BANGI – Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandang serius aduan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan aplikasi Sugarbook sebelum ini, berkemungkinan besar masalah tersebut sudah dapat diatasi.
Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris menyifatkan, gejala yang didakwa semakin serius itu merupakan suatu perkara malang menimpa negara dan rakyat.
Katanya, lebih mendukacitakan apabila wujud dakwaan ramai anak gadis dari universiti awam dan swasta mendaftar untuk menjadi ‘sugar baby’.
“Mengimbas kembali ketika pertama kali munculnya poster iklan di dua billboard (Sugarbook), terdapat beberapa individu dan juga pertubuhan Islam yang tampil memberi komen dan membidas perkara ini.
“Pada masa itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Menteri Pendidikan pula, Dr. Maszlee Malik.
“Malangnya, walaupun telah ditegur namun tiada sebarang tindakan dan reaksi positif dibuat oleh kerajaan PH pada masa itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Rashidi berharap, kerajaan yang diberi mandat ketika ini iaitu Perikatan Nasional (PN) dapat bertindak bagi memperbetulkan keadaan.
“Diharap selepas tersiarnya bantahan ini dan mengambil serius penularan maksiat pelacuran di kalangan pelajar universiti, pihak berwajib harus segera mengambil tindakan.
“Jangan asyik sibuk menjaga kerusi dan memandang isu ini remeh sedangkan ia menimbulkan kerisauan di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke universiti dengan harapan yang besar,” katanya lagi.
Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia diletakkan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari ‘sugar daddy’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment