Monday, November 21, 2011

Malaysia Hebat...!

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
BARU seminggu polis menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa di sebuah kilang di Kedah dan Pulau Pinang, lagi sindiket sama dibongkar.

Difahamkan, nilai rampasan terbaru di Puchong, kelmarin, juga sama seperti sebelumnya iaitu RM20 juta.

Hari yang sama, polis juga menahan 20 bookie judi warga Taiwan. Mereka berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi judi antarabangsa.

Wah, hebat Malaysia ini. Semua orang mahu jadikannya sebagai hab antarabangsa.

Sudah terlalu kerap pembongkaran ini dilakukan. Yang Awang mahu tanya ialah sudah berapa lama sindiket-sindiket itu beroperasi? Baru beroperasikah, atau sudah lama?

Jika baru beroperasi dan sudah digagalkan, baguslah, tapi macam mana kalau ia sudah beroperasi sejak bertahun-tahun.

Awang juga ingin bertanya mengapa terlalu longgar penguatkuasaan imigresen di negara ini? Apakah operasi polis itu dijalankan secara bersepadu dengan agensi-agensi lain?

Terlalu banyak persoalan yang timbul. Selain Awang mahu ucapkan tahniah kepada pihak polis di atas kejayaan itu, banyak soalan lain yang perlu dijawab juga.

Awang dan sudah tentu rakyat jelata bingung dengan fenomena ‘antarabangsa’ ini. Ia menggambarkan seolah-olah Malaysia sudah menjadi syurga penjenayah antarabangsa.

Di sinilah syurga pelacur, GRO dan tukang urut dari China, Thailand sehinggalah Asia Tengah. Di sinilah juga pusat perjudian Internet.

Di sini jugalah menjadi pusat PATI, pendatang asing tanpa izin dari serata pelosok dunia.

Awang berharap sesiapa yang tahu jawapan kepada persoalan ini silalah jawab.

Awang – Makan rezeki halal.

No comments:

Post a Comment