perubahan positif dalam kehidupan seharian.
Melakukan gerakan
Salah satu sebab senaman sangat baik untuk melegakan tekanan adalah kerana ia mengurangkan tahap kortisol.
Kortisol merupakan hormon yang dikeluarkan dari kelenjar adrenal dalam masa tekanan, seperti apabila anda merasakan keresahan, kemarahan atau takut. Tahap kortisol kronik dan tinggi akhirnya boleh merosakkan organ-organ.
Senaman membakar kortisol dan ia membuatkan kita lebih sihat dan bahagia.
CDC menyarankan aktiviti menguatkan otot iaitu di semua otot kumpulan utama (kaki, pinggul, belakang, perut, dada, bahu dan lengan) sekerap lebih daripada dua hari seminggu. Aktiviti aerobik intensiti sederhana dengan durasi sekurang-kurangnya 2 jam 30 minit setiap minggu juga banyak manfaatnya.
Walaupun agak keterlaluan, tetapi anda boleh mencuba berjalan laju selama 10 minit, tiga kali sehari selama lima hari seminggu. Anda akan merasai perubahannya pada diri anda.
Meditasi untuk tenang
Banyak kajian telah menunjukkan manfaat meditasi positif, termasuk menenangkan tekanan, mengurangkan tekanan darah, mengurangkan perasaan sakit dan juga mencegah kesakitan berulang pada pesakit yang mengalami kemurungan.
Terdapat banyak teknik meditasi yang berbeza. Jadi, jangan berfikir bahawa anda dikehendaki duduk bersila sahaja dan membuat humming bagi meredakan tekanan.
Sesetengah gaya meditasi memberi tumpuan kepada 'membersihkan' fikiran seseorang daripada masalah, sementara yang lain menggalakkan menyembuhan visual dan sentiasa bersangka baik kepada diri sendiri serta orang lain.
Mereka yang berhadapan dengan batasan fizikal juga boleh melakukan meditasi sambil duduk di kerusi atau berbaring.
Ketawa dengan kerap
Pepatah lama ada mengatakan bahawa ketawa merupakan penawar terbaik jika anda mencari ubat bagi mengatasi tekanan.
Satu kajian yang dijalankan di Loma Linda University, AS pada tahun 2001 mendapati bahawa peserta yang melihat video lucu mengalami penurunan dalam hormon tekanan kortisol dan adrenalin.
Peningkatan endorfin juga berlaku bagi meningkatkan mood dan melegakan kemurungan. Pada masa yang sama, tabiat itu meningkatkan sistem imunisasi tubuh.
Ketawa tidak hanya membantu kita menangani tekanan atau kesakitan emosi tetapi ia juga memberi kesan mengurangkan kesakitan melibatkan fizikal.
Pada bulan September, penyelidik di Universiti Oxford di England mendapati bahawa ketawa mampu menimbulkan toleransi terhadap kesakitan dengan merangsang pembebasan endorfin.
Berurut
Mendapatkan urutan bukan sahaja membantu anda berehat dan melegakan ketegangan otot, ia juga boleh memberi kesan kepada tahap hormon anda dengan cara yang positif.
Penyelidik daripada Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles mendapati bahawa selepas menerima urutan 45 minit, berlaku penurunan tahap kortisol, hormon tekanan dan vasopresin iaitu hormon yang memainkan peranan penting dalam tingkah laku agresif peserta.
Cuba buat jurnal
Menulis jurnal boleh mengurangkan tekanan dalam beberapa cara. Apabila anda berada dalam keadaan stres yang teruk, menulis apa yang terbuku di dada akan membuatkan anda berada dalam kawalan.
Ia secara tidak langsung dapat membantu anda menganalisis keadaan dengan lebih baik selain memberikan perspektif baharu atau cara-cara menangani masalah tersebut.
Dengan melihat dan membaca semula catatan jurnal lalu, anda boleh melihat corak tekanan yang dihadapi anda kemudian memutuskan perkara yang perlu diubah bagi mengelakkan tekanan yang sama berlaku.
Sumber: www.myhealthnewsdaily.com.
No comments:
Post a Comment