Saturday, November 3, 2012

Bonus Perlu Berasaskan Prestasi

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 10 Oktober 2012 pula menyiarkan artikel yang mengulas pemberian bonus kepada kakitangan awam yang diumumkan ketika pembentangan Bajet 2013.

Artikel bertajuk ‘Bonus kakitangan awam sepatutnya diselaraskan dengan prestasi’ tulisan Wee Sheng disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat halaman 34.

Jika tidak kerana perbahasan dan perdebatan bajet yang begitu kompleks, pastinya semua orang akan teringat rayuan yang telah dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Ia telah mengemukakan enam rayuan termasuk pemberian bonus kepada kakitangan awam dan ditingkatkan elaun perumahan penjawat awam.

CUEPACS juga memberi jaminan kakitangan awam akan bekerja lebih masa, lebih daripada setengah jam sebagai pertukaran, jika rayuan itu dipenuhi kerajaan.

Jika ingatan kita dipanjangkan lebih jauh lagi, ada sesetengah orang pasti masih ingat bahawa pihak kerajaan telah mengubah struktur gaji kakitangan awam pada Mac tahun ini, dengan kenaikan gaji antara tujuh sehingga 13 peratus.

Jika dikira sama bonus raya yang diterima pada Ogos tahun ini, bukankah ini menunjukkan kerajaan telah melayan segala tuntutan CUEPACS, manakala pekerja swasta pula mengeluh melihat kocek mereka yang kosong.

Walaupun telah 16 tahun Malaysia mengalami defisit kewangan, pihak kerajaan masih lagi mengambil berat kebajikan kakitangan awam sehingga menyebabkan ia perlu membelanjakan wang begitu besar.

Pada tahun ini sahaja, kerajaan telah membelanjakan wang untuk bonus dan gaji kakitangan awam lebih tinggi 18 peratus berbanding 2011. Peningkatan begitu banyak ini memeranjatkan kita.

Sistem perbelanjaan gaji dan bonus kakitangan kerajaan menggelembung, namun keberkesanan kerja penjawat awam amat rendah.

Selama ini memang satu penyakit yang menggusarkan orang ramai, apabila mereka berkunjung ke pejabat-pejabat kerajaan, banyak kesusahan yang perlu ditanggung mereka.

Urusan yang sepatutnya dapat diselesaikan dengan mudah tidak dapat disiapkan dengan pantas dan keadaan ini sama seperti dialami mereka puluhan tahun dahulu.

Walaupun Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ada menyeru kakitangan awam bekerja keras untuk memberi pulangan yang setimpal kepada kerajaan, perkara itu tidak dihayati oleh kebanyakan penjawat awam.

Pihak kerajaan sepatutnya mengikut cara pihak swasta yang memberi bonus berdasarkan prestasi kakitangan mereka, supaya produktiviti kakitangan awam meningkat.

Jika kakitangan awam bersikap seperti pekerja di bank yang mesra pelanggan atau pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kita percaya kenaikan gaji sehingga 20 peratus pun tiada orang yang akan membantah. Tetapi sekarang, ia tidak berlaku seperti yang kita harapkan.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment