Thursday, July 8, 2010
Banjar oh Banjar
Kalaulah ungkapan keramat Hang Tuah “Tak kan Melayu hilang di dunia” boleh dipinjam atau diubah suai kepada “Tak kan Banjar hilang di Malaysia”, pastinya timbul tanda tanya tentang kewarasan atau kesahihan ungkapan tersebut.
Bahasa, adat resam dan ketulenan bangsa banjar sendiri semakin terhakis dibawa arus masa. Hari ini, ramai anak-anak Banjar di Malaysia sudah tidak tahu bertutur Bahasa Banjar walaupun ibu bapa mereka berketurunan Banjar. Salah siapa?
Ia berpunca dari ibu bapa. Ada sebilangan yang rasa malu bertutur dalam bahasa sendiri kerana diselimuti rasa ‘inferioriti kompleks’. Ada yang beranggapan Bahasa Banjar adalah bahasa picisan yang hanya layak dituturkan jauh di pedalaman. Ada pula yang berpendapat kalau tidak berinteraksi dengan anak dalam Bahasa Melayu, apabila bersekolah nanti, dia akan sukar menguasai bahasa kebangsaan. Apakah ada kebenarannya?
Zaman sebelum merdeka, anak-anak Banjar dihantar belajar di sekolah Melayu yang sekarang dikenali sebagai sekolah rendah kebangsaan atau SRK. Minggu dan bulan-bulan terawal di sekolah memang rasa janggal bertutur dalam bahasa yang dianggap asing oleh anak-anak Banjar. Habis waktu sekolah, mereka akan melupakan bahasa yang diajar di sekolah kerana sudah biasa berinteraksi sesama sendiri dengan satu-satunya bahasa yang mereka mahir. Pun begitu, penguasaan Bahasa Melayu oleh anak-anak Banjar tadi tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak Melayu tulen. Kalau diukur dari segi pencapaian keseluruhan akademik, ramai yang berjaya duduk di tahap teratas. Cuma yang jelas kekurangan hanyalah ‘bunyi kemelayuan’ pertuturan. Selanga Banjar sukar dibuang.
Setelah enam tahun belajar di sekolah Melayu, ramai pula yang lulus peperiksaan untuk meneruskan pelajaran ketahap menengah. Zaman itu, kalau tidak berjaya dalam peperiksaan yang diadakan khusus untuk menilai kemampuan pelajar, maka setakat darjah enam sahajalah yang dibolehkan. Bagaimana gerangan nasib anak-anak Banjar tadi yang terpaksa pula belajar berinteraksi dalam Bahasa Inggeris di sekolah menengah. Apakah mereka harus mengetepikan Bahasa Banjar agar dapat menguasai Bahasa Inggeris dan Melayu?
Disebabkan kedangkalan dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan ada pula yang tidak tahu langsung, maka pelajar-pelajar dari sekolah Melayu, Tamil dan Cina tidak terus diterima belajar di tingkatan satu. Selama setahun, anak-anak Banjar tadi terpaksa belajar di Remove Class sebagai persiapan untuk ke tingkatan satu. Walaupun semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pula adalah salah satu dari mata pelajaran tadi, namun anak-anak Banjar tulen tidak meminggirkan Bahasa ibunda mereka. Masa belajar mereka terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris, diluar bilik darjah bertutur dalam Bahasa Melayu dan bila balik ke rumah cuma Bahasa Banjar yang mampu difaham oleh masyarakat kampung. Kalau ada yang gatal lidah cuba bertutur dalam bahasa lain, mereka akan dipersenda. Begitu kuat adat dan semangat Bangsa Banjar dizaman itu.
Tamat persekolahan, ada yang meneruskan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan ramai pula yang meninggalkan kampung mencari rezeki di tempat orang. Namun bila balik bercuti, anak-anak Banjar yang sudah ‘jauh berjalan dan luas pandangan’ tidak sekali-kali melupakan bahasa ‘keramat’ yang sekian lama menjadi bahasa perantara di kampung halaman. Anehnya, rakan sebaya yang sama-sama memanjat pokok, mandi di sungai bermain lumpur tidak segan silu meminggirkan bahasa sendiri. Akhirnya, Bahasa Banjarnya rosak dan Bahasa Melayunya pula hancur. Betapa tidak…kepekatan sebutan atau lidah Banjar mana mungkin dapat disembunyikan. Dan anak-anak Banjar yang sesekali dapat peluang melepaskan kerinduan memupuk dan menyubur kembali bahasa ibunda hanya mampu mengeluh sambil bertanya kepada diri sendiri “AKAN PUPUSKAH BAHASA BANJAR DI MALAYSIA?”
...utuhpaloi.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment