Wednesday, July 7, 2010

Bersatulah perangi keruntuhan moral


SETIAP minggu kita dihidangkan dengan cerita-cerita yang memilukan di media cetak dan elektronik sama ada cerita buang bayi, buang janin, dadah atau khalwat. Cerita ini seolah-olah seperti perkara biasa dalam kehidupan hari ini. Keruntuhan akhlak dalam kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam kini berada di tahap amat kritikal.

Apa sudah jadi dengan bangsa Melayu sekarang ini kalau dibanding dengan sejarah Tanah Melayu dahulu yang mana bangsa Melayu merupakan bangsa yang kuat pegangan agamanya juga beradat dan beradab.

Adakah kita inginkan selepas ini berlaku permintaan yang cukup tinggi untuk membina rumah-rumah perlindungan untuk wanita yang terjerumus dalam lembah maksiat ini seperti mana terjadinya pembinaan pusat-pusat pemulihan dadah yang sehingga ke hari ini masih mempunyai permintaan.

Kalau diambil kira dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Jakim baru-baru ini yang menyatakan seramai 81,000 anak luar nikah atau dipanggil anak haram didaftarkan. Persoalannya berapa ratus ribu pula anak haram yang tidak didaftarkan?

Satu perkara yang amat menakutkan apabila pada masa akan datang anak-anak kita akan mendirikan rumahtangga, mungkinkah menantu kita nanti tergolong dalam kumpulan anak haram ini?

Masa untuk orang Melayu bangkit bagi mengerakkan usaha-usaha bagi mendekati golongan muda dengan pelbagai aktiviti perlu digerakkan dengan kadar segera termasuklah program yang bercirikan motivasi. Semua orang Melayu tidak kira anda dari golongan mana perlu memainkan peranan sama ada di kalangan ahli keluarga, jiran dan juga kawasan setempat.

Kepada jemaah masjid atau surau, lihatlah di kalangan rakan-rakan yang berjemaah dengan anda. Adakah majoriti daripada mereka terdiri dari golongan muda atau tua seperti anda.

Wujudlah pelbagai program yang bertepatan dengan kehendak remaja. Masjid atau surau bukan hanya tempat mendirikan solat semata-mata. Adakah kita sanggup menjadi bangsa Melayu yang suka angguk-angguk dan geleng-geleng kepala sahaja terhadap gejala keruntuhan akhlak yang kini berada di zon bahaya tanpa sebarang tindakan.

Kepada ahli agama, anda perlu mencontohi Rasulullah SAW berdakwah. Maksimumkanlah ilmu yang anda ada. Kembalikan semula peranan masjid atau surau seperti zaman dahulu.

Ahli jawatankuasa masjid atau surau hendaklah mengerakkan usaha ini dengan bersungguh-sungguh. Jalankan pelbagai aktiviti bagi menarik minat golongan muda. Dengarlah suara hati golongan muda ini. Jika ada di kalangan pengerusi atau AJK masjid yang tidak boleh menjalankan tanggungjawab ini, anda perlu letak jawatan dengan serta-merta. Berilah peluang kepada orang lain yang sanggup untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan.

Kepada pihak sekolah yang saya lihat keperluan yang amat tinggi kepada sekolah menengah, perhebat kempen atau program yang dapat memberikan kesedaran kepada pelajar yang ketika ini kebanyakan pelajar-pelajar Melayu buta sejarah bangsa dan agama.

PIBG, ibu bapa dan juga orang awam perlu memainkan peranan bagi menggerakkan usaha-usaha ini. Kalau kita lihat pada bangsa lain, mereka telah lama bergiat secara aktif bagi membantu anak bangsanya cuma bezanya kita tak memahami bahasa mereka yang tersurat maupun yang tersirat.

Kita sebagai ibu bapa janganlah menyerahkan bulat-bulat kerja-kerja mendidik anak kita kepada pihak sekolah. Apa yang penting ialah persefahaman dan sikap saling membantu kedua-dua belah pihak perlu diterjemahkan dengan gerak kerja hasil dari idea, keringat dan seterusnya sehingga keperingkat pelaksanaannya.

Kepada pemimpin-pemimpin politik yang kini kita lihat ada dua buah parti politik mewakili bangsa Melayu iaitu UMNO dan juga Pas, nasihat saya janganlah anda terlalu sibuk bermain politik sehingga anda lalai kepada bangsa dan agama anda sendiri.

Bermuafakatlah sesama anda bagi kerja-kerja yang berkaitan dengan maruah agama dan bangsa.

Bangsa lain telah lama bersama dan bersatu hati sesama mereka walaupun mereka dari parti politik yang berlainan kerana mereka mempunyai matlamat yang sama, kenapa di kalangan anda amat berat untuk bersatu hati.

Adakah anda sanggup melihat bangsa anda sendiri dihina dan diperlekehkan oleh orang lain. Usaha-usaha ini tidak perlu dipolitikkan. Ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar kepada anda sebagai seorang pemimpin demi agama dan bangsa.

Kadang kala saya terfikir adakah tulisan saya ini dapat menyedarkan bangsa saya atau ia sekadar untuk tatapan sahaja tanpa ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat.

...JAMAL LULKHIR BIN JALUDIN
Pasir Salak

No comments:

Post a Comment