SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi bertitah semasa istiadat sambutan Hari Keputeraan baginda pada 22 November tahun lalu supaya kerajaan Pusat menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru.
Sebagai anak kelahiran Johor, saya amat berharap impian ini menjadi kenyataan. Impian lama bertapak dan tersemat di hati kami yang selama ini tertunggu-tunggu pembinaan jambatan berkenaan.
Walaupun menunggu begitu lama, namun kami tidak pernah putus harapan bahawa kerajaan Pusat prihatin akan mengambil langkah positif menggantikan Tambak Johor yang usang dengan sebuah jambatan indah.
Pelbagai pendapat, hujah serta debat yang kita baca dan dengar mengenai jambatan ini. Sekarang sudah sampai masanya kita mengambil tindakan dan bukan setakat sambungan cakap-cakap kosong sahaja. Bak pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Beberapa isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura juga diselesaikan. Singapura melangkah ke depan dengan memenuhi kehendak mereka iaitu penutupan stesen kereta api di Tanjong Pagar dan juga pelepasan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang amat berharga untuk dibangunkan.
Apa pula perkembangan dan faedah yang diperoleh oleh rakyat Johor dan negara kita selama ini? Tanah milik kita tergadai, KTMB boleh dianggap tamat perkhidmatannya ke Singapura, air kita masih dijual dengan harga murah dan rakyat Malaysia masih lagi tidak boleh mengeluarkan wang CPF mereka hingga kini. Walhal jambatan indah yang kita impikan untuk dibina di negara sendiri juga masih tidak lagi kesampaian.
Tarikh 1 Julai 2011 merupakan detik sejarah yang menimbulkan perasaan pilu kerana pada hari itu stesen kereta api Tanjong Pagar ditutup. Walaupun penjelasannya, perasaan seolah-olah dihalau dari negeri sendiri tetap mengguris hati apabila mengingati tarikh tersebut.
Tidak cukup dengan itu, menjelang tahun 2018, perkhidmatan KTMB di bumi Singapura akan berakhir untuk selama-lamanya. Itulah yang dipersetujui Malaysia yang amat berbudi bahasa dan bertimbang rasa dalam apa jua rundingan yang diadakan dengan Singapura.
Maka apa lagi yang tinggal untuk kita demi mempertahankan maruah dan juga kedaulatan negara tercinta. Mungkin ada tersirat hikmah yang besar di sebalik perkembangan ini.
Ini adalah satu cabaran kepada pucuk pimpinan untuk memulihkan semangat rakyat dan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan serta kelebihan yang ada pada kita.
Marilah kita nilai semula sejarah dan hubungan masa depan antara Malaysia-Singapura yang pada suatu masa dahulu bernaung di bawah satu pemerintah. Kini sampai masanya untuk kita menamatkan satu aspek sejarah yang tidak lagi relevan iaitu Tambak Johor.
Pembinaan jambatan untuk menggantikan Tambak Johor amat bertepatan sekarang. Sebaik sahaja jambatan siap, Tambak Johor boleh dirobohkan dan pada masa sama perkhidmatan kereta api pun ditamatkan. Maka Selat Johor dipulihkan kepada keadaan asal sekurang-kurangnya dalam sempadan kita sendiri.
Sudah lama kita tunggu dan tiba masanya untuk kita mula menempa sejarah baru yang lebih menguntungkan rakyat dalam jangka masa 100 tahun akan datang.
WADAH
Anak Johor
Titah Sultan Yang Belum Terlaksana...klik disini
No comments:
Post a Comment