SAYA sebenarnya kurang jelas dengan maksud Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang akan memansuhkan undang-undang yang digunakan untuk memalukan orang lain. Apa maksud 'memalukan orang lain'?
Saban tahun kita melihat laporan televisyen dan akhbar tentang orang yang didakwa atas pelbagai kesalahan jenayah. Ada pembunuhan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ramai di kalangan mereka yang didakwa itu menutup muka dengan akhbar atau kain kerana malu gambar mereka diambil oleh wartawan dan disiarkan di media. Adakah undang-undang yang begini juga hendak dimansuhkan?
Ada murid saya enggan memberitahu berapa markah mereka dapat dalam peperiksaan, dan pemarkahan dibuat berdasarkan beberapa peraturan yang dibuat untuk menetapkan standard penandaan kertas peperiksaan.
Kutu kampung yang mencuri ayam pun senyap-senyap pergi mencuri waktu malam kerana malu jika tertangkap. Adakah peraturan ini pun pembangkang hendak mansuhkan?
Sebagaimana malunya Anwar Ibrahim apabila didakwa meliwat, anak murid saya pun malu bila gagal peperiksaan. Tetapi, berbeza dengan Anwar, anak murid saya yang malu kerana gagal itu kemudiannya berusaha kuat supaya tidak gagal lagi dan menyelamatkan diri mereka daripada malu.
Jadi saya tidak faham bagaimana hendak membezakan undang-undang yang tidak memalukan dan undang-undang yang memalukan, kerana atas kesalahan apapun, besar atau kecil, kalau sudah namanya tertangkap, memang akan berasa malu.
Ini kerana seseorang hanya akan dianggap bersalah apabila ada bukti dan bukti boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Bukti menunjukkan orang itu benar-benar bersalah. Jadi sekarang, adakah kita hendak melarang semua polis dan peguam mencari bukti kesalahan penjenayah kerana bukti boleh mendatangkan malu?
Bukan semua orang ada pengaruh dan kebolehan memutar alam semesta untuk menegakkan benang basah apabila sudah tertangkap membuat salah.
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan negara ini nanti jika semua undang-undang dan semua bentuk pembuktian dianggap memalukan dan tidak boleh dibawa ke mahkamah.
Jika keadaan ini berlaku, polis dan peguam tidak boleh bekerja dan semua penjenayah boleh terlepas daripada hukuman. Karpal Singh dan anak-anaknya tidak boleh pergi ke mahkamah lagi.
Kita bercakap tentang keadaan disiplin murid sekolah yang teruk kerana sekarang undang-undang sekolah pun boleh diperkecilkan oleh pelajar. Bayangkan apa berlaku jika undang-undang negara pula dipermain-mainkan. Bagi saya, jika tidak mahu malu, jagalah kelakuan dan akhlak.
Saya tidak punya pengaruh besar seantero dunia seperti Anwar. Jadi barangkali saya gagal memikirkan undang-undang apakah yang tidak akan memalukan orang yang tertangkap membuat salah. Mungkin Anwar boleh menjelaskan undang-undang mana yang boleh memalukan dan undang-undang mana yang tidak?
Sabda Rasulullah: "Malu itu sifat orang beriman. Jika tidak ada rasa malu, buatlah sesuka hatimu". Saya fikir, Anwar yang pernah mengimamkan solat, menjadi pemimpin anugerah Tuhan dan menonjolkan diri sebagai pemimpin Islam yang progresif tentu pernah mendengar kata-kata Rasulullah SAW ini.
Oleh : Habibul Amani
Kulaijaya, Johor
No comments:
Post a Comment