Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk "selamat" sampai ke destinasi.
Bunyi, seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan.
Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan "mengapa" dan "apakah" sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah "pentingkan diri" yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain.
Benarkah begitu? Sekiranya "ya", ini sedikit sebanyak merujuk kepada "tahap budi bahasa" mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka "samseng jalanan"?
Personaliti berbeza
"Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di atas jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan.
"Golongan satu lagi, adalah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah, tetapi apabila masuk sahaja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya," kata Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman.
Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya itu ketika ditemui Bernama berkata majoriti yang menjadi "kurang ajar" ketika di jalan raya adalah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus.
Tidak menafikan golongan pertama (samseng jalanan) juga agak "biadap". Namun mereka merangkumi skop segelintir sahaja.
Dengan menjelaskan senario "kurang ajar" seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan "senario tidak berbudi bahasa" di jalan raya.
Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai "kurang ajar".
"Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya?
"Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar," katanya.
Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan.
Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya.
Akan tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif?
"Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar adalah disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini.
"Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya," katanya.
Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu.
Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya.
"Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan.
"Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya)," katanya.
Bagi Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, sebarang perbuatan yang menambah risiko boleh dianggap sebagai tidak berbudi bahasa.
Katanya, apabila kelakuan seseorang pengendali kenderaan itu sudah sampai ke tahap menyakitkan hati orang lain, pasti ia sudah pun melampaui tahap risiko yang akan hanya meningkatkan kebarangkalian nahas jalan raya.
"Kita perlu berhati-hati dalam membuat andaian bahawa semua pemandu dan pengendali motosikal itu tidak berhemah. Bagaimanapun, mengikut statistik memang terdapat peningkatan risiko dalam perjalanan yang diakibatkan oleh pengendali kenderaan.
"Untuk mengekalkan pemanduan berbudi bahasa ini, dua perkara amat kritikal, persekitaran pemanduan yang majoritinya berhemah dan penguatkuasaan yang wujud secara berterusan dan berkesan," katanya.
Mengulas mengenai tekanan seperti mengejar masa, beliau berkata ini akan mengakibatkan pemandu mengabaikan keselamatan mereka dan dilihat sebagai pemanduan tidak berbudi bahasa.
"Sebenarnya, kita tidak boleh memberi alasan bahawa kita terlewat. Kita sebenarnya tidak pandai mengurus masa dan sering keluar lewat. Disiplin diri yang akan menghasilkan pemandu yang lebih berhemah, dan itulah yang diperlukan negara," katanya.
— Bernama
No comments:
Post a Comment