PETALING JAYA: Tumpuan keterlaluan terhadap Islam di sekolah menyebabkan pelajar Melayu terpinggir daripada pendidikan yang diperlukan mereka untuk berjaya dalam hidup, kata Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir berkata, pada masa ini, tumpuan tidak diberikan kepada sains dan teknologi, sebaliknya pengajaran agama dititikberatkan secara keterlaluan “seolah-olah setiap murid akan menjadi ulama”.
Mahathir berkata, tumpuan yang diberikan itu melampaui objektif asal pendidikan agama iaitu menerapkan nilai-nilai asas Islam.
“Namun, pada masa ini, mereka sedang menambah waktu pengajaran dan jumlah pelajaran untuk mengajar Islam sehingga melebihi apa yang diperlukan oleh (pelajar) orang Islam biasa.
“Ia seolah-olah setiap pelajar akan menjadi ulama. Ini tentunya bukan tujuan kami,” kata Mahathir.
“Natijahnya, mereka tidak akan menguasai bidang lain, khususnya sains dan matematik yang amat penting untuk memperolehi mata pencarian,” kata Mahathir yang pernah menjadi menteri pelajaran bawah pentadbiran Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.
Beliau menegaskan keperluan pelajar memperolehi pendidikan seimbang iaitu penerapan nilai-nilai Islam dan juga penguasaan akademik, demi menjamin masa depan mereka di alam pekerjaan.
Mahathir berkata fokus keterlaluan kepada Islam dalam kurikulum pendidikan bukan dicetuskan oleh perubahan dasar, sebaliknya ia agenda “menteri tertentu dan pegawai awam” dalam menyebarkan Islam.
“Mereka ini mempunyai tafsiran sendiri mengenai apa yang diperlukan di sekolah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai Islam,” kata beliau.
Mahathir berkata penggubal dasar bertindak demikian untuk meraih sokongan kaum Melayu demi kelangsungan politik, sekali gus mengenepikan keperlun pelajar menimba pengetahuan akademik untuk berjaya dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah.
“Di Malaysia, sebagai contoh, masyarakat Melayu amat warak. Mereka mahu belajar agama tetapi agama tidak menjadikan mereka layak untuk kerja sebagai jurutera atau peguam,” kata Mahathir.
Mahathir berkata bidang seperti pendidikan sastera liberal (liberal arts) yang secara tradisi cukup popular dalam kalangan kaum Melayu juga tidak menepati keperluan majikan pada masa ini atau di masa hadapan.
“Tumpuan sekarang adalah teknologi. Jika anda tidak belajar teknologi, anda tidak akan memperolehi pekerjaan. Jika anda menceburi bidang sejarah, bahasa atau sepertinya, anda tidak akan memperolehi pekerjaan,” kata Mahathir.
Nilai pendidikan
Mahathir juga berkata sistem pendidikan sekarang mempunyai peranan lebih benar dalam membentuk keperibadian baik sebagai persediaan untuk generasi muda menjadi pemimpin di masa hadapan.
Beliau berkata tanggungjawab sekolah dan guru dalam aspek ini lebih menyerlah kerana semakin ramai ibu bapa bekerja dan tidak mampu memberikan bimbingan secukupnya kepada anak.
“Dahulu, ibu bapa akan mengajar anak mereka mengenai nilai-nilai baik…seperti jangan mencuri, jangan melakukan perkara dosa, dan seumpamanya.
“Namun sekarang (banyak) ibu-bapa bekerja dan tidak dapat meluangkan masa cukup untuk membimbing anak mereka. Jadi bimbingan ini mesti diperolehi dari peringkat tadika lagi,” katanya.
Beliau juga berkata pelajar yang akan berjaya dalam hidup adalah mereka yang sanggup bekerja keras.
“Mereka yang hanya mahu mendapatkan duit percuma daripada kerajaan, tidak akan berjaya (dalam kehidupan),” kata Mahathir. - freemalaysiatoday.com
No comments:
Post a Comment