nuffnang

Saturday, January 21, 2012

Di Mana Maruah Pas?

SATU perkara yang tidak mahu diakui oleh Pas adalah parti itu hanyalah kuda tunggangan dan pak turut dalam pakatan pembangkang. Bagi Pas, semua itu hanya fitnah, tohmahan dan agenda politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Pas terlalu sukar untuk mengakui hakikat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP hanya ingin memperalatkan kemampuan serta kekuatan Pas bagi meraih sokongan undi terutama di kalangan sesetengah orang Melayu yang terlalu percayakan kepada perjuangan Islam Pas.

Tetapi Datuk Abdul Hadi Awang sendiri begitu mempertahankan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, malahan dalam satu perhimpunan Presiden Pas itu berkata, ‘‘Tidak apa DAP memperkudakan Pas, Pas memperkudakan DAP yang penting jangan diperlembukan oleh UMNO.’

Dan terbaru beliau berkata, tiada sesiapa pun yang menjadi tunggangan dalam pakatan pembangkang, sebaliknya pakatan itu bersatu demi menumbangkan BN.

Namun apa yang berlaku di Selangor sudah menjadi bukti bahawa Pas hakikatnya hanya dipandang sebelah mata oleh PKR dan DAP. Mereka tidak pernah mahu menganggap Pas adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebab itu portfolio Hal Ehwal Agama tidak diberikan kepada wakil rakyat.

Pas dan pakatan pembangkang boleh berhujah apa sahaja berhubung perkembangan terbaru ini tetapi apa yang pasti orang Melayu semakin yakin bahawa maruah Pas seperti kata Datuk Dr. Hasan Ali sudah dipijak.

Apakah Pas masih bermaruah apabila tunduk kepada PKR apabila memecat Dr. Hasan kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan arahan penjualan arak di kedai 24 jam dan membatalkan arahan melarang pusat hiburan beroperasi di bulan Ramadan.

Malahan sebelum ini Pas juga terpaksa mengorbankan perjuangan negara Islamnya semata-mata desakan DAP, oleh itu apakah Pas masih menganggap ia sebuah parti yang bermaruah jika sentiasa tunduk kepada kehendak PKR dan DAP?

Malang sekali nasib Pas, parti itu bukanlah sebuah parti yang digeruni pada era 70-an, 80-an mahupun 90-an, sebaliknya parti itu kini tidak ubah melukut di tepi gantang dalam pakatan, terpaksa ‘mengemis’ kepada persetujuan PKR dan DAP untuk melakukan sesuatu dan pada masa yang sama menyokong sahaja apa yang diputuskan oleh kedua-dua parti tersebut.

Oleh itu sudah pasti orang akan bertanya di manakah maruah Pas, apabila satu demi satu tindakannya dilihat sekadar memenuhi agenda politik PKR dan DAP. Kenapakah Pas begitu lemah untuk bersuara? Di manakah suara asal Pas dahulu yang dianggap suara pembangkang paling berbisa dalam arena politik negara?

Semua itu sudah tinggal kenangan, Pas kini lebih ghairah untuk memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP.

Pas tidak akan bantah dan Pas tidak akan protes demi memastikan kedua-dua parti berkenaan tidak menyingkirkan mereka daripada misi menawan Putrajaya.

Apa pun, perkembangan terbaru di Selangor ini seharusnya menyedarkan kepimpinan Pas dan penyokong mereka. Jika PKR dan DAP jujur sudah pasti mereka akan mencari jalan agar portfolio hal ehwal agama diberikan kepada Pas.

Tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana mereka tidak perlu menjaga hati Pas dan lagi pun Pas tidak akan melawan, Pas akan akur sahaja!

Mungkin juga dari satu segi, kedua-dua parti itu merasakan tidak perlu lagi mempertimbangkan portfolio berkenaan diberikan kepada Pas kerana parti itu tidak lagi memperjuangkan negara Islam sebaliknya negara berkebajikan.

Sebab itulah sejak awal lagi, ramai memperkatakan bahawa Pas hanya alat dalam pakatan, mereka tidak akan diberi apa-apa kuasa yang boleh menonjolkan kemampuan dan kewibawaan mereka.

Justeru tidak payahlah Pas bermimpi hendak menjadi parti utama dan mungkin parti itu menyedari hakikat tersebut sebab itulah awal-awal lagi Pas bersetuju dengan pandangan DAP bahawa Anwar tetap jadi Perdana Menteri.

Bagi Pas, kalau DAP sudah setuju dan PKR telah sepakat maka mereka perlu akur sahaja, bak kata dialog dalam filem P.Ramlee, ‘‘tidak boleh marah, kalau marah akan dijual keseluruhannya.’.

Begitulah juga nasib politik Pas, mereka sudah terlanjur mencapai kesepakatan dengan kedua-dua parti berkenaan, jadi mahu tidak mahu ikut sahaja kalau tidak mahu disingkirkan daripada pakatan pembangkang.

Demikianlah nasib Pas di alaf baru ini, tiada suara biar pun ada kekuatan, Pas bagaikan pak kadok ‘suruh ke hulu dia ke hulu, suruh ke hilir’, akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Bagaimanapun bagi sebahagian orang Melayu mereka masih menaruh harapan agar Pas segera sedar mengenai permainan politik licik PKR dan DAP.

Kita tidak pasti sejauh manakah Pas akan sedar mengenai agenda PKR dan DAP, ia kerana Pas bagaikan ditutup mata dan hati mereka untuk menilai keikhlasan kedua-dua parti itu.

Jika Pas dilihat terlalu menjaga hati rakan sekutunya tetapi percayalah PKR dan DAP tidak mempunyai perasaan sedemikian. Sebab itulah apa pun tindakan, mereka tidak akan mengambil kira pandangan Pas.

Namun Pas tidak sedar sebaliknya terus dibuai mimpi dengan kerjasama dengan kedua-dua parti itu telah menggerunkan BN, maka tohmahan pun dilemparkan mengatakan Pas hanya pak turut.

Lebih malang, di kalangan pemimpin fanatik Pas, oleh kerana sudah diserap politik kebencian, maka mereka ini hanya akan mengangguk apa sahaja kata pemimpin mereka, PKR dan DAP.

Mereka tidak akan membantah kerana percaya pemimpin mereka semuanya pandai-pandai belaka dan tahu bagaimana hendak berpolitik.

Tetapi mereka tidak sedar, kepandaian Pas berpolitik tidak akan mampu menandingi politik putar belit PKR dan ketegasan DAP dalam memperjuangkan satu isu. Sebab itulah, Pas menjadi parti paling rugi dalam kerjasama berkenaan.

Namun percayalah apa pun teguran atau kritikan kita, ia tidak akan mengubah pendirian Pas yang semakin teruja untuk ke Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.

Apatah lagi di dalam Pas seperti mana kata Dr. Hasan sudah dikuasai oleh ‘parasit’, golongan ini lebih kuat dan memegang jawatan strategik dalam parti tersebut.

Dengan kekuatan berkenaan ia bermakna tiada siapa pun boleh menyedarkan Pas mengenai ancaman politik yang sedang mereka hadapi kerana agenda ‘parasit’ bukannya untuk memperkukuhkan Pas tetapi menguasai Pas demi kepentingan politik mereka.

Semoga golongan atas pagar terutamanya orang Melayu akan menjadi apa yang berlaku di Selangor sebagai petunjuk siapakah yang akan menjadi tuan dan siapakah yang akan menjadi pak turut jika pembangkang memerintah!

Oleh : Zulkiplee Bakar

2 comments:

  1. Umum tahu bahawa kilang arak Carlsberg yang ada di Selangor tu dirasmikan oleh Tong Ghozat kawan baik Tongkaran

    ReplyDelete
  2. Marwah Pas ada di papan tanda kilang itu
    alangkah baiknya kalau tuan dapat luangkan sedikit masa ontok selfi depan plet tembaga nama kilang ituh supaya laen kali tuan takyah meracau apa ke apa

    ReplyDelete