nuffnang

Tuesday, November 29, 2011

Cantik Belum Tentu Menarik

ADAKAH pada zaman remaja anda sering dimomokkan dengan tanggapan tiada siapa yang akan 'berkenan' dengan anda dan apabila berada di kalangan khalayak, anda berprasangka tiada seorang pun perasan dengan kehadiran anda?

Mungkin juga anda sering berasa keseorangan dan berasa rendah diri disebabkan kekurangan dari segi fizikal berbanding rakan-rakan lain.

Sebenarnya, bukan semua daripada kita dilahirkan istimewa dengan memiliki wajah yang mempesona.

Namun, sekiranya difikirkan lebih mendalam, mungkin bagus dilahirkan 'kurang sempurna' dari segi penampilan wajah agar tidak terasa riak dengan kecantikan yang dianugerah Tuhan.

Siapa kata insan yang tidak dianugerahkan dengan raut wajah yang kurang sempurna tidak boleh menambat hati orang lain?

Apa yang pasti, setiap insan di bumi ini memiliki keistimewaan masing-masing.

Sesungguhnya tarikan kecantikan itu satu perkara yang subjektif. Cantik pada mata anda, mungkin tidak pada mata orang lain.

Banyak kajian menunjukkan biarpun golongan lelaki dikatakan makhluk yang akan tertarik dengan kecantikan fizikal, namun bukan semata-mata itu saja yang memikat hati mereka.

Ini dibuktikan apabila ramai pasangan yang berkahwin dengan pasangan mereka yang sama cantik tetapi akhirnya bercerai dan sebaliknya berlaku.

Percayalah, biarpun ramai di kalangan manusia yang cantik ini digemari dalam kehidupan mereka, namun mereka selalunya tidak bertuah dalam cinta.

Rahsia di sebalik kata orang bijak dahulu kala ialah dalam setiap perhubungan, ia bukan bagaimana cara anda kelihatan (kecantikan) tapi bagaimana lelaki itu rasa terhadap anda, itu yang penting.

Kecantikan sebenar lahir dari dalam diri biarpun seseorang itu hanya dilihat sebagai gadis biasa dan tidak glamor.

Panduan-panduan ini mungkin boleh menjadikan anda seorang wanita yang dapat menambat hati lelaki:

Beri perhatian penuh
Golongan lelaki sukakan wanita yang sering memberi perhatian penuh kepadanya, mendengar cita-cita dan impiannya, keraguannya, hatinya dan selalu memberinya keyakinan.

Anda penghibur yang baik
Ramai di kalangan wanita yang kehilangan cinta mereka kerana membawa terlalu banyak akses bagasi beremosi selain ada agenda yang tersembunyi dan perengus. Jadilah individu yang menyenangkan pandangan pasangan anda dan melembutkan jiwanya.

Boleh memasak biarpun sedikit
Memang benar, memikat lelaki menerusi perutnya. Ambil kelas memasak atau bertanyakan kepada ahli keluarga mengenai hidangan masakan kegemarannya.

Boleh masuk dalam semua keadaan
Sekiranya anda boleh menyesuaikan diri dalam setiap kegemarannya, mempunyai bakat dan boleh pula bergaul dengan semua orang termasuk rakan-rakan si dia tanpa masalah, ini lebih bagus. Menjadi seorang rakan kongsi kepada si dia bukannya seperti tunggul yang tiada berfungsi.

Jadi seorang yang 'pandai'
Lelaki sebenarnya sukakan wanita yang cerdik dan pandai menguruskan diri dan adakalanya mereka akan kagum dengan anda namun janganlah anda berlagak, meninggikan diri dan sering bercakap besar dengan kebolehan anda itu.

Jadi diri anda sendiri dan jangan jadi orang lain ketika bersama golongan ini serta anda perlu baik dengan semua insan penting bagi dirinya seperti ibunya, adiknya, kawan-kawan dan sebagainya. Sekiranya anda seorang perempuan, jadilah seorang perempuan yang feminin dan bukannya maskulin.
Cari persamaan
Persamaan itu menimbulkan tarikan. Apabila anda berjaya menampakkan diri anda sebagai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya, ini akan menjadikan si dia tertarik untuk mendekati dan mengenali anda dengan lebih mendalam.

Hampir dengannya
Orang yang paling hampir dengan kita, selalu berada dekat dengan kita, adakah kita mudah melupakannya? Mungkin tidak. Selain persamaan, ahli psikologi menjelaskan bahawa kita mudah tertarik dengan orang yang berada dekat atau hampir dengan kita. Jadi, usahakanlah agar anda selalu berada hampir dengannya.

Intim

Monday, November 28, 2011

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira seasyik mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah…

RM100: Jangan Jadi Manusia Kufur Nikmat-Nya

SAYA merasa amat terpanggil untuk meluahkan rasa terkilan hati saya terhadap tulisan saudara Subky Latif dalam protal The Malaysian Insider bertarikh 22 November 2011 bertajuk RM100 hanya terselit di celah gigi dan bersetuju pendapat dengan Esa Adam berhubung pemberian kerajaan tersebut kepada setiap murid sekolah.

Saya adalah pengundi tegar Barisan Nasional, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari tahun 1985-1989 (tidak perlu bayar semula kerana keputusan cemerlang) dan adalah selamanya penyokong kerajaan sekarang.

RM100 itu sangat besar ertinya pada individu yang serba kekurangan. Jangan lupa pula RM100 untuk setiap murid membawa perbelanjaan jutaan ringgit dikeluarkan oleh kerajaan semata-mata kerana prihatin dan ingin meringankan beban yang mesti ditanggung oleh setiap keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah pada tahun depan.

Saya adalah salah seorang ibu yang menerima pemberian kerajaan tersebut dan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup membantu kami.

Namun pada saat wang tersebut saya terima daripada guru sekolah, terbit rasa bersalah dan malu yang teramat kerana mengambil wang kerajaan tersebut, sedangkan pada masa sama saya juga mampu seperti Subky Latif.

Saya mengambil keputusan menyerahkan wang tersebut kepada bahagian hal ehwal murid sekolah itu untuk dijadikan wang tabung agar dapat membantu murid lain yang tidak mampu dan tidak bernasib baik menggunakannya di saat-saat mereka memerlukan.

Bukankah wang itu menjadi lebih bermakna daripada kita menjadi manusia tidak tahu berterima kasih.

Ingatlah kepada Allah SWT dan janganlah kita menjadi manusia kufur kepada nikmat.

Ingatlah walau sebesar zarah sekalipun kebaikan yang kita lakukan Allah SWT akan tetap menilainya begitu juga sebaliknya.

Oleh : Dinas Harlina
          Klang, Selangor.

Sunday, November 27, 2011

Hijrah Membina Penghayatan Islam

AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.

Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.

Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.

Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.

Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".

Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.

Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).

Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.

Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.

Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.

Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.
 
Oleh : Dr. Burhanuddin Abdul Jalal

Saturday, November 26, 2011

Bagaimana Elak Suami atau Isteri Curang ?

Meskipun tidak mahu perkara ini berlaku namun hal yang sebaliknya boleh berlaku sekiranya suami isteri lemah dalam menghadapi godaan. Lebih memburukkan lagi jika pasangan iaitu isteri sendiri memberikan peluang atau memberikan suatu persekitaran untuk menyebabkan berlakunya kecurangan. Jadi bagaimana hendak mengelakkan suami anda berlaku curang, berikut adalah tips yg mesti diketahui oleh setiap isteri mahupun suami.

1) Selalu Berpenampilan Menarik
Setelah menjalani alam rumahtangga bertahun-tahun, penampilan diri selalunye diabaikan. Keinginan untuk menarik perhatian pasangan pun semakin pupus. Namun begitu bila berada diluar seperti ditempat kerja, penampilan kita selalunya berbeza.

Kita cukup mengambil berat soal penampilan bila berhadapan dengan orang lain terutamanya jika ada yang memuji. Puji-pujian ini merupakan salah satu punca yang memungkinkan berlakunya kecurangan.

2) Kehidupan Seks Yang Sihat
Memenuhi keperluan seks pasangan sangat penting untuk menjaga perkahwinan tetap utuh. Banyak kes penceraian atau perkahwinan runtuh akibat masalah seks suami isteri. Jika anda menghadapi masalah yang berkaitan dengannya, berusahalah untuk mengatasinya secepat yang mungkin.

3) Persamaan
Menikahlah dgn lelaki atau pasangan yang anda rasa sama dengan anda. Sama dalam erti, sama menariknya, berpendidikan setara dan memiliki pendapatn yang hampir sama. Percaya atau tidak, persamaan yang banyak antara suami isteri dapat mengecilkan kecenderungan untuk berlakunya kecurangan.

4) Waspada
Jika anda mengesan pasangan anda berlaku curang, jangan ragu untuk menyiasatnya. Kecurangan akan berlangsung lebih lama jika pasangan anda berasa senang dan jauh dari jangkauan anda. Jangan biarkan perkara ini berlaku dalam perkahwinan anda.

5) Waktu Hanya Berdua
Ada pasangan menganggap perkara ini sebagai perkara remeh temeh. Waktu romantis hanya untuk anda berdua sekurang-kurangnya seminggu sekali cukup penting untuk membuatkan hubungan suami isteri bertambah erat.

6) Mencari Kaunselor
Jangan ragu untuk mendapat khidmat daripada kaunselor ataupun orang tengah sekiranya merasakan hubungan anda menghadapi masalah atau ada masalah yang sukar untuk diatasi. Kebun bunga tidak akan nampak segar dan indah tanpa disiram dan dipupuk.

Begitu pula dengan perkahwinan. Jika bukan anda berdua yg bersikap proaktif dalam menjaga keutuhan rumahtangga, siapa lagi yang anda harapkan?


7) Menghargai Pasangan
Hargailah pasangan, kerana penghargaan akan dibalas dengan kesetiaan. Ucaplah terima kasih setiap kali pasangan membantu anda. Sekali sekala berilah hadiah buat suami ataupun isteri sebagai tanda anda menghargai apa yang dilakukan.

8) Bersahabat Dengan Teman-Teman Pasangan
Sekiranya pasangan curang, anda lebih cepat mengetahuinya dan tindakan segera boleh cepat diambil sebelum segala-galanya terlambat. Jadikan teman-teman pasangan anda sebagai teman anda sendiri.

Anonymous

Tuesday, November 22, 2011

Tambak Johor - Titah Sultan Yang Belum Terlaksana

"Saya yakin seluruh rakyat Johor berasa gembira dengan terbinanya bangunan JB Sentral yang serba lengkap dan indah ini, namun masih terdapat kekurangan dan kecacatannya apabila komponen utamanya iaitu jambatan masih belum dilaksanakan hingga hari ini.

"Sekali lagi, saya ingin menyeru kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Johor," titah baginda. Artikel penuh klik disini

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak dalam reaksi ringkas menyatakan kerajaan sedia mengkaji semula. Adalah terlalu awal pada peringkat ini untuk melihat apakah kesudahannya projek jambatan itu yang telah dihentikan oleh Kabinet tidak lama dulu. Kajian semula tentunya akan mengambil masa dan apakah keputusannya nanti, sukar dijangkakan. Sebarang pertimbangan mengenainya tentu mengambil kira kekangan malah realiti baru terutama hubungan antara Malaysia dan Singapura yang kian kukuh.

Ini akan menjadi satu lagi cabaran kepada Najib tetapi Awang percaya beliau mampu tanganinya. Apa pun cadangan Sultan Johor itu membuka harapan baru kepada impian untuk melihat projek jambatan itu menjadi kenyataan. Kita tunggu dan lihat.
Artikel penuh klik disini

Daulat Tuanku       Daulat Tuanku       Daulat Tuanku

Monday, November 21, 2011

Malaysia Hebat...!

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
BARU seminggu polis menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa di sebuah kilang di Kedah dan Pulau Pinang, lagi sindiket sama dibongkar.

Difahamkan, nilai rampasan terbaru di Puchong, kelmarin, juga sama seperti sebelumnya iaitu RM20 juta.

Hari yang sama, polis juga menahan 20 bookie judi warga Taiwan. Mereka berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi judi antarabangsa.

Wah, hebat Malaysia ini. Semua orang mahu jadikannya sebagai hab antarabangsa.

Sudah terlalu kerap pembongkaran ini dilakukan. Yang Awang mahu tanya ialah sudah berapa lama sindiket-sindiket itu beroperasi? Baru beroperasikah, atau sudah lama?

Jika baru beroperasi dan sudah digagalkan, baguslah, tapi macam mana kalau ia sudah beroperasi sejak bertahun-tahun.

Awang juga ingin bertanya mengapa terlalu longgar penguatkuasaan imigresen di negara ini? Apakah operasi polis itu dijalankan secara bersepadu dengan agensi-agensi lain?

Terlalu banyak persoalan yang timbul. Selain Awang mahu ucapkan tahniah kepada pihak polis di atas kejayaan itu, banyak soalan lain yang perlu dijawab juga.

Awang dan sudah tentu rakyat jelata bingung dengan fenomena ‘antarabangsa’ ini. Ia menggambarkan seolah-olah Malaysia sudah menjadi syurga penjenayah antarabangsa.

Di sinilah syurga pelacur, GRO dan tukang urut dari China, Thailand sehinggalah Asia Tengah. Di sinilah juga pusat perjudian Internet.

Di sini jugalah menjadi pusat PATI, pendatang asing tanpa izin dari serata pelosok dunia.

Awang berharap sesiapa yang tahu jawapan kepada persoalan ini silalah jawab.

Awang – Makan rezeki halal.

Sunday, November 20, 2011

Dalang Agenda

Pengakuan seorang wartawan Indonesia mengenai terdapatnya segelintir wartawan negara itu yang disogok bagi menjayakan agenda pihak tertentu, menarik perhatian.

‘‘Kebiasaannya, saya akan melakukannya bersama rakan-rakan lain. Saya bertindak sebagai koordinator dan berurusan dengan sumber yang memerlukan khidmat kami,’’ kata wartawan yang hanya mahu dikenali sebagai Danu Pratama.

Demi ganjaran wang yang lumayan, mereka sanggup menyiarkan laporan yang tidak benar, kurang tepat dan berat sebelah meliputi isu-isu besar.

Pendedahan itu disiarkan oleh akhbar Jakarta Globe baru-baru ini. Ketika banyak pihak di Indonesia berbangga dengan kebebasan media sejak era pasca Suharto, rupa-rupanya ada juga cerita belakang tabir. Tetapi Awang tidak terkejut. Keterbukaan dan kebebasan juga terdedah kepada manipulasi. Awang percaya apa yang didedahkan oleh wartawan berkenaan hanya sebahagian daripada keseluruhan cerita yang besar.

Daripada pendedahan itu sudah cukup membuatkan kita bertanyakan banyak soalan. Dalam keghairahan sebahagian media Indonesia memburuk-burukkan Malaysia, apakah ada pihak ketiga yang membuat percaturan, yang Awang yakin jawapannya - ya. Sama keadaannya dengan siri demonstrasi liar anti Malaysia, yang para pesertanya diupah oleh tangan-tangan ghaib.

Siapakah sebenarnya menjadi dalang - sebuah lagi negara jiran, agensi perisikan tertentu yang bergerak terancang atau pemimpin politik serantau yang mempunyai agenda jahat?

Bukan rahsia lagi, dalam era moden persaingan strategik, ada negara, pihak dan individu yang sanggup berbelanja besar demi menjayakan agenda.

Yang pasti dalang itu adalah pihak yang mendapat keuntungan daripada ketidaktentuan apalagi ketegangan hubungan Malaysia-Indonesia. Biarpun dengan pendedahan wartawan berkenaan, persoalan lebih besar dan cabaran yang menanti kita - apa lagi yang kita semua tidak tahu.

Oleh : Awang Selamat

Saturday, November 19, 2011

Tangani Politik Putar Belit Pembangkang

POLITIK memutar belitkan fakta dan melakukan fitnah demi meraih keuntungan politik seolah-olah tidak asing lagi bagi parti pembangkang di negara kita.

Mereka berusaha memburuk-burukkan apa juga usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bersedia untuk memutar belitkan fakta demi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat yang seterusnya akan membolehkan mereka meraih sokongan politik.

Terbaru mereka menyerang Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Itulah sikap pembangkang di negara ini dan pada tahun 2008, pembangkang mengamalkan politik persepsi yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar rakyat bahawa pentadbiran kerajaan BN ketika itu lemah dan harus ditumbangkan.

Mereka hampir berjaya dan kini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 pelbagai isu diputar belitkan hatta melibatkan Bajet 2012 sekali pun.

Semua ini seharusnya memberikan kesedaran kepada parti-parti komponen BN bahawa mereka kini berhadapan dengan sekelompok parti pembangkang yang bersedia memutar belitkan fakta demi keuntungan politik mereka.

Apa yang membimbangkan, pembohongan dan putar belit fakta dilakukan dengan penuh keyakinan oleh puak-puak pembangkang sehingga boleh mempengaruhi pemikiran rakyat.

Sebab itulah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperingatkan mengenai bahayanya politik putar belit pembangkang itu.

Menurut beliau, pembangkang kini ghairah menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan melalui pelbagai tuduhan dan fakta yang diputarbelitkan serta menabur janji-janji kosong.

Walaupun Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, namun ia bukanlah satu kerja yang mudah.

Ini memandangkan pembangkang juga mempunyai jentera propagandanya sendiri yang bersedia menyebarkan dakyah-dakyah mereka kepada rakyat.

Lihat sahaja blog-blog pro mereka, pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada kerajaan BN dan semuanya berdasarkan kepada fakta-fakta yang diputar belitkan.

Bagi pembangkang, soal sama ada fakta yang mereka bentangkan benar atau palsu itu soal kedua yang penting ialah menimbulkan keraguan rakyat sama ada terhadap kerajaan mahupun pemimpin tertentu dalam BN.

Justeru ancaman politik memutar belitkan fakta ini tidak harus dipandang ringan oleh BN apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Parti komponen BN terutamanya UMNO perlu mempertingkatkan usaha penerangan kepada rakyat.

Setiap isu yang dibangkitkan oleh pembangkang melalui pendekatan memutar belitkan fakta amat bahaya kerana ia lama-kelamaan boleh mempengaruhi rakyat mempercayai dakyah pembangkang.

Masanya sudah tiba untuk BN menggerakkan secara bersepadu seluruh jentera penerangan untuk meredah setiap pelosok tanah air bagi memberikan penerangan kepada rakyat terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Parti komponen BN tidak boleh bersikap syok sendiri dengan begitu mempercayai bahawa jumlah kehadiran yang ramai dalam majlis-majlis mereka menunjukkan bahawa sokongan rakyat sudah pulih tanpa menyedari bahawa dakyah pembangkang bagaikan api dalam serkam yang boleh melenyapkan sokongan kepada BN.

Seperti mana diakui oleh pemimpin-pemimpin BN sendiri, pilihan raya umum akan datang cukup getir dan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi mempengaruhi rakyat, maka BN juga perlu membuat persediaan yang mencukupi bagi menghadapi 'peperangan besar' berkenaan.

Biro-biro penerangan BN perlu aktif bukannya membuat satu demi satu kenyataan media sedangkan kita sendiri tidak pasti sejauh mana ia mampu menangkis dakwaan pembangkang.

Adalah lebih baik jika biro penerangan berkenaan turun bertemu rakyat dan berjumpa secara bersemuka biar pun dalam kelompok yang kecil bagi memberi penerangan sebenar terhadap sesuatu isu yang diputar belitkan oleh pembangkang.

Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di semua peringkat tidak boleh mengharapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sahaja untuk memberi penjelasan.

Sebaliknya, jika mereka benar-benar sayangkan parti dan ingin memastikan BN terus kekal berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang, maka mereka juga perlu bersedia menjadi jentera penerangan kepada rakyat.

Selain itu, janganlah pula ada di kalangan pemimpin BN dan UMNO bertindak bagaikan duri dalam daging apabila secara senyap-senyap bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan saingan politik mereka dalam parti sendiri.

Tindakan ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan kerana bersedia menjadi 'musuh dalam selimut' semata-mata kerana ingin mencapai cita-cita politik peribadi.

Seperkara lagi, sebelum bertemu rakyat, mereka yang terlibat perlulah mempunyai pengetahuan terhadap isu yang diputar belitkan pembangkang.

Janganlah turun ke padang dengan tiada pengetahuan terhadap sesuatu isu kerana ia hanya akan memakadiri.

Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di semua peringkat perlu faham bahawa sekarang bukan di zaman tahun 1970-an atau 1980-an di mana rakyat hanya bergantung kepada media elektronik dan media cetak untuk mengetahui sesuatu isu.

Sekarang sudah banyak cara maklumat disampaikan, ia termasuklah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan blog-blog serta portal-portal berita.

Perkara yang paling penting dipegang oleh pemimpin-pemimpin BN dan UMNO ialah kebenaran akan mengatasi kebatilan, apabila kebenaran muncul maka lenyaplah kebatilan.

Justeru biarlah sejauh manakah pun pembangkang cuba memutar belitkan fakta tetapi kebenaran pasti akan muncul, tetapi kebenaran tidak akan muncul, kalau kita tidak berusaha memunculkannya.

Atas sebab itulah, BN dan UMNO perlu bersungguh-sungguh menggerakkan jentera penerangannya, jangan biarkan orang beranggapan bahawa unit penerangan parti itu dianggap 'hidup segan mati tak mahu' atau pandai berteori sahaja sedangkan cabaran dalam pilihan raya umum nanti cukup sengit.

BN dan UMNO masih mempunyai masa untuk menangkis serangan jahat pembangkang terhadap apa juga isu yang dibangkitkan.

Dan mereka juga perlu memberi keyakinan kepada rakyat agar tidak termakan dengan tohmahan dan janji-janji kosong pembangkang kerana ia ibarat mempertaruhkan masa depan negara kepada satu kelompok yang ingin kuasa semata-mata.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Haruskah Undang Bekas Kekasih ke Pernikahan Anda?

Senarai tetamu perkahwinan anda dipenuhi oleh teman-teman, keluarga, rakan sekerja, bos, dan lain-lain, tapi bagaimana dengan bekas kekasih? Urusan satu ini mungkin menjadikan anda bingung.

Anda boleh mengatakan sudah melupakan kenangan ketika menjalin cinta dengannya, tapi untuk mengundang bekas kekasih yang lama dipacari ke perkahwinan anda, rasanya sukar. Di sisi lain, anda ingin berkongsi kebahagiaan pada sebanyak mungkin orang.

Ini adalah beberapa pertimbangan sebelum anda menambah nama bekas kekasih ke dalam senarai tetamu jemputan…..


Apakah penting bila bekas kekasih hadir di hari besar anda?
Dulu, anda memang mencintai bekas kekasih, tetapi cerita cinta sudah berlalu. Kini,satu hal yang harus anda jaga adalah menjaga komitmen bersama calon suami yang bermula ketika sumpah atau akad nikah diucapkan. Hormatilah pasangan anda kini.

Bagaimana hubungan yang pernah dijalin bersama bekas kekasih?
Adakah anda sempat menjalin cinta dengannya selama 7 tahun? Apakah dia cinta pertama anda? Apakah dia lelaki yang pertama memberi anda cincin tunangan?Jawapannya bukan hanya akan membuat hati anda remuk redam, tetapi juga keluarga anda yang mungkin mempunyai perasaan kuat terhadapnya. Jika dia adalah lelaki yang hampir menjadi suami anda, sebaiknya tidak usah diundang.

Berbeza bila dia hanya bekas kekasih yang hubungannya dangkal sahaja, anda boleh membawa hubungan dengannya ke dalam ikatan persahabatan. Kemudian,yakinkan pada calon suami yang merupakan pilihan terbaik anda.

Bagaimana perasaan anda terhadapnya? Jujurlah!
Ketika melihat bekas kekasih, adakah anda menyedari ada daya tarikan yang membawa anda ke masa lalu nan romantis? Ini tidak bermakna anda sedang jatuh cinta dengannya, tetapi jenis perasaan atau tenaga seperti ini tidak sepatutnya ada di hari perkahwinan anda.

Anonymous

Friday, November 18, 2011

Jahilnya Kita, Hanya Kerana Kita Jahil..

Kita bukan golongan orang-orang yang disucikan, maka bersucilah dengan air dan wuduk. Kita bukan golongan yang memegang kitab besar, maka peganglah kitab kecil. Kita bukan golongan orang menjunjung kitab yang meruntuhkan gunung batu, maka junjunglah kitab yang tersimpan di atas rak kayu. Kita bukan golongan yang tersimpan kitab di dada, maka simpanlah kitab di sorok kaca. Kita bukan golongan orang yang dibacakan kitab malam ramadhan, maka bacalah kitab di bulan apa pun..

Kita bukan golongan yang melihat dari mata burung, maka lihatlah dari celah lembah dan gunung. Kita bukan golongan yang melihat sebuah lukisan, maka lihatlah dari belah warna-warna. Kita bukan golongan orang yang ariff, maka bertatihlah, maka berjalanlah, semoga satu hari nanti kita mampu berlari. Redha dan bersyukurlah dengan apa yang ada..

Sejahil manapun kita, itu tidaklah mengurangi kebesarannya dia, sejahil manapun kita, itu tidaklah mengurangi kesempurnaan penciptaannya dia. Seburuk manapun kita, itu tidaklah mencacati maha merancangnya dia. Dan kita di sini untuk menjunjung perintahnya, menjunjung tujuannya. Jahilnya kita kerana melengkapkan sebuah karya yang maha agung. Jahilnya kita, hanya kerana kita jahil..
 
Salam muhibah :  ZamZam Jarkaseh

Thursday, November 17, 2011

6 Perkara Yang Lelaki Cari Dari Seorang Wanita

Lelaki ingin wanita yang boleh berikan rasa cinta pada mereka
Lelaki sebenarnya ingin mencintai wanita yang mencintai dirinnya berbanding mencintai wanita yang tidak mencintai dirinya. Jika anda berjumpa lelaki yang anda suka, anda berikan dia rasa cinta, nescaya peluang anda untuk miliki cintanya adalah lebih luas.

Lelaki ingin cari wanita yang menarik
Definisi wanita yang menarik adalah berbeza bagi setiap lelaki. Namun, mereka sentiasa mencari wanita yang menarik di mata mereka untuk di jadikan pasangan.

Lelaki ingin cari wanita yang cantik di mata mereka
Lelaki sentiasa mahukan wanita cantik dalam hidup mereka. Namun, cantik juga adalah perkara yang subjektif dan berbeza pendapatnya bagi setiap lelaki. Jika ada lelaki memilih anda jadi temannya, percayalah anda adalah wanita tercantik di mata dia.

Lelaki ingin cari wanita yang setia
Lelaki sentiasa berimpikan memiliki seorang wanita yang setia. Bagi mereka, wanita setia adalah aset paling berharga kerana wanita itu akan berada di samping mereka ketika susah dan senang.

Lelaki ingin cari wanita yang yakin pada dirinya
Lelaki akan memilih wanita yang paling percaya pada dirinya. Bagi seorang lelaki, kepercayaan dan keyakinan dari wanita yang mencintainya adalah penting. Bagi mereka, wanita yang yakin pada diri mereka akan membuatkan mereka lebih semangat.

Lelaki suka wanita yang berfikiran terbuka
Sekarang adalah zaman moden dan berfikiran terbuka antara kriteria yang di cari oleh lelaki zaman sekarang. Bagi mereka, wanita yang berfikiran terbuka lebih senang untuk di jaga dan di belai.

Info : ohlepak.com

Wednesday, November 16, 2011

Dibuang Orang Tersayang

DALAM kehidupan ini tidak selamanya kita disayangi. Ada masanya kita perlu menerima hakikat bahawa kita 'dibuang' oleh orang yang kita sayang.

Perkara ini terjadi pada hampir semua orang dan bagi sesetengah orang menerimanya sebagai perasaan paling sedih pernah dialami seumur hidup.

Kehilangan seseorang yang dicintai meninggalkan kesan mendalam pada diri. Ia ibarat satu beban yang dipikul di dada dan jika tidak dilepaskan pasti mendatangkan kesakitan yang amat dalam.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang telah dibuang oleh pasangan terus meletakkan diri dalam kesedihan dan berharap pasangan mereka akan kembali dan kehidupan akan menjadi normal.

Lazimnya, golongan yang patah hati ini begitu yakin bahawa tiada siapa pun yang boleh menggantikan tempat pasangan yang meninggalkan mereka.

Ini pendapat yang amat mengarut, kerana kesedihan itu telah mempengaruhi fikiran untuk tidak memikirkan perkara-perkara positif.

Waktu itu antara yang bermain di fikiran mereka ialah, "hidup saya sudah berakhir", "saya tidak akan boleh cari penggantinya" dan "tidak akan ada sesiapa pun yang akan menyayangi saya lagi."

Sebenarnya, adalah suatu yang tidak betul jika anda mengatakan bahawa kehidupan romantik anda telah berakhir sekiranya berlaku perkara ini kepada anda dan hanya akan menambah kesedihan anda sendiri justeru,tip pertama, menerima keadaan itu seadanya.

Jadi bagaimana anda boleh membuang kesedihan yang melanda? Bagaimana untuk anda memulakan hidup baru? Bagaimana untuk anda meletakkan status 'solo' itu sebagai satu peluang baru dan bukannya sebagai hukuman?

Jadi apa yang anda perlu buat ialah dengan menerima keadaan baru itu sebaiknya.

Katakan pada diri anda bahawa pasangan anda itu sudah pergi dan tidak akan kembali lagi. Memang ini satu proses yang amat menyakitkan namun tanamkan dalam diri bahawa anda akan sembuh jua akhirnya.

Seterusnya apa yang anda boleh lakukan ialah bersembang dengan rakan-rakan anda tentang bekas pasangan anda.

Katalah apa sahaja tentang si dia pada kawan anda hingga anda tiada apa lagi hendak diperkatakan tentang dirinya.

Lama kelamaan anda akan sedar bahawa anda semakin boleh menerima kenyataan anda ditinggalkan kerana anda semakin bosan bercakap mengenainya.

Memang tidak dapat dinafikan bercakap lebih baik daripada memendam rasa. Bila kita meluahkan kepedihan hati yang dilalui kita akan sedar bahawa kita akan mendapat kekuatan sekali gus memulih kembali perasaan kita sendiri.

Dalam pada itu anda haruslah tidak mengabaikan keperluan diri. Pastikan anda ada rakan yang boleh menemani menikmati makanan yang sedap di restoran yang tenang, boleh ke spa, mencuba urutan aroma terapi untuk merehatkan minda dan diri.

Cara lain boleh juga mencuba senaman kerana ini boleh menaikkan mood kita. Senaman membantu merembeskan hormon endorfin ke otak dan juga menghantar mesej penting ke otak bahawa kita menjaga dan menyayangi tubuh ini.
Tapi situasi di atas memang boleh diaplikasi kepada wanita yang kecewa, bagaimana pula dengan lelaki yang ditinggalkan?

Golongan lelaki jarang mahu meluahkan kesedihan yang mereka alami, bila mereka dilanda kesedihan, pasti makin sakit dibuatnya.

Ada lelaki yang memilih rokok dan alkohol untuk melupakan kesedihan itu, pada hal ia salah sama sekali kerana tindakan itu hanya akan mendatangkan kemudaratan pada tubuh dan minda.

Rasa 'dibuang' memanglah amat teruk dan anda tidak mampu mengelaknya. Namun kehidupan adalah satu anugerah dan ia akan menjadi semakin baik, percayalah.
 
Susunan : Noor Fazrina Kamal

Tuesday, November 15, 2011

Mengapa Kedai Rakyat Diserang?

SAYA menonton sidang akhbar dan kenyataan angkuh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam portal berita propembangkang berhubung dakwaan kononnya produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak berkualiti dan yang lebih ekstrem, mereka juga mendakwa bahawa barangan tersebut turut dicemari virus e-coli. Kononnya, kajian ke atas produk berkenaan juga telah dilakukan oleh pakar-pakar berkaitan di makmal yang masih dirahsiakan.

Saya bukanlah orang politik tetapi usahawan yang bergelumang dengan strategi pesaing.

Seperti mana kita sedia maklum, KR1M adalah antara inisiatif transformasi ekonomi bagi mengurangkan beban rakyat dalam menangani kenaikan harga barang keperluan harian. Lebih menarik, KR1M diterajui oleh usahawan berwibawa iaitu Datuk Ameer Ali Mydin.

Jika sebelum ini, kita hanya mengenali rangkaian pasar raya besar Barat, kini sebut sahaja pasar raya Mydin semua mengenalinya. Banyak rangkaiannya juga mengatasi jenama-jenama besar lain.

Lebih membanggakan apabila kita dapat melihat bagaimana produk tempatan khususnya keluaran bumiputera turut dipamerkan secara serius. Tidak seperti sesetengah pasar raya besar lain yang kadangkala jenama bumiputera jauh tersorok.

Lebih menyedihkan, para pengusaha bumiputera ini turut ditekan apabila kadangkala hanya menerima bayaran selepas 90 hari.

Dalam isu KR1M, saya bimbang wujudnya strategi terancang untuk melemahkan keupayaan ekonomi peruncitan bumiputera.

Kehadiran KR1M sebenarnya tidak disenangi oleh usahawan peruncitan lain yang menawarkan harga murah, kononnya jauh lebih murah daripada apa yang kedai lain tawarkan.

Jika benar Tony Pua yang bersekongkol dengan Nurul Izzah serta beberapa pemimpin Pas sedang giat menghasut rakyat membenci KR1M, kenapa banyak lagi pasar raya dan kedai runcit lain yang tidak menjadi sasaran?

Maaf cakap, sesetengah kedai runcit bukan sahaja diragui kualiti barangannya, malah kadangkala barangan halal dan haram yang tidak diasingkan pun berlambak.

Inilah masalahnya pemimpin Melayu dan Islam pada hari ini yang menghalalkan cara untuk berkuasa. Semua dilakukan semata-mata kerana dendam politik hingga lupa daratan dan agama.

Kelemahan umat Melayu dan Islam sudah diperkudakan. Ekonomi bakal dilumpuhkan dan pasti akan terus lenyap apabila mereka berkuasa.

Kepada umat Melayu Islam, janganlah kita juga tertipu dengan helah halus golongan yang antikemajuan ekonomi umat Islam ini.

Percayalah, jika kita juga terpengaruh untuk mempercayai dan bersama mereka, azab Allah akan tiba pada bila-bila masa dan padahnya akan terkena kepada kita semua kerana sikap tidak endah kita kepada kebenaran mengikut panduan Ilahi.

Dalam isu KR1M yang antara puncak hasutan melampau yang turut disertai bangsa kita sendiri ini, marilah kita bermunajat kepada Allah agar diberi keadilan di dunia dan akhirat kerana Allah Maha Mengetahui kebenaran dan kebatilan yang wujud antara kita.

Justeru, dalam politik Malaysia hari ini, orang Melayu harus sedar gerak strategi halus yang akan merugikan kita untuk beratus tahun akan datang jika kita tertipu sekarang!

Oleh : Nordin Abdul Malek
Pengerusi Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera

Sunday, November 13, 2011

Padan Muka Kita

Seorang artis Melayu telah bergambar separuh bogel dalam sebuah majalah antarabangsa versi Indonesia. Tapi Siti langsung tak terkejut. Kalau dia tak buat begitu, barulah Siti terkejut.

Sebenarnya artis Melayu yang perangai begini bukan dia seorang saja. Banyak lagi. Mungkin mereka juga akan menyusul beraksi separuh bogel untuk majalah luar negara. Mereka nak jadi pelakon tapi berlakon macam kayu. Maka harapkan sensasi sajalah untuk hidup.

Artis beginilah yang mengotorkan dunia nyanyian dan lakonan. Siti tak nak suruh artis seorang ini minta maaf. Kalau dia nak bogel teruskanlah hingga jadi penghias muka depan Playboy. Sebab ada pihak liberal di negara ini yang berbangga kerana itu pencapaian antarabangsa.

Kalau dulu artis yang tak bermaruah seperti ini ketar lutut kerana dia akan kena gam. Tak boleh muncul di televisyen. Tok Mat (Allahyarham Mohamed Rahmat bekas Menteri Penerangan) cukup tegas. Tapi sekarang artis peduli apa. Kalau tak percaya tengoklah, nanti dia jadi rebutan stesen televisyen. Sepatutnya artis beginilah yang pertama sekali kena tendang keluar dari dunia selebriti.

Bagi Siti, ini adalah penanda aras kegagalan dasar-dasar moral kita. Kita ada jabatan mengenai hal ehwal agama Islam, kita ada mufti. Tapi bila mereka menegur, kita hentam mereka. Kita labelkan mereka sebagai kolot dan kita julang para perosak moral. Artis Melayu separuh bogel inilah balasannya kepada kita. Padan muka kita.  -Siti Jarum : He...he...he...

Ada lagi.....Aksi Zarina Panaskan Indonesia

Hilang Budi Bahasa Ketika Di Jalan Raya

SEPERTI bertempur di medan perang. Itu adalah antara tanggapan yang diberikan tatkala diutarakan pandangan mengenai tahap budi bahasa dI kalangan pengendali kenderaan negara ini.

Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk "selamat" sampai ke destinasi.

Bunyi, seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan.

Malah, dipetik dalam satu laporan berita sebelum ini iaitu sebanyak 43,678 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Januari hingga September tahun ini (berdasarkan rekod polis) berbanding 40,154 kes pada tempoh yang sama 2010.

Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan "mengapa" dan "apakah" sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah "pentingkan diri" yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain.

Benarkah begitu? Sekiranya "ya", ini sedikit sebanyak merujuk kepada "tahap budi bahasa" mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka "samseng jalanan"?

                                                       Personaliti berbeza
"Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di atas jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan.

"Golongan satu lagi, adalah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah, tetapi apabila masuk sahaja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya," kata Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman.

Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya itu ketika ditemui Bernama berkata majoriti yang menjadi "kurang ajar" ketika di jalan raya adalah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus.

Tidak menafikan golongan pertama (samseng jalanan) juga agak "biadap". Namun mereka merangkumi skop segelintir sahaja.

Dengan menjelaskan senario "kurang ajar" seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan "senario tidak berbudi bahasa" di jalan raya.

Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai "kurang ajar".

"Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya?

"Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar," katanya.

Kesesakan, tekanan ubah personaliti
Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan.

Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya.

Akan tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif?

"Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar adalah disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini.

"Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya," katanya.

Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu.

Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya.

"Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan.

"Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya)," katanya.

Undang bahaya
Bagi Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, sebarang perbuatan yang menambah risiko boleh dianggap sebagai tidak berbudi bahasa.

Katanya, apabila kelakuan seseorang pengendali kenderaan itu sudah sampai ke tahap menyakitkan hati orang lain, pasti ia sudah pun melampaui tahap risiko yang akan hanya meningkatkan kebarangkalian nahas jalan raya.

"Kita perlu berhati-hati dalam membuat andaian bahawa semua pemandu dan pengendali motosikal itu tidak berhemah. Bagaimanapun, mengikut statistik memang terdapat peningkatan risiko dalam perjalanan yang diakibatkan oleh pengendali kenderaan.

"Untuk mengekalkan pemanduan berbudi bahasa ini, dua perkara amat kritikal, persekitaran pemanduan yang majoritinya berhemah dan penguatkuasaan yang wujud secara berterusan dan berkesan," katanya.

Mengulas mengenai tekanan seperti mengejar masa, beliau berkata ini akan mengakibatkan pemandu mengabaikan keselamatan mereka dan dilihat sebagai pemanduan tidak berbudi bahasa.

"Sebenarnya, kita tidak boleh memberi alasan bahawa kita terlewat. Kita sebenarnya tidak pandai mengurus masa dan sering keluar lewat. Disiplin diri yang akan menghasilkan pemandu yang lebih berhemah, dan itulah yang diperlukan negara," katanya.

— Bernama

Friday, November 11, 2011

Benarkah Dia Lelaki Tepat Untuk Anda?

KINI, semakin ramai wanita terjebak dalam perceraian. Namun, tentu keliru bila anda berfikir tidak ada lelaki yang tepat untuk anda.

Setelah putus cinta atau bercerai dari pasangan terdahulu, sukar bagi seorang wanita untuk mencari lelaki lain. Bahkan, lebih sukar untuk mengetahui sama ada lelaki tersebut benar-benar mempunyai niat tulus untuk mengikat komitmen.

Tidak ada orang yang sempurna, tetapi ada tanda-tanda tertentu yang boleh membantu anda membuat keputusan. Walaupun hubungan cinta didorong oleh emosi, kawalan logik juga akan membantu anda menilai jika seorang lelaki sesuai bagi anda.

Ini tujuh tanda untuk memastikan dia merupakan lelaki yang sesuai bagi anda……

1. Adakah anda berdua mempunyai nilai tentang kehidupan yang sama? Nilai-nilai tersebut akan menentukan bagaimana hidup anda selama bersamanya. Walaupun tidak perlu bersetuju dengan nilai si dia, keselarasan dalam keyakinan akan menjadikan kehidupan anda berjalan lebih mudah.

2. Bagaimana dia menangani perselisihan? Setiap pasangan akan mempunyai konflik. Terpenting adalah bagaimana dia menguruskan konflik tersebut. Apakah dia cenderung berusaha menangani atau justeru mematikan masalah yang ada?Sebuah hubungan yang baik memerlukan perasaan bahawa masing-masing merasa didengar dan keinginannya dihargai.

3. Bagaimana sikapnya terhadap orang lain? Anda boleh menilai keperibadiannya melalui sikap yang dia tunjukkan kepada orang lain. Apakah dia menghormati, bukan arogan atau menghakimi? Bahkan, lebih bermakna adalah caranya melayan orang-orang penting seperti ibu atau saudara. Keperibadiannya yang baik akan tercermin dalam kedekatannya dengan mereka.

4. Bagaimana dia melayan anda di depan orang lain? Apakah sikapnya kontradiktif ketika melayan anda selama kencan berbanding ketika kumpul bersama teman-temannya.

5. Apa prinsipnya soal "my time"? Anda harus memastikan bahawa dia memberikan privasi untuk hidup anda meski telah bersama. Anda tidak perlu menghabiskan setiap saat bersama-sama, dan tentu anda ingin merasa dihargai ketika menghabiskan masa untuk diri sendiri.

6. Apakah dia menghormati pendapat, sudut pandang, dan perasaan anda? Walaupun dia tidak selalu bersetuju dengan anda, sikap mendengar dan menghormati harus dia miliki.

7. Apakah dia bertanggung jawab? Apakah dia mampu menguruskan masalah wang dalam cara yang masuk akal? Apakah dia mendengar cadangan anda?

Bermuhasabahlah juga kepada diri anda……Anonymous                 

Thursday, November 10, 2011

Hudud: Sandiwara Pakatan Rakyat Berterusan….

Semalam ketika berdialog dengan lebih 200 pemimpin masyarakat Cina di Subang Jaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dijangka, sekali lagi memberi jaminan hudud bukan sebahagian daripada konsensus atau dasar Pakatan Rakyat.

Jawapan itu adalah lebih kurang sama dengan apa yang dinyatakan Anwar bulan lalu selepas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri Kelantan tetap bertekad melaksanakan hudud kerana ia dituntut oleh Islam.

Malah kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz kini menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti sama ada hudud boleh dilaksanakan tanpa meminda perlembagaan negara sekaligus mencemaskan DAP, parti komponennya dalam Pakatan Rakyat.

Pada bulan lalu juga, Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau secara peribadi, menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Semalam, di depan pemimpin Cina pada majlis dialog di Subang Jaya itu, Anwar memilih untuk berdiam diri, dengan alasan media arus perdana akan memutarbelitkan jawapannya.

"Apabila orang bertanya pendirian peribadi saya sebagai seorang Muslim, ini adalah satu soalan 'tricky'. Jika anda menjawab 'tidak', maka anda mati. Tetapi jika anda menjawab 'ya', maka tajuk berita New Straits Times esok akan menjadi 'Anwar sokong undang-undang hudud," beliau dipetik berkata oleh Malaysiakini.

Apapun, jelas persoalan hudud tetap menjadi isu yang amat meresahkan masyarakat Cina dan penjelasan Anwar semalam tidak meredakan keresahan itu.

Malah jawapan Anwar yang berdolak dalih, bergantung kepada kaum mana yang berdialog dengan beliau, hanya mengusutkan keadaan dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai konsep permuafakatan Pakatan Rakyat.

Gugurkan agenda
Tidak keterlaluan merumuskan bahawa wujud segmen pengundi bukan Melayu yang tidak keberatan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dengan syarat gabungan pembangkang itu, khususnya Anwar, lebih tulus dan ikhlas bersabit isu hudud.

Jika mengikut Anwar, pelaksanaan hudud bukan dalam persetujuan bersama PAS, PKR dan DAP, maka kenapa PAS enggan bersetuju untuk menggugurkan agenda hududnya sekalipun Pakatan menawan Putrajaya?

Jika PAS menghormati apa yang dipersetujui dalam dasar Pakatan itu, seperti yang diuar-uarkan oleh DAP dan Anwar, kenapa parti itu begitu agresif dalam pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, sehingga mencari ruang untuk melaksanakannya tanpa pindaan perlembagaan?

Fakta ini juga perlu diambil kira - walaupun Anwar menyatakan sokongan peribadi kepada hukum hudud apabila berdepan dengan masyarakat Islam, beliau tidak menyatakan secara rasmi sama ada PKR menolak atau menerima cadangan PAS.

Buat masa ini, PKR rasa selamat dengan berselindung di sebalik alasan hudud tiada dalam Buku Jingga atas dasar bersama Pakatan.

Persoalan yang berlegar di minda pengundi bukan Islam ialah, apa akan berlaku jika PAS menubuhkan kerajaan di beberapa negeri selepas PRU ke -13 dan mahu menegakkan undang-undang Islam?

Jadi minoriti
Apakah yang akan dilakukan oleh DAP dan PKR ketika itu, khususnya jika mereka menjadi minoriti dalam jumlah kerusi yang dimenangi?

Segala persoalan ini akan terungkai dengan mudah jika PAS dan PKR memberi penjelasan yang tuntas dan jelas serta meyakinkan mengenai pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.

Hanya DAP yang bingkas menyatakan pendiriannya secara jelas - bahawa ia menentang hukum hudud dalam apa bentuk sekali pun.

Namun suara tunggal itu tidak bermakna jika ia tidak didokong atau disahut oleh PAS dan PKR.

Sebaliknya perbedaan pendapat yang disalut dengan agenda politik kepartian masing-masing hanya menyerlahkan Pakatan sebagai satu permuafakatan yang rapuh dan bersifat sementara.

Seolah-olah ia hanya sebuah kerjasama politik untuk memenangi pilihanraya tetapi bukan sebuah wadah yang mempunyai hala tuju jelas bersabit isu-isu kepentingan bersama rakyat.

Apabila pilihan raya umum makin hampir, Anwar sudah tentu akan meningkatkan siri ceramah di kalangan bukan Islam dan Islam. Biarlah mesej yang dibawa oleh beliau khususnya bersabit hukum hudud adalah sama dan senada tanpa mengira latar belakang hadirin.

Hanya sifat ikhlas sebegitu akan menyumbang kepada kredibiliti Pakatan di mata pengundi.

http://www.malaysiakini.com

Tuesday, November 8, 2011

Menatap Wajah Yang Tersayang Ketika Tidur

Pernahkah anda menatap orang-orang yang anda sayang saat mereka sedang tidur? Kalau belum, cubalah sekali saja menatap mereka saat sedang tidur. Saat itu yang tampak adalah ekspresi paling wajar dan paling jujur dari seseorang.

Seorang artis yang ketika di panggung begitu cantik dan gemerlap pun akan tampak polos dan jauh berbeza jika ia sedang tidur. Orang paling kejam di dunia pun jika ia sudah tidur tak akan tampak wajah bengisnya.

Perhatikanlah ayah anda saat beliau sedang tidur. Sedarilah, betapa badan yang dulu kuat dan gagah itu kini semakin tua dan lemah, betapa rambut-rambut putih mulai menghiasi kepalanya, betapa kerut merut mulai terpahat di wajahnya. Orang inilah yang tiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya. Orang inilah, rela melakukan apa saja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, beralihlah. ...Lihatlah ibu anda.... Hmm...kulitnya mulai keriput dan tangan yang dulu halus membelai- belai tubuh bayi kita itu kini kasar kerana menempuhi kehidupan yang mencabar demi kita. Orang inilah yang tiap hari menguruskan keperluan kita. Orang inilah yang paling rajin mengingatkan dan membebeli kita semata- mata kerana rasa kasih dan sayang, dan sayangnya, itu sering kita salah ertikan.

Cubalah menatap wajah orang-orang yang kita cintai..sayangi itu...Ayah, Ibu, Suami, Isteri, Kakak, Adik, Anak, Sahabat, Semuanya...

Rasakanlah sensasi yang timbul sesudahnya. Rasakanlah energi cinta yang mengalir perlahan-lahan saat menatap wajah mereka yang terlelap itu..Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan orang-orang itu untuk kebahagiaan anda. Pengorbanan yang kadang-kadang tertutupi oleh salah faham kecil yang entah kenapa selalu saja nampak besar.

Secara ajaib Tuhan mengatur agar pengorbanan itu akan tampak lagi melalui wajah-wajah jujur mereka saat sedang tidur. Pengorbanan yang kadang melelahkan serta memenatkan mereka namun enggan mereka ungkapkan. Dan ekspresi wajah ketika tidur pun membantu untuk mengungkap segalanya. Tanpa kata, tanpa suara dia berkata... "betapa lelahnya..penatnya aku hari ini". Dan penyebab lelah dan penat itu? Untuk siapa dia berpenat lelah Tak lain adalah kita....Suami yang bekerja keras mencari nafkah, isteri yang bekerja keras mengurus dan mendidik anak, juga rumah. Kakak, adik, anak, dan sahabat yang telah menemani hari-hari suka dan duka bersama kita.

Resapilah kenangan-kenangan manis dan pahit yang pernah terjadi dengan menatap wajah-wajah mereka. Rasakanlah betapa kebahagiaan dan rasa terharu seketika menerpa jika mengingat itu semua. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok mereka "orang-orang terkasih itu" tak lagi membuka matanya, untuk selamanya ... "

MalaysiaRia

Saturday, November 5, 2011

Cerpen...Jangan Menangis Lagi

Aku melihat kau menangis pagi Aidil-adha yang lalu. Pagi itu kudus, kata kau. Sesuai benar dengan dengan suasana Aidiladha. Kau bertakbir penuh kekhusukan sehingga dibungkus rasa syahdu dan kudus. Lantas air mata kau mengalir menuruni pipi. Kemudian kau teresak-esak menahan kesayuan yang mencengkam di hati.

Apa yang menyebabkan kau menangis? Kerana takbir itu dilaungkan dalam nada mendayu, melenggang-lenggok. Jiwa kau sesuai dengan nada ini kerana persekitaran kau pun turut memberi warna; maka itu jiwa kau dibuai rasa sayu. Itulah takbir Aidiladha yang mengharukan, kata kau lagi.

Aku melihat keharuan itu pada wajah kau. Tetapi kau sebenarnya silap, seribu kali silap. Takbir itu bukan rakbir mendayu, melankolik, nada menghiris hati atau seumpamanya. Takbir yang dilaungkan sejak lebih 1400 tahun itu pada hakikatnya adalah takbir perang. Takbir membakar semangat. Takbir mencambah benih perjuangan. Bukan sendu duka lara yang membikin kita menangis keharuan. Bukan!

Kunci semangat, kunci benih perjuangan dalam takbir itu ialah pada ungkapan: Wahazamal Ahza bawahdah…dan(Allah) menghancurkan musuhnya (tentera bersekutu) sendirian. Perkataan Ahzab merujuk kepada peperangan al-Ahzab yang berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 Hijrah (627M).

Al-Ahzab ertinya golongan bersekutu iaitu kaum Yahudi Bani Nadir, ahli Kitab dan kaum musyrikin Quraisy Makkah, Bani Ghatfan, Bani Asad, Bani Salim dan Bani Asjad bersatu untuk menghancurkan Islam Madinah. Orang kafir itu bersatu walaupun mereka, budaya mereka dan bahasa mereka berbeza tetapi mereka sanggup bersekongkol dengan satu tujuan untuk menghancurkan Islam dan membunuh Rasulullah saw.

Persiapan orang kafir sangat lengkap dengan kuda dan unta serta senjata yang banyak. Jumlah tenteranya 10,000 orang dianggotai enam puak, mud-muda dan tegap-tegap belaka. Mereka bergerak ke Madinh bertujuan menghancurkan Islam untuk selama-lamanya.

Berita kedatangan angkatan perang musuh ini sampai kepada Rasulullah. Baginda mengumpulkan sahabat berbincang untuk menentukan strategi dan taktik menghadapi musuh. Orang Islam dikumpulkan, lalu jumlahnya diketahui seramai 3,000 orang yang terdiri daripada orang tua, perempuan, kanak-kanak, bayi dan remaja.

Keputusan dibuat untuk bertahan di dalam Bandar Madinah. Seorang sahabat bernama Salman al-Farisi mencadangkan agar dibina parit sekeliling kota Madinah dan cadangan ini dipersetujui Rasulullah. Sempena parit inilah, peperangan ini dinamakan peperangan parit – al-Khandak kalau kau membaca Hikayat Perang Khandak, kau akan terasa betapa hebatnya peperangan ini.

Orang Islam pun mulalah menggali parit. Walaupun ketika iti musim sejuk, kering kontang dan tanah pun sangat keras macam batu malah makanan juga sedikit. Tetapi kerja mesti diteruskan dan Rasulullah sendiri turut sama menggali.

Dan kau mencelah dengan mengatakan bahawa ada dua peristiwa mukjizat Rasulullah berlaku ketika ini. Aku fakir kau ingatkan? Pertama, peristiwa makanan yang sedikit menjadi banyak untuk dimakan oleh beratus orang penggali parit yang kelaparan. Kedua, peristiwa Rasulullah memukul batu besar lalu memancar gambaran empayar Islam yang akan meliputi sehingga Rom, Farsi dan Yaman. Akhirnya parit pun siap sepanjang lebih kurang 7 Km melingkungi Madinah. Dalamnya setinggi paras manusia berdiri dan lebar nya kira-kira tidak dapat dilompati kuda. Apabila kaum kafir sampai, mereka terkejut melihat parit menghalang mereka. Sungguh asing dan aneh pertahanan ini bagi mereka kerana itu mereka jadi buntu. Ini satu pesona yang luar biasa, kata mereka lantas semangat mereka merudum sehingga 50 peratus.

Sebaliknya orang Islam juga terkejut dan amat gentar melihat askar kafir yang ramai dan bersenjata lengkap itu. Diseberang parit itu penuh dengan khemah musuh yang mengepung keliling mereka.

Allah merakamkan perasaan orang Islam ini dalam ayat 10 dan 11 Surah al-Ahzab yang bermaksud: Ketika mereka(yakni tentera kafir) datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu dan tiada tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai kekerongkongmu dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan(hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat.

Kau dan aku dapat membayangkan betapa hebatnya goncangan hati orang mukmin ketika itu diuji oleh Allah. Sehingga digambarkan hati mereka tersembul keluar melalui kerongkong. Mereka berprasangka kepada Allah swt.

Salah saeorang panglima kafir ini, Nuaim Mas’ud menyusup pada waktu malam melalui parit menyeberang ke Madinah. Dia ditawan dan dibawa kepada Rasulullah. Panglima ini menyatakan kekaguman akan pertahanan orang Islam dan hasratnya hendak memeluk agama Islam. Rasulullah mengislamkannya dan melepaskannya kembali kepada kaumnya untuk suatu siasah perang.

Nuaim Mas’ud mengacum puak Yahudi, Munafik dan Musyrikin Makkah sehingga mereka saling curiga-mencurigai, buruk sangka dan tidak percaya-mempercayai. Pada suatu malam Allah menurunkan hujan ribut yang mengkucar-kacirkan kaum kafir ini. Firman Allah dalam surah yang sama ayat ke-9 yang maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah(yang telah dikurniakan) kepadamu, ketika dating kepadamu tentera-tentera lalu kami kirimkan kepada mereka angina taufan dan tentera yang tidak kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Kawan, pada malam itu semua tentera kafir pulang ke tempat masing-masing. Esoknya orang Islam bagaikan tidak percaya pada penglihatan mereka yang di seberang parit itu telah lengang, lapang dan sunyi. Pada hal selama sebulan sebelum ini di situ penuh dengan ribuan khemah, kuda, unta dan kelengkapan perang yang hebat. Lalu orang Islam bertakbir dengan penuh semangat seperti yang kita takbirkan pada setiap kali menyambut dua hari raya itu.

Inilah dia takbir perang itu, takbir membakar semangat dan kesyukuran, bukan takbir untuk menangis sayu. Tanamkan semangat perjuangan untuk Islam dalam dada sempena setiap tahun kita melaungkannya. Sehingga semangat itu menjadi agenda kehidupan kita. Bukannya takbir mendayu dibawa angina lalu tanpa meninggalkan apa-apa makna dan kesan dihati kita.

Di samping itu kau harus ingat bahawa al-Ahzab tidak terhenti setakat tahun ke-5 Hijrah. Ia berterusan sehingga kini, selagi takbir itu diucapkan oleh umat Islam tahun demi tahun. Hamper setiap dekad berlaku peperangan al-Ahzab. Silih berganti samada orang Islam kalah atau menang.

Kau menyampuk dengan mengatakan ambilah iktibar daripada peristiwa bersejarah dan ucapan takbir itu dan aku menyokong pendapat kau itu.

Pada 80-an misalnya Negara blok komunis memerangi Islam di Afganistan, selama satu dekat lamanya orang Islam bertahan dan akhirnya menang. Awal 199-an Amerika dengan sekutunya menyerang Iraq, dan melakukan pemboikotan terhadap Negara itu. Ramai umat Islam yang tidak berdosa mati dan Iraq kalah.

Kaum Yahudi dengan sokongan Amerika Syarikat bersekutu dengan kaum secular di Turki menghancurkan gerakan Islam di sana. Pemimpin Islam yang bernama Erbakan dibicarakan dimahkamah bukan kerana jenayah, rasuah atau kesalahan yang lain tetapi kerana membuka sekolah Islam, tadika Islam, mendirikan masjid dan menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran semasa beliau menjadi Perdan Menteri. Sekarang partinya diharamkan, dia dilarang bergerak dalam politik.

Kau pula menambah dengan peritiwa yang berlaku di Algeria. Pembunuhan berlaku berleluasa terutama dalam suatu bulan Ramadan satu dekat lalu, di kampung-kampung yan dikuasai oleh pembangkang. Pembangkang ketika itu parti Islam FIS yang dituduh oleh pemerintah tentera sebagai golongan pelampau.yang melakukan pembunuhan itu. Pada hakikatnya pembunuhan itu dilakukan oleh tentera Algeri sendiri. Ini dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri Algeria yang kini berada dalam buangan di Eropah. Tentera Algeria menerima bantuan maklumat perisikan dan bantuan ketenteraan yang lain dari Perancis. Perancis tidak mahu Algeria dikuasai Islam kerana kepentingan minyak dan gas yang dibolotnya di utara Afrika itu, yang nilainya berpulu billion ringgit setahun.

Sejak 1948 hingga kini Yahudi senantiasa memburu dan membunuh orang Palestin yang dianggapnya sebagai bangsa Amalek yang mesti dihapuskan. Rumah dirobohkan dan tanah dirampas. Bandar suci ketiga Islam – Baitulmakdis sedikit demi sedikit dicabuli Yahudi untuk tujuan memilikinya.

Sekarang, selepas peritiwa 9/11, umat Islam sekali lagi menghadapi al-Ahzab yang amat dahsyat. Atas nama memerangi pengganas ada umat Islam yang dibunuh, ditahan, dilokap, diseksa dan dipenjarakan. Negar Islam Afganistan hancur lebur oleh Amerika. Di mana-mana didunia ini dicurigai dan disyaki sebagai pengganas yang akan membunuh, lalu mereka diburu.

Intifada Palestin menentang Yahudi dianggap pengganas tetapi pembunuhan, pencerobohan Yahudi tidak pula dianggap demikian. Dalam al-Qur’an dinyatakan: Sesungguhnya kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik….

Zionis membunuh orang Palestin dengan kejam atas sokongan Amerika dan fanatic agama Kristian Barat. Inilah yang dikehendaki Padri Jerry Falwell dan Maureen Farrell lalu menggesa semua penganut Kristian bersembahyang mendoakan kemenangan Amerika dan Zionis itu. Pembunuhan orang Islam Palestin kononnya untuk laluan datangnya al-Maseh mereka.

Aku pernah mengatakan kepada kau dulu, bahawa Rasulullah pernah bersabda: Kamu akan berebutkan harta di Sungai Furat, sehingga sembilan puluh sembilan dari seratus orang akan mati…Awas! Amerika telah pun mempersiapkan bala tenteranya menyerang Iraq bagi mengaut hasil minyak. Satu lagi peperangan al-Ahzab akan berlaku disana keran Amerika disertai oleh beberapa negara Eropah dan Israel.

Dan kau pula mengatakan bahawa kononnya serangan ini bertujuan untul menghapuskan senjata ``pemusnah” yang dimiliki Iraq. Akan tetepi kau pun tahu bahawa Korea Utara juga memiliki senjata ``pemusnah” tetapi Amerika tidak pun bercadang menyerangnya.

Di benua kecil India pula pelampau Hindu membunuh lebih dua ribu orang Islam di Gujerat atas alas an sengketa agama dan merobohkan masjid Babri. Penganut Islam sentiasa hidup dalam ketakutan kerana nyawa dan harta benda mereka tidak dilindungi oleh sesiapa pun.

Peperangan ini bertepatan seperti sabda Rasulullah: pada akhir zaman nanti akan berlaku peperangan demi peperangan demi peperangan….

Maka dapatkah kita membantu saudara Islam kita itu? Jawapannya tidak kecuali doa, kerana kita tidak punya apa-apa untuk menentang Amerika, Zionis dan sekutunya yang gagah perkasa itu. Maka itu janganlah semangat pun turut hapus dan lenyap dengan kekalahan dan kehancuran umat Islam itu.

Aku sarankan kepada kau supaya melihat ke dalam negara kita sendiri. Adakah kemungkinan akan berlaku al-Ahzab terhadap kita? Jawapannya ya, sekiranya kita membuka pintu atau ruang untuk kedatangan al-Ahzab itu.

Apakah pintu dan ruang yang terbuka itu? Aku tegaskan kepada kau: perpecahan! Kalau kita berpecah, itulah pintunya yang terbuka, mengundang padah – lambat laun. Bersatu! Ertinya kita menutup pintu dan dan kita akan selamat didalamnya. Semua tahu perumpamaan lidi, jika sebatang senang dipatahkan. Aku takmahu berpanjang dalam hal ini kerana kau orang yang cerdik.

Sekali lagi kau menyampuk hendak memberikan sedikit maklumat tentang perpecahan Kerajaan Abasiah yang menyebabkan kerajaan itu runtuh. Kata kau salah satu aspek perpecahan umat ketika itu ialah di kalangan pengikut mazhab. Golongan Syiah, Khawarij, Muktazilah dan ahli sunnah sering bersengketa antara satu sama lain. Keadaan ini diburukan lagi oleh dasar diskriminasi Khalifah sendiri.Begitu juga perpecahan di kalangan pemerintahan Umaiyah. Bukan sahaja keluarga khalifah yang berpecah, bahkan rakyat juga berpuak megikut golongan dan puak tertentu seperti Abasiah, Syiah, Arab Madherites dan Arab Yeminites. Senang cakap: Perpecahan mengakibatkan kehancuran bangsa dan Negara.

Awas! Kataku, kaum Yahudilah yang mempelopori al-Ahzab yang pertama, dan kaum inilah juga yang akan mempelopori al-Ahzab seterusnya. Mereka akan disokong kaum fanatik Kristian. Matlamat mereka melancarkan peperangan Armagedon terhadap umat Islam.

Takbir Aidilfitri selalunya dikumandangkan dengan latar budaya Melayu: Berbaju baru, ketupat lemang, kuih-muih, makan-makan dan balik kampong. Sedikit pun tidak termasuk agenda renungan terhadap perjuangan Islam, membantu sesame Islam yang tertindas. Nasib baik mercun diharamkan, jika tidak akan hiruk-pikuk macam menyambut Tahun Baru Cina juga.

Takbir Aidiladha pula dilaungkan berlatarkan korban sembelihan tetapi ``semangat korban’’ tidak berbekas di hati. Lantas tiada apa-apa tindakan yang dilakukan untuk membuktikan umat Islam itu berani dan sanggup berkorban apa sahaja.

Maka itu takbir Aidiladha yang akan datang jangan menangis lagi. Laungkan takbir dengan semangat perjuangan yang membara. Jangan mendayu-dayu lagi tetapi bertakbir dengan tegas, tepat dan berkobar-kobar dalam menyahut langkah pertama semangat dan nilai takbir itu sendiri.

Oleh : Mohd Ali Majod
          13julai2003