Menjadi lokasi program berkonsep eksklusif, berprestij dan intelektual, ia mengundang ramai hadirin yang mahu mendengar serta mendalami Syarahan Perdana Budaya dizahirkan oleh tetamu istimewa iaitu Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Syarahan berjudul Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa yang dizahirkan cendekiawan diraja itu benar-benar memberi kesan kepada hadirin.
Semua sedia maklum bahawa institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi payung kedaulatan negara, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama.
Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudannya menjadi sebahagian daripada identiti negara dan dilindungi oleh perlembagaan. Titah Raja Nazrin, institusi raja adalah subjek istimewa dan amat menghidupkan minda.
“Sebagai pewaris takhta dan sering kali diamanahkan menyempurnakan tanggungjawab Pemangku Raja, beta tidak terlepas daripada melakukan penilaian bersifat peribadi.
“Namun, ia sebenarnya memberi kelebihan, membolehkan beta melakukan penilaian dari perspektif dalaman serta mengupayakan beta melakukan tafsiran, berfakta pengalaman sebenar tentang dinamisme institusi tersebut,” titah baginda.
Tambah baginda, lebih banyak peranan yang disempurnakan oleh Raja itu berlaku secara tersirat, tetapi amat menghidupkan lagi mencabar.
Kebiadaban politik kepartian
Cabaran-cabaran yang perlu ditangani berpandukan hikmah, kebijaksanaan, kearifan dan kematangan. Peranan yang perlu disempurnakan seadil dan sesaksama mungkin tanpa perlu diuar-uarkan.
“Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja. Kelangsungan yang dianggap ketinggalan zaman dalam kalangan setengah pihak yang rabun sejarah, lalu melakukan tafsiran dangkal, memilih untuk tidak mahu mengakui dan kurang mahu mendalami salasilah serta falsafah di sebalik institusi ini,” ujar baginda.
Titah Raja Nazrin, kesungguhan hasrat membina negara bangsa perlu dilandaskan atas minda serta melalui hati terbuka, diperkukuhkan dengan keikhlasan mahu mencipta penyatuan dan bekerja untuk mencapai penyatuan.
“Dalam apa juga krisis dan dalam setiap konflik, tidak ada pihak yang betul semua dan tidak ada juga pihak yang salah semua.
“Perdamaian akan hanya tercapai apabila ego bersifat betul semua dan menang semua dapat digugurkan. Cahaya damai akan ditemui jika kekalahan dalam persaingan dapat diterima dengan keredaan,” titah baginda.
Ujar baginda, bumi dan tanah air milik kita bukan untuk dibolot secara rakus oleh segelintir warga bersifat haloba hingga kerosakannya perlu dibayar dengan harga tinggi oleh generasi pewaris.
“Kini peristiwa yang semakin meningkatkan kegelisahan warga masyarakat kian bertambah. Warga masyarakat ketara kecewa, hampa, kesal dan mual dengan gelagat politik yang semakin keterlaluan. Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa.
“Lebih membimbangkan, apabila institusi-institusi utama negara kini kelihatan mula terseret dalam kancah politik kepartian. Akibatnya integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi diraja semakin dipertikaikan,” titah baginda.
Jelas baginda, istana mungkin berpagar tinggi, namun ia tidak menghalang kepada berita serta peristiwa menembusi jendela dan pintu istana.
“Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan serta diimbangkan beritanya.
“Ketika dilambung ombak globalisasi, warga masyarakat perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan pemodenan agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit,” ujar baginda.
Hasilkan buku
Dalam pada itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Syarahan Perdana Budaya merupakan satu tradisi pembuka tirai kepada jendela tamadun masa depan.
“Syarahan ini akan diteruskan pada masa depan dan akan memberi lunas tentang idea-idea baharu.
“Kami berbangga dapat menyempurnakan majlis seperti ini oleh kerana ia membawa pembaharuan minda kepada kita. Syarahan ini akan kita zahirkan dalam bentuk buku kecil dan diedarkan seluas mungkin kepada khalayak,” katanya sambil memberi ingatan kepada semua pihak supaya melihat sejarah, menghargai tradisi dan berwaspada terhadap masa hadapan.
Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan diselia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu bertujuan mengetengahkan kepentingan institusi raja berperlembagaan dalam pembangunan dan pembinaan sebuah negara bangsa.
Ia juga mewujudkan ruang dan platform bagi perkongsian maklumat dalam kalangan tokoh-tokoh pelbagai bidang, malah pada jangka masa panjang melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.
Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.
Sumber : kosmo
No comments:
Post a Comment