BAU kentut yang pekat pasti meloyakan tekak sesiapapun termasuk seorang warga Sweden, Göran Andervass.
Namun, lelaki pendiam yang berumur 53 tahun ini berjaya mendapatkan pampasan sebanyak AS$100,000 (RM305,832) hanya kerana dia tidak tahan dengan bau kentut seorang pelanggannya.
Jurukomputer Bank Sweden itu dalam satu perbicaraan di mahkamah pada 2003 memberitahu, seorang pelanggan bank membuang angin semasa mereka mengadakan perbincangan tetapi bau yang amat busuk mencetuskan satu pertengkaran.
Peristiwa itu bukan sahaja menarik perhatian rakan sekerjanya tetapi pengurus bank bertugas.
Andervass dan pelanggan yang juga seorang lelaki itu kemudian dipanggil ke bilik majikannya untuk menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku.
Malangnya, pelanggan itu berkeras mengatakan dia tidak kentut. Hasilnya, Andervass dipecat dengan alasan sengaja mereka cerita.
Namun, lelaki ini tidak berpuas hati dan menuntut gantirugi di mahkamah. Hakim mengarahkan majikan Andervass membayar gantirugi sebanyak RM305,832 kerana memecatnya tanpa alasan yang kukuh.
Lain pula halnya yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Kentut kambing
Seorang pelajar sebuah sekolah digantung daripada menaiki bas sekolah selama tiga hari gara-gara melepaskan kentut yang amat busuk.
Kejadian pada Mac 2009 itu menyebabkan pemandu bas berkenaan mengisi satu borang kelakuan tidak senonoh dengan mendakwa tindakan remaja berusia 15 tahun itu turut menyebabkan pelajar lain sesak nafas di dalam bas.
Pegawai sekolah Polk County, Florida berkata, kesalahan kentut tidak digariskan dalam peraturan, namun kentut menyebabkan kekacauan di dalam bas tertakluk dalam peraturan.
Bagaimanapun pelajar terbabit menafikan dakwaan itu dan mengatakan bukan dia yang melepaskan angin.
Kes-kes lucu berkaitan melepaskan kentut turut membabitkan haiwan.
Di Sydney, Australia, seorang penternak membuat panggilan kecemasan setelah terhidu 'gas bocor' namun sangkaannya meleset setelah diberitahu ia adalah bau kentut babi peliharaannya.
Seramai 15 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke ladang yang terletak di Axedale, Victoria.
"Kami menjumpai seekor babi betina bersaiz besar dengan anggaran berat 120 kilogram. Kami percaya gas bocor itu datang daripada babi tersebut.
"Walaupun tidak terhidu gas tersebut kami dapat mendengar bunyi kentut keluar dengan jelas, lucu sungguh," kata pegawai bomba, Kapten Peter Harkins.
Tambahnya, pemilik babi tersebut kelihatan malu manakala petugas bomba mengambil masa untuk menenangkan diri.
"Kami menangani kes itu dengan profesional tetapi kami ketawa terbahak-bahak sebaik tiba di balai," kata Harkins.
Di New Zealand, para penternak ladang perlu membayar ganti rugi kepada negara dalam bentuk cukai setiap kali ternakan mereka khususnya lembu membuang angin.
Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan para penternak. Dakwa penternak, apalah salahnya jika lembu melepaskan kentut.
"Kentut merupakan satu perkara yang sudah menjadi lumrah semua kehidupan," kata salah seorang penternak.
Sekeras mana pun bantahan yang disuarakan, kerajaan Wellington telah pun menguatkuasakan undang-undang pelik itu.
Kentut cegah kanser
Peraturan itu merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan bagi memenuhi komitmen di bawah Protokol Kyoto.
Menerusi perundingan itu, New Zealand bersetuju untuk mengurangkan pemanasan global.
Salah satunya ialah meminimumkan pengeluaran gas metana. Metana (CH4) dibebaskan semasa penghasilan arang batu, gas asli, hidrokarbon dan daripada kentut haiwan ternakan.
Dalam satu kajian lain, kambing, lembu dan rusa menghasilkan sejumlah besar gas metana melalui kentut dan sendawa.
Berikutan itu, haiwan ternakan di New Zealand dipercayai menghasilkan pembebasan gas metana lebih 90 peratus.
Dianggarkan, seekor lembu akan mengeluarkan purata 350 liter metana dan 1,500 liter karbon dioksida sehari melalui kentut serta sendawa.
Seorang doktor dari Perancis pula mendakwa kentut mampu mencegah penyakit kanser.
Malah, Dr. Frederic Saldmann menyarankan kepada semua masyarakat dunia supaya memberanikan diri untuk membuang angin.
"Baik daripada mulut (sendawa) mahupun daripada 'bawah' (kentut) perbuatan itu boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kanser.
Beliau dalam buku tulisannya Le Grand Menage menjelaskan, gas yang terdapat dalam tubuh manusia lazimnya akan keluar melalui dua cara.
Pertama melalui mulut yang diistilahkan sebagai sendawa dan kedua daripada bawah iaitu kentut.
Saldmann menganjurkan agar semua orang boleh mengeluarkan kedua-duanya secara spontan, bila-bila masa saja yang diinginkan, tanpa menahan dan melakukannya dengan cara sembunyi-sembunyi kerana malu.
"Ini kerana, membuang gas daripada tubuh sebanyak dua liter dalam sehari merupakan satu perkara yang semulajadi serta baik untuk kesihatan.
"Jangan memandai-mandai untuk menahan kentut atau sendawa kerana ia berbahaya, terutama bagi kelangsungan usus besar," kata Saldmann.
Tambahnya, menahan udara di dalam perut secara klinikal dikenal pasti akan meningkatkan penyakit jantung.
"Gas itu juga menyebabkan organ-organ di dalam badan terjejas jika tidak dilepaskan mengikut masa yang ditetapkan," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment