nuffnang

Friday, June 1, 2012

Belajar Jadi Setia

BERCERAI, bercerai, bercerai... Mungkin perkataan itu yang berada di dalam fikiran dua individu bergelar suami dan isteri sebaik berlaku masalah rumah tangga.

Biarpun benar, terdapat pelbagai masalah yang boleh mencetuskan konflik rumah tangga. Namun banyak daripada kes perceraian terjadi akibat faktor kecurangan atau ketidaksetiaan terhadap pasangan.

Untuk menjadi setia, apa yang anda perlu lakukan ialah sentiasa mengingati persetujuan bersama yang telah dicapai ketika diijabkabulkan.

Orang kata berakad nikah, berwali dan bersaksi merupakan satu ikrar taat setia yang seharusnya tidak dirungkai sewenang-wenangnya oleh pasangan.

Menerusi ijab dan kabul, anda berdua telah melakukan ikrar setia terhadap pasangan dalam apa jua keadaan.

Justeru, ketika anda berada di alam rumah tangga, inilah masanya saling meletakkan tahap kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain.

Syak wasangka hanya akan menyebabkan anda dan pasangan hidup dalam kegelisahan.

Sepatutnya semakin lama sesuatu tempoh perkahwinan itu, lagi banyak kepercayaan terhadap pasangan dapat ditingkatkan.

Sekiranya kepercayaan ditingkatkan, andai satu hari ada pihak menuduh pasangan anda, pastinya hubungan tidak tergugat kerana anda `kenal’ siapa pasangan anda.

Anda telah memilih si dia menjadi pasangan untuk sehidup semati. Jaga tingkah laku kerana setiap perlakuan yang boleh membuatkan pasangan anda rasa tergugat atau rasa was-was boleh membawa kepada keraguan dan menyebabkan dia rasa tidak selamat.

Jangan cuba-cuba untuk bermain ‘api’ dengan mengapi-apikan hubungan sekadar untuk melihat reaksi pasangan anda. Kerana sekali pasangan anda tergugat kesetiaannya, sukar untuk dia menerima anda seperti biasa.

Anda perlu terima kenyataan yang anda kini tidak lagi bujang kerana mempunyai tanggungjawab terhadap pasangan dan begitu juga sebaliknya.

Anda tidak boleh pergi ke mana-mana dan pulang sesuka hati. Ada yang memerlukan keputusan yang dipersetujui bersama.

Jika sudah berumahtangga, banyak yang perlu anda korbankan. Begitu juga dengan perilaku. Belajarlah berkorban demi untuk melunaskan tanggungjawab terhadap pasangan dan keluarga.

Sebenarnya cinta adalah kepercayaan dan tanggungjawab dan bukannya dijadikan alat untuk mengawal pasangan anda.

Sekiranya mempunyai cincin perkahwinan, pakai cincin itu untuk memberi peringatan yang anda telah berumahtangga.

Bagi yang telah agak lama berumahtangga, cuba perbaharui cara berasmara dengan isteri agar ia tidak membosankan.

Sekiranya terdapat sebarang masalah dari segi hubungan seksual, sentiasalah berbincang mengenainya.

Perbuatan berkasih sayang seperti pelukan, ciuman, interaksi dan bisikan cinta sebenarnya adalah cara membuktikan perasaan cinta kepada pasangan anda selain membangkit api asmara dan kenangan terindah ketika bersama.

Sentiasa ingat mengapakah anda jatuh cinta dengan pasangan anda.

Selain itu, elakkan daripada segala bentuk pergaulan yang boleh mendatangkan ‘kesalahan’ kepada perhubungan anda. Sebagai contoh, jika ada seseorang yang memberikan ‘respons’ kepada anda, jangan panik.

Paling mudah, anda cuma memikirkan yang anda kini sudah berumahtangga dan bahagia dengan perkahwinan itu dan nyatakan ke dalam diri, anda tidak berminat dengan si dia.

Elakkan diri daripada terus terjebak dengan insan-insan perosak rumah tangga seperti itu.

Lebih senang, jangan biarkan diri anda bersendirian dan jangan sesekali berjumpa sama ada rakan lelaki atau perempuan secara bersendirian di luar rumah.

Sumber : intim@utusan

No comments:

Post a Comment