nuffnang

Friday, June 29, 2012

Malaysia, Indonesia Perlu Berbincang

JAKARTA 28 Jun - Semanjung Malaysia dan Sumatera, Indonesia hanya dipisahkan oleh lautan sejauh 64 kilometer, namun persengketaan mengenai isu tarian Tor Tor dan gendang Gordang Sambilan dilihat menjarakkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.

Ketegangan yang dicetuskan oleh negara ini berhubung isu budaya, pencemaran dan sempadan secara tidak langsung menyukarkan negara-negara di Asia Tenggara untuk mencapai taraf komuniti ekonomi menjelang 2015.

Usaha murni Malaysia memperkenalkan tarian Tor Tor dan Gordang Sambilan sebagai satu daripada warisan dunia disalah ertikan oleh Indonesia sehingga tercetusnya protes di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada minggu lalu.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia menggesa pemangku duta Indonesia ke Malaysia supaya mengadakan perbincangan berikutan keganasan yang tercetus akibat perbalahan budaya.

Kerajaan kedua-dua negara juga perlu memainkan peranan bagi meredakan ketegangan dengan menjelaskan bahawa apa yang berlaku hanyalah salah faham dan sekadar mahu mempromosi budaya masyarakat Mandailing yang tinggal di Sumatera dan di Malaysia.

Indonesia dan Malaysia sebelum ini pernah bertikam lidah mengenai isu kain batik, lagu-lagu rakyat dan masakan rendang.

Di sebalik kemarahan yang semakin reda, terdapat sentimen yang menyatakan Indonesia kecewa dengan sikap Malaysia yang mahu 'mencuri' budayanya.

Sementara Malaysia pula menyatakan pendirian bahawa pihaknya tiada niat untuk 'mencuri' budaya asli negara ini, sebaliknya mempunyai perspektif untuk memelihara budaya tarian Tor Tor dan Gordang Sambilan yang dilihat semakin pupus. - REUTERS

No comments:

Post a Comment