KETIKA membuat liputan persidangan ke arah penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 24 Februari 2005 di sebuah hotel di pinggir ibu negara, isu berkenaan seseorang yang dilahirkan sebagai Islam di negara ini yang tidak mempunyai kebebasan untuk memilih agama ditimbulkan.
Lebih tepat mereka merujuk kepada orang Melayu sendiri yang secara umumnya pasti kekal dengan agama Islam berikutan kerangka undang-undang Malaysia yang menetapkan hal tersebut.
Malah definisi Melayu di dalam Perlembagaan sendiri menerusi Perkara 160 (2) adalah berdasarkan tiga ciri iaitu bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu dan ketiga yang paling jelas iaitu beragama Islam hingga menjadikan siapa yang mengaku dirinya Melayu maka secara automatik dia beragama Islam.
Perkara itu, telah tujuh tahun berlalu namun ingatan penulis terus segar bagaimana seorang peserta wanita bangun bertanyakan kepada ahli panel pada petang persidangan tersebut tentang kedudukan orang Melayu yang tidak bebas membuat pilihan agama seperti mana rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam.
Wanita yang tidaklah terlalu muda itu tetapi berambut perang sepenuhnya biar pun raut wajahnya tetap persis Melayu dengan angkuhnya bertanyakan bagaimana kebebasan beragama bagi kami yang dilahirkan Islam?' dalam bahasa Inggeris.
Dan selepas tujuh tahun persidangan tersebut yang antara penggerak utama ialah Majlis Peguam dan sebuah yayasan dari negara Eropah berakhir, soalan wanita berkenaan seolah-olah bukan lagi asing hinggakan ada pemimpin kanan pembangkang yang kini seperti membantu menyokong hujah berkenaan.
Gerakan untuk mengubah apa yang sudah menjadi amalan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara semakin kuat dan tersusun sejak beberapa tahun lalu menerusi beberapa kumpulan yang bergiat aktif mahu menjadikan kebebasan beragama di negara ini dilaksanakan secara mutlak.
Nampaknya, ada juga umat Islam yang terpengaruh dan sama-sama menggunakan logik akal serta berselindung di sebalik hak asasi mahu semua penganut agama diberikan layanan sama rata dalam memilih agama dikehendaki tanpa semestinya terikat dengan agama ketika dilahirkan.
Pastinya golongan ini juga mahukan kebebasan dalam menyebarkan semua agama dan kepercayaan kepada umat Islam dan orang Melayu yang kini dihalang oleh undang-undang.
Namun soal akidah tidak boleh disandarkan pada logik akal dan jika mengikut hukum seseorang yang ingin keluar Islam harus dibimbing dan diminta bertaubat dengan tetap tidak dibenarkan murtad dalam apa jua keadaan.
Murtad, jelas bukanlah hak kepada orang Islam sebaliknya ia satu dosa besar dan jenayah riddah (murtad) ini dijadikan suatu kesalahan dan termasuk di dalam kategori kesalahan hudud.
Ini kerana soal akidah mengatasi segala-galanya yang mana bagi yang dilahirkan sebagai Muslim, ia adalah anugerah terbesar Allah yang harus dipelihara biar pun pada masa sama tidak membenarkan berlakunya paksaan untuk seseorang memeluk Islam - ayat al-Quran yang sering disalah tafsir sebagai merujuk kepada umat Islam.
Dan realitinya di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan menerusi Perkara 3 telah membataskan kebebasan beragama dalam konteks umat Islam yang pastinya bertujuan menjaga akidah umat Islam.
Perkara 11, kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama ada batasannya menerusi Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sama sekali untuk bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.
Selain itu, cubaan murtad juga dimaktubkan sebagai satu kesalahan di bawah enakmen jenayah syariah negeri-negeri.
Peruntukan Perlembagaan ini kemudian dipanjangkan melalui Enakmen Sekatan dan Pengembangan Kawalan Agama yang digubal di hampir kesemua negeri bagi menguatkuasakan peruntukan perlembagaan tersebut bagi menghalang penyebaran agama lain.
Sebab itu, di negara ini tidak ada pihak yang secara terbuka dapat menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam dan berdekad lalu perkara ini berjalan dengan baik kecuali kes-kes terpencil yang telah ditangani pihak berkuasa termasuk menerusi penggunaan undang-undang pencegahan pada dekad 80-an.
Namun dengan perkembangan semasa, gesaan demi gesaan supaya membenarkan umat Islam atau lebih tepat orang Melayu di negara ini bebas memilih agama seterusnya membolehkan penyebaran agama lain dilakukan semakin galak dilaungkan.
Hujah dangkal dan bersandarkan logik terus diberikan pihak-pihak liberal dan penyokong pluralisme agama kononnya tidak ada guna untuk mempunyai umat Islam tetapi tidak berkualiti hingga boleh terpengaruh dengan dakwah agama lain.
Sedangkan akidah adalah perkara teratas yang perlu dipelihara mengatasi lain-lain perkara biar apa sekali pun situasinya yang pastinya tujuan utama adalah untuk menjaga ketertinggian agama Islam itu sendiri.
Bagi kita di Malaysia yang merupakan negara Islam dan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, kerangka undang-undang telah lama digubal yang memperlihatkan kesungguhan pemerintah untuk memelihara akidah.
Maka, semakin jelas, selepas separuh abad merdeka, kebimbangan ramai mengenai pihak yang mahu menulis semula Perlembagaan negara semakin kelihatan biar pun golongan ini acap kali cuba menafikannya.
Oleh : Herman Hamid
No comments:
Post a Comment