PERTIKAIAN siapa membuka Pulau Pinang sering diperdebatkan dengan fakta diketengahkan sebagai bukti sama ada berpihak kepada Kapten Francis Light atau penduduk asal dan pertikaian ini tidak selesai sehingga kini.
Biarpun fakta awal yang dimasukkan dalam subjek Sejarah menyebut Light membuka Pulau Pinang selepas berlabuh di Tanjung Penaga (Georgetown) pada 1786, namun mengikut peninggalan sejarah lebih 90 tahun sebelum kehadirannya, bangsa Melayu sudah bertapak di Batu Uban.
Hujah yang memihak kepada penduduk asal adalah berdasarkan bukti wujudnya masjid yang didirikan Nakhoda Nan Intan yang berasal dari Aceh pada 1734 masih wujud di tempat dinyatakan itu sehingga kini.
Batu Uban juga boleh ditemui dalam peta lakaran Kapten Walter Avis, peta pertama Inggeris pada 1763 sebelum Pulau Pinang dibuka Light, malahan bandar itu menjadi pusat pengajian dan tumpuan ulama, selain menjadi pelabuhan penghubung di antara Pulau Pinang dengan Alam Melayu.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datin Dr Mahani Musa melalui kajiannya menemui penerokaan Telok Jelutong dan Batu Uban adalah bukti penting wujudnya masyarakat yang menetap di pulau ini, sebelum kedatangan Light.
"Kewujudan masjid, kawasan perkuburan dan keturunan peneroka awal di Batu Uban sememangnya menjadi bukti kukuh, malahan saya sendiri berpeluang menemubual waris keturunan yang menjadi penghubung antara saya dan masa lampau.
"Apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mendarat di Georgetown dan berlaku pembentukan masyarakat baru yang lebih rencam, sejarah masyarakat awal menghakis sehingga menjadikan Light seorang pengasas," katanya pada Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi 26 bertema Penempatan Awal Di Pulau Pinang yang yang dirasmikan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Daresah Ismail di Kompleks Pustaka Warisan Seni, Pulau Pinang.
Dr Mahani berkata, kemunculan masyarakat campuran iaitu Peranakan Arab sering dikaitkan dengan sebahagian hasil kegiatan penerokaan ekonomi barat sedangkan ia sudah bermula sebelum kedatangan SHTI yang bermula di Batu Uban.
"Apabila perkahwinan campur antara orang Arab dengan wanita Batu Uban, ia sekali gus mengikis sedikit demi sedikit ciri Minangkabau yang sebenarnya sudah ada di bandar terbabit sejak dulu," katanya ketika membincangkan Sejarah Yang Terpinggir: Penempatan Awal Melayu Pulau Pinang pada majlis yang dipengerusikan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Prof Madya Dr Mohd Isa Othman.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nabir Abdullah, membangkitkan bilangan orang Eropah yang sedikit, tetapi mendapat habuan tanah yang banyak berbanding orang Asia yang ramai, tetapi habuan diterima sedikit hingga menyebabkan hal pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu terpinggir.
“Catatan 1792 menunjukkan bilangan kecil orang Asia dalam SHTI berlarutan sehingga abad ke-19, namun bilangan bangsa Melayu yang merangkumi orang Acheh, Batu Bara, Minangkabau dan Bugis besar untuk menjadi kumpulan majoriti.
"Persaingan kaum lain dalam hal pemilikan tanah termasuk luar bandar menjadikan bangsa Melayu terus terpinggir, malahan pemilikan asal sebelum 1786 diambil dengan pembayaran pampasan," katanya ketika merincikan Penempatan dan Isu Lord of the Soil Sebelum dan Sewaktu Pendudukan Inggeris di Pulau Pinang.
Bagi Pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican, Batu Uban ialah pelabuhan pertama sebelum adanya Tanjung Penaga yang kini dikenali Georgetown dengan permulaan masyarakat Jawi Pekan atau Jawi Peranakan hasil perkahwinan Melayu dengan Arab.
"Tidak ketinggalan Batu Uban juga menjadi kawasan bermulanya peradaban terawal, termasuk pusat pentadbiran dan kosmopolitan Alam Melayu, Nusantara dan Lautan Hindi hingga ke Hadramaut.
"Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa Batu Uban, Bukit Jenaton dan Gelugor yang terletak kira-kira lima kilometer di selatan tanjung (Georgetown) dan berhadapan dengan Pulau Jerejak adalah penempatan awal masyarakat Melayu," katanya ketika membedah Wajah Dan Warisan: Identiti Melayu Awal Pulau Pinang Yang Dilupakan.
Dr Ahmad Murad berkata, akibat tiada usaha bersungguh-sungguh dalam mengetengahkan sejarah sebenar maka salasilah dan pensejarahan Melayu dipadamkan dari peta sejarah dunia apabila pembicaraan perkara terbabit dilakukan dari sudut asing.
"Lalu lahirlah perbincangan masyarakat Melayu yang sebenarnya penduduk asal disifatkan sebagai pendatang dan kesilapan dalam wacana kewujudan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau di mana-mana Alam Melayu berterusan," ujarnya.
Oleh : Petah Wazzan Iskandar
Oleh : Petah Wazzan Iskandar
No comments:
Post a Comment