MAHASISWA mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing. Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.
Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.
Selain itu, kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa universiti masing-masing.
Pelbagai persoalan akan timbul apabila cadangan tentang mahasiswa perlu terlibat dengan parti-parti politik diutarakan. Jika mahasiswa menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut? Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti sebagaimana yang pernah dihadapi oleh sesetengah pemimpin terdahulu.
Mahasiswa juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut. Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.
Apakah jaminan politik kepartian tidak akan wujud di dalam kampus sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik kepartian? Apakah jaminan tiada ejen parti politik masuk ke dalam kampus untuk berkempen?
Perkara paling penting yang perlu diingatkan bahawa mahasiswa adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.
Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.
Pesanan saya kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka, biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibu bapa dan tanggunjawab kami kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bantuan subsidi yang diberikan.
Oleh -Wan Ahmad Hazman Wan DaudA
Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
No comments:
Post a Comment