Friday, February 5, 2021

Bolehkah Melayu Tolak Rasuah?

Baru-baru ini, saya amat teruja bercampur hairan apabila seorang pemilik syarikat media tanah air melancarkan perang membanteras rasuah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tak heboh sedemikian. Ahli politik lagilah tak bising. Akademia buat tak kisah saja pasal rasuah. Tapi si pemilik surat khabar Melayu ini nampak bersungguh-sungguh nak perangi rasuah.

Mula-mula saya ingat nawaitu orang itu kut kut lah nak bersandiwara politik, mungkin nak jadi menteri atau ahli Parlimen. Manalah tahu. Tetapi setelah saya mendengar ucapan-ucapan dan tulisan-tulisan beliau, orang ini betul-betul sahih nak banteras rasuah.

Apa kaedah beliau? Antara yang saya faham, beliau menyarankan orang muda dalam parti politik menolak pemimpin lama, terutama yang bergelumang dengan rasuah. Beliau sebut pemimpin UMNO yang dibicarakan pasal rasuah perlu ditolak. Yang pelik sikit, pemimpin lama seperti Tun M dan Anwar pun beliau kata all must go. Jadi, mungkin kaedah beliau adalah tolak geng lama, ambil orang muda bersih putih. Itu agaknya.

KITAB
Antara kaedah beliau, orang Melayu perlu kembali kepada ajaran al-Quran. Baginya, al-Quran jelas mengandungi pesanan dan amaran menjaga amanah dan menolak kemungkaran seperti rasuah.

Saya rasa perkataan ‘rasuah’ tak ada dalam kitab tetapi memadai dengan menjaga amanah dan menegak keadilan untuk semua.

Ada lagi beberapa kaedah yang beliau sarankan tetapi saya hendak komen dua benda di atas. Pertama, pasal isu sosial dan politik, manakala kedua, isu agama. Rumusan saya, kedua-dua kaedah yang disarankan bakal menghadapi kegagalan. Biar saya jelaskan.

Bagi isu sosial dan politik, orang Melayu sudah lemak dibuai naratif, ada wang, ada kuasa. Siapa yang ajar mereka sedemikian agaknya? Ada yang kata PM tahun 1980-an, ada yang kata lebih awal lagi. Tiba-tiba maruah Melayu dikaitkan dengan kekayaan yang banyak dan cepat. Lagi banyak, lagi baik. Lagi cepat, lagi hebat. Tak payah buka kedai 7 pagi sampai 10 malam, 360 hari setahun.

Rasionalnya? Kuasa perlukan wang. Kalau ada wang, orang Melayu boleh berkuasa. Tak ada wang, boleh cakap kosong saja. Ramai politikus Melayu memang kerja dia cakap kosong saja. Jadi, orang Melayu rata-rata terpikat dengan naratif ini. Jadi, Melayu petani ke, Melayu jual goreng pisang ke, Melayu cikgu ke atau Melayu profesor ke serta Melayu arkitek ke, semua sokong geng Melayu pegang kuasa.

Sekarang jom tengok hal agama pula. Haa..yang inilah bola tanggung saya. Mengikut kawan kita yang nak banteras rasuah tadi, kita perlu betulkan agama dan jadikan ia pedoman untuk menjijikkan rasuah, macam kita makan benda tak halal.

Tetapi sayangnya baru-baru ini, daging halal pun dirasuahkan oleh orang Melayu. Ada juga ahli akademik luar negara yang tuduh pensijilan halal pun makan suap berjuta-juta. Kalau kita lihat pandemik Covid-19, yang banyak diakibatkan oleh pekerja-pekerja asing yang tinggal serumah macam ikan sardin. Siapa yang ‘sardinkan’ mereka?

KHUTBAH
Pada pandangan saya, orang agama tak kisah pasal rasuah. Bukti pertama, khutbah Jumaat. Berapa kali kita dengar tentang bahaya dan dosa besarnya rasuah? Yang kita dengar, dosa besar minum alkohol, dosa besar lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT), dosa besar berzina dan pelacuran dan dosa besar jadi pemikir liberal. Yang kita tak dengar, jenis-jenis rasuah, pemimpin-pemimpin besar berasuah, institusi agama pun tumpang berasuah dan golongan ustaz serta pemimpin politik Islam yang berasuah.

Saya semak khutbah Jabatan Kemajuan ISlam Malaysia (Jakim). Saya skrol tajuk-tajuk khutbah tahun 2020, tak ada rasuah. 2019, 2018, 2017, 2016 pun tak nampak. Saya terus search Google khutbah Jakim+rasuah. Baharu jumpa. Tahun 2013, tajuknya Kebersamaan Memerangi Rasuah. Maka saya pun bacalah. Mauduknya, khutbah itu bersikap terlalu umum.

Jadi, saya rumuskan, perjuangan membanteras rasuah bakal gagal. Sebabnya, narratif Islam kita dipegang oleh agamawan dan politikus agama yang berkepentingan. Tambahan pula, naratif wang dan kuasa tidak diperangi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau pun profesor Melayu.

Pepatah Melayu berkata, sekali air bah, sekali pantai berubah. Pepatah moden pula berbunyi, sekali Melayu rasuah, alamat sukar nak ubah-ubah.

Oleh: PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi

No comments:

Post a Comment