Sunday, January 15, 2012

Adult Toy Di Subang Jaya, Shah Alam, KL dan JB...

Bandar Johor Bahru pula lagi berserabut. Sebagai pintu masuk dari Singapura ia terlalu berbeza....


SEMASA saya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Subang Jaya sejak beberapa minggu ini, mata saya terpandang sepanduk yang tertera tulisan Adult Toy (dalam bahasa Melayu bermaksud Boneka Orang Dewasa) berselang-seli dengan tulisan Cina yang besar (tidak faham) serta tulisan Melayu berbunyi Ubat Kuat Lelaki.

Oleh kerana kerap berulang-alik di jalan itu, di hadapan Subang Parade untuk menghantar anak ke sekolah, pada satu hari anak saya bertanya kepada saya, sambil jari menuding ke arah sepanduk di tiang lampu isyarat itu: ''Dia jual toy apa tu abah?''

Terasa muka saya merah padam.

Saya tidak menjawab soalan anak berusia 12 tahun itu dengan segera. Dengan selamba apabila lampu bertukar hijau saya berkata ''jual ubat…'' Dia pun tak bertanya lebih, mungkin dia faham.

Saya tidak pasti apakah anak-anak sekolah orang lain pun bertanya soalan yang sama - termasuklah mungkin anak Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya sendiri?

Sepanduk-sepanduk itu ada di merata Subang Jaya, tempat lain saya tidak pasti. Setiap tiang lampu isyarat ada sepanduk kecil itu. Saya hairan bagaimana YDP MPSJ boleh memberi permit untuk iklan seumpama itu dipamerkan? Apakah MPSJ sudah tiada duit sangat sehingga iklan seperti itu pun dibenarkan digantung?

Terus terang saya katakan, saya amat-amat malu dengan iklan-iklan berunsur lucah seperti itu. Saya hampir terfikir mungkin YDP MPSJ tidak mempunyai perasaan seperti saya, jika tidak masakan ia sudah tergantung sejak berminggu-minggu?

Itu tidak kira lagi iklan-iklan haram tulisan tangan oleh ejen-ejen harta tanah yang diletakkan dan diikat di tiang-tiang lampu. Itu juga tidak kira lagi papan-papan tanda jalan, seperti no entry atau jalan sehala atau apa-apa papan tanda majlis perbandaran, yang didirikan dengan wang cukai rakyat, dibiarkan dilekat dengan pelbagai nombor-nombor telefon ah long?

Kalau tidak percaya pergilah ke USJ Taipan (dekat bangunan MPSJ) atau di mana-mana dalam bandar raya Shah Alam atau di mana-mana sekali pun.

Pelekat-pelekat itu dibiarkan menutupi papan-papan tanda itu. Tiada orang yang mahu mencucinya, sehingga mahu masuk ke lorong pun tidak tahu lagi kerana ditutupi dengan pelekat-pelekat itu. Saya tidak salahkan ah long, tapi majlis perbandaran yang tutup mata atau mata buta.

Kesimpulan saya, isteri saya, rakan-rakan saya dan mungkin rakyat jelata: Apakah ah long-ah long ini sudah menguasai majlis-majlis perbandaran? Apakah kongsi gelap sudah menguasai perbandaran-perbandaran itu?
Atau pun PBT-PBT kita sudah malas berfikir. Itu pasallah jalan-jalan kita kini pun sudah terlalu kotor, tidak kemas dan memalukan. Kalau mahu diambil gambar, tidak termuat dalam kertas akhbar betapa kotornya perbandaran kita sekarang.

Merujuk kepada soal itu, semalam saya membaca kolum Off The Cuff dalam The Sun ditulis oleh sahabat saya Datuk Seri Azman Ujang. Di perenggan-perenggan terakhir dia menulis: "Kakitangan awam kita, terutamanya mereka yang mengendalikan pihak-pihak berkuasa tempatan, perlu selalu berkunjung ke Singapura dan melihat bagaimana negara bandar itu diuruskan, terutama sistem pengangkutannya, perumahan awam dan kebersihan. Cara ini lebih baik dan menjimatkan daripada menganjurkan lawatan ke negara-negara yang jauh-jauh."

Dalam tulisan itu, Azman memetik satu SMS yang saya hantar kepada beliau, dua minggu lalu selepas bercuti ke republik itu. "…perkhidmatan yang baik, bersih, orangnya, keseluruhan sistemnya, ia seperti berada di mana-mana negara Eropah."

Azman menulis lagi: Dalam perjalanan pulang dari Singapura, Zaini singgah untuk makan di Melaka dan ini beliau tulis: ''Melaka lebih kurang sama seperti Singapura, cuma 10 tahun terkebelakang. Tapi Johor Bahru ialah 25 tahun terkebelakang dan Kuala Lumpur 20 tahun. Tahniah Melaka."

Sesungguhnya Lembah Klang kini sudah terlalu kotor. Cuba lalu di Chow Kit, tidak berubah-ubah. Shah Alam pula yang satu ketika dulu terlalu ceria, bersih, kini sudah tidak terbela. Lepas hujan air bertakung sana-sini.

Di Singapura, bangunan-bangunan rumah kedai zaman praperang seperti yang banyak terdapat di Chow Kit telah dibangunkan semula melalui Lembaga Pembangunan Semula Singapura. Singapura kini terlalu bersih, teratur. Bangunan-bangunan dicat bersih.

Di KL, sekitar Lebuh Pasar, Lebuh Ampang, Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Petaling bangunan-bangunan seperti itu masih dalam keadaan uzur.

Diharapkan Datuk-datuk Bandar turunlah ke bawah, bawa buku kecil dan catatlah mana-mana yang boleh diperbaiki. Percayalah jika ia dilakukan, anak-anak buah anda akan cepat bertindak.

Bandar Johor Bahru pula lagi berserabut. Sebagai pintu masuk dari Singapura ia terlalu berbeza. Sebelah sana negara dunia pertama dan apabila menyeberang masuk di sebelahnya, terasa sangat kita berada dalam suasana negara Dunia Ketiga - kelam-kabut, kotor, tak terurus, besi-besi hilang dicuri, banjir kilat.

Jika Menteri Besarnya atau Datuk Bandarnya juga memegang buku kecil ala Dr. Mahathir dulu - sekurang-kurangnya JB tidaklah teruk sangat!

Saya berharap kritikan ini membina.- Oleh : Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment