Thursday, July 22, 2010
Senator tegur menteri, timbalan dan pegawai kementerian
KUALA LUMPUR 21 Julai - Bermula dengan menteri, timbalannya serta menteri berstatus senator; syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengkhianat negara, semuanya terkena 'libasan maut' Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Musa memang terkenal dengan kelantangan yang disampaikan dalam nada bersahaja sambil berseloroh, dan hari ini sekali lagi beliau membuktikan kejaguhannya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau memulakan perbahasannya dengan menegur menteri, timbalan dan pegawai kementerian yang tidak bersungguh-sungguh untuk hadir ke Dewan Rakyat bagi mendengar Ahli-Ahli Dewan Negara membahaskan perkara yang begitu penting iaitu RMK-10.
"Kita tidak boleh salahkan pegawai kementerian kerana ketua mereka sendiri tidak menunjukkan teladan baik. Apabila menteri dan timbalannya sekejap ada, sekejap tiada, bagaimana pegawai hendak menghormati mereka?
"Apa yang sedihnya, ada menteri yang dilantik atas tiket senator pun tidak hadir, sedangkan jika tiada Dewan Negara mereka ini tidak boleh menjadi menteri. Jadi kenalah bersyukur. Mungkin mereka sibuk tetapi masalahnya, Perdana Menteri dan timbalannya boleh pula datang," katanya.
Seterusnya, Musa menyentuh pula berkenaan perilaku GLC yang dianggap gagal menjalankan fungsi sebenar mereka iaitu untuk membangunkan negara dan rakyat.
"Apa yang berlaku sekarang amat mendukacitakan. Kita bukannya cemburu dan ingin mengaibkan sesiapa tetapi tidak mahu lagi 'tikus-tikus gemuk' yang hanya fikir untuk menggemukkan diri sahaja, hingga pegang dua-tiga jawatan dalam GLC seolah-olah tiada lagi orang yang layak di negara ini.
"Mereka ini sudah terlalu lama dalam GLC, cuma untuk hangatkan kerusi dan mahukan ganjaran sahaja sebab itulah GLC ini sentiasa rugi,'' katanya.
Musa juga menegur GLC yang lebih banyak bersifat membodek pemimpin daripada melaksanakan tugas hakiki mereka yang sebenarnya.
"Jika ada pemimpin besar negara maka di situlah pelbagai projek dan aktiviti akan dibuat. Contohnya semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, semua GLC berebut-hendak buat projek di Kepala Batas.
"Hinggakan semasa ibadah korban, berlori-lori lembu dihantar ke situ, hinggakan sampai setahun orang-orang Kepala Batas tidak habis-habis makan daging korban. Tetapi kini apa jadi, terlalu sukar untuk Pak Lah hendak mencari pihak yang ingin menaja lembu korban," katanya.
beliau merayu kepada kerajaan terutama Kementerian Kewangan supaya melihat prestasi GLC dengan mata hati, buang individu yang gagal berfungsi kerana syarikat berkenaan bergerak atas duit rakyat.
Tegas Musa, kerajaan amat perlu bertegas apabila berurusan dengan IPP dengan mengambil kira kebajikan dan kepentingan rakyat yang perlu pada setiap masa diutama dan didahulukan tanpa sebarang kompromi.
Dalam pada itu, apabila menyentuh mengenai portal politik The Malaysian Insider yang kononnya dibiayai oleh individu yang pernah mendapat projek bernilai bilion ringgit daripada kerajaan, Musa menegur Kementerian Dalam Negeri yang dianggap seperti tidak membuat kerja.
"Saya hendak tanya kementerian itu, bagaimana orang biasa seperti Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah boleh mendapat maklumat terperinci mengenai individu itu yang menggunakan kekayaan yang diberi kerajaan untuk menghancurkan negara, tetapi mereka masih lagi menyiasat tanpa tindakan diambil," katanya.
...utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment