Monday, July 19, 2010

Daging kotak dari India bukan lembu


Pengguna keliru banding harga produk segar tempatan
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan daging import dari India yang dipasarkan di negara ini adalah daging kerbau dan ia dijual pada harga lebih murah, berbanding harga daging lembu tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata ramai pengguna tidak tahu bahawa daging import India yang lebih dikenali sebagai daging kotak dan dipasarkan secara meluas di negara ini adalah daging kerbau dan bukannya daging lembu.
Katanya, daging kerbau yang dijual di pasaran ketika ini adalah daripada gred biasa dan membolehkannya dijual pada harga lebih rendah, menyebabkan ramai pengguna membandingkannya dengan harga daging tempatan.

“Kita tidak mahu rakyat keliru dan menganggap daging kotak ini sebagai daging lembu, sedangkan tidak ada langsung daging lembu dibawa masuk dari India.

“Namun, terpulang kepada rakyat untuk memilih berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka, tetapi saya harap tidak ada lagi kekeliruan mengenai hal ini.

“Setiap tahun sebanyak 80,000 tan daging kerbau import dari India dibawa masuk ke negara ini dan ia amat popular di kalangan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.
“Dalam pasaran ketika ini memang daging kotak jauh lebih murah iaitu antara RM8 dan RM10 sekilogram, berbanding daging segar tempatan yang dijual pada harga RM17 hingga RM19 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di sini, semalam.

…berita harian
.....................................................................................
Kisah daging kerbau
SEORANG pensyarah yang membuat kajian berkaitan daging import memberitahu Awang bahawa hampir 80 peratus daging import yang berada di pasaran adalah dari India.
Di India, semua tahu bahawa lembu adalah ternakan suci bagi penganut agama Hindu yang merupakan agama rasmi negara tersebut. Mana mungkin lembu menjadi ternakan eksport India.

Menurut pensyarah itu, didapati ternakan yang disembelih secara komersial adalah kerbau yang selalu dirujuk sebagai Indian Beef. Ini bermakna daging import dari India yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat kita sejak sekian lama adalah kerbau dan bukannya lembu.

''Saya kecewa kerana rakyat kita disajikan dengan daging kelas tiga. Yang lebih menyedihkan selama ini kita tidak dimaklumkan bersungguh-sungguh bahawa daging yang dimport dari India adalah kerbau," katanya.

Berdasarkan kajiannya juga, ramai pengguna tidak mengetahui tentang perkara itu. Di India, kerbau digunakan untuk mengusahakan tanaman sawah iaitu membajak dan pelbagai kegunaan lain. Kerbau yang masih muda digunakan untuk bekerja dan yang melebihi lima tahun atau dianggap tua, dijadikan daging eksport.

''Cuba kita bayangkan, yang kita makan sudahlah daging kerbau, malah tua pula," katanya sambil menunjukkan lampiran kajian daging kerbau tua amat kurang khasiatnya, apatah lagi jika dibandingkan dengan daging lembu import dan tempatan yang lebih berkhasiat.

Awang tersentak kecil apabila diberitahu bahawa banyak negara termasuk Indonesia telah lama melarang import daging kerbau. Negara itu cuma mengimport daging berkualiti dari Australia.

Lalu Awang bertanya mengapa Malaysia mengimport daging kerbau dari India. Jawapannya - harga lebih murah.

Nampaknya faktor harga murah dijadikan kewajaran bagi lambakan daging kerbau di negara ini. Pertanyaan Awang lagi, mengapa hal ini tidak diberi penekanan kepada kerajaan, jawapannya - tidak mungkin berkesan.

Pensyarah itu mendakwa bisnes daging import terutama kerbau, sudah dikuasai kartel bukan Melayu. Itulah realitinya, makanan halal untuk Islam dikuasai bukan Islam.
Awang sekadar lontarkan isu ini untuk renungan semua demi kepentingan rakyat. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu menjelaskan kedudukan sebenar. Jika apa yang disampaikan ini salah dan tidak tepat, harap perbetulkan.

Tetapi yang lebih penting pada Awang ialah persoalan berkaitan keselamatan makanan (food security) yang merupakan antara tonggak utama dalam pertahanan menyeluruh sesebuah negara. Penternakan lembu dan kambing tempatan perlu diperhebatkan sebagaimana yang dibuktikan menerusi kejayaan Thailand.

Industri penternakan termasuk yang diusahakan oleh penduduk kampung boleh mendapat manfaat. Potensinya amat besar tetapi usaha yang ditampilkan nampak terhad. Kita tidak bersungguh-sungguh kerana lebih ghairah mengimport ternakan luar sehinggakan daging kerbaupun digambarkan sebagai lembu. Sebenarnya banyak lagi persoalan yang melingkari isu-isu penternakan. Agaknya apa lagi yang kita tidak tahu dan tidak diberitahu...

…utusan malaysia/awang selamat

No comments:

Post a Comment