Monday, July 5, 2010
Tidak mustahil Melayu akan hilang kuasa
BAGAIMANA Melayu akan hilang kuasa? Bukankah negara ini kita yang punya serta kita ada pepatah yang mengatakan, ‘tak kan Melayu hilang di dunia’. Kita ada Perlembagaan serta raja-raja yang akan menjaga dan memelihara hak kita.
Itu semua memang benar tetapi sedarkah kita seandainya undi Melayu terus berpecah, semua yang di atas tidak bermakna lagi. Kita lihat sahaja apa yang berlaku di Perak sebelum ini. Kita ada raja dan Menteri Besar pula adalah Melayu, ia menepati Perlembagaan. Tetapi sedarkah kita, apakah Menteri Besar tersebut dapat menjaga hak-hak kita dengan baik. Siapa di belakang Menteri Besar tersebut. Kita masih boleh ada Menteri Besar Melayu tetapi bagaimana jika ia sekadar boneka sahaja. Menteri Besar yang tiada kuasa besar tidak akan dapat berbuat apa-apa. Yang nyata kita hilang kuasa dan Perlembagaan hanya sekadar tulisan yang tiada erti. Apa akan terjadi sekiranya keadaan di atas berlaku di peringkat Parlimen?
Bagaimana pula sekiranya kaum lain tiba-tiba menjadi majoriti pengundi? Ini boleh berlaku sekiranya jumlah kelahiran meningkat. Mereka sentiasa bersatu dan seandainya wakil mereka yang menang pada setiap kerusi yang dipertandingkan, maka di mana pula kita? Adakah Perlembagaan dapat menolong kita? Adakah Perlembagaan ini tidak dapat ditukar? Tidak mustahil mereka akan memenuhi Parlimen kita. Ketika itu, siapa yang akan mempertahankan hak kita? Begitu juga siapakah yang akan mempertahankan raja-raja kita dan tidak mustahil sekiranya negara kita menjadi sebuah republik? Di kala itu, siapa pula Perdana Menteri, timbalan menteri serta menteri? Adakah di dalam Perlembagaan kita tertulis bahawa wakil Parlimen perlu 50 peratus daripada wakil rakyat orang Melayu? Bagaimana orang Melayu boleh ada di Parlimen seandainya semua calon kita kalah? Atau apa yang akan terjadi sekiranya wakil kita adalah cuma minoriti dalam Parlimen?
Sekurang-kurangnya lihat saja jiran kita Singapura. Di mana orang-orang Melayunya? Kesemua perkara di atas tidak mustahil boleh berlaku 50 tahun lagi. Saya teringat saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Malaysia mencapai 70 juta penduduk. Sahutlah seruan ini wahai orang Melayu. Kita hanya tinggal kuasa. Lahirkanlah kuasa-kuasa ini. Jangan kuasa ini pun hilang kerana persengketaan kita. Hayatilah kembali lagu Warisan. Nyanyikanlah setiap hari agar semangat kekitaan akan kembali subur. Selama ini, orang Melayu sentiasa diajar supaya sama-sama bersatu dengan kaum lain dan bertolak-ansur dengan mereka. Saranan ini nampaknya amat berjaya sehingga kita lupa yang semangat kekitaan juga amat penting untuk survival bangsa Melayu sendiri.
Ingatlah demokrasi juga bermaksud siapa yang banyak akan menang. Kalau kita kuat dan gagah tetapi tak ramai, masih tak boleh menang. Sekiranya di pihak lagi satu, mereka mempunyai ramai penyokong walaupun semuanya berpenyakit dan uzur, mereka tetap boleh menang. Jadi, berhentilah bersengketa. Terimalah maksud peribahasa, ‘menang sorak kampung tergadai.’ lama juga tidak kedengaran slogan, ‘Bersatu teguh bercerai roboh’.
Ingatlah proses pelupusan kuasa dan hak bangsa Melayu sedang berlaku dan akan terus berlaku. Kuasa dan hak kita tidak semakin bertambah.
Takkan sejarah Melayu hilang di dunia. Tidak mustahil suatu masa nanti sejarah bangsa kita yang hancur akan menjadi satu subjek dalam mata pelajaran sejarah dunia, menjadi kajian dan pengajaran.
Jangan salahkan orang lain dan kaum lain seandainya perkara-perkara di atas berlaku. Kita perlu bertanggung-jawab. Amuk tidak berguna lagi...
...utusan-warisan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment