Datuk Hamidah Osman dedahkan isu TRM begini. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) jawab begitu. Polis ada ketegasannya. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula ada maruahnya.
Saya, buat sementara waktu ini jadi ‘hakim’ sahajalah untuk melaporkan fakta dan bukti-bukti dakwaan yang dikatakan telah berlaku penyelewengan TRM.
Dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu bukan benda kecil. Seluas 641.6 hektar TRM di mukim Sitiawan, daerah Manjung, Perak didakwa Hamida telah bertukar milik kepada bukan Melayu sejak 2005. Tanah tersebut telah dipecah kepada 317 lot dengan 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan kini menjadi ladang kelapa sawit.
SUSUT
Kalau tidak silap saya, penyusutan TRM di seluruh negara pernah dibangkitkan pada 2018 oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang juga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM). TRM kini didedahkan Haniff, hanya tinggal 12 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini. Hasil siasatan MPM mendapati pengurangan sebanyak 38 peratus itu berlaku sejak 2016.
“Banyak TRM ini diambil untuk dibuat jalan, buat itu, buat ini tetapi tidak digantikan semula. Ada yang mahu diganti tetapi ada pihak lain yang berpakat untuk tidak menggantikan tanah yang diambil.
“Ini bukan konspirasi, tetapi nak senang. Sesetengah tanah ini masih milik kerajaan, belum jadi hak Melayu tetapi bila dah ambil tidak mahu pulang semula,” kata Hanif.
Di sudut hati saya, teringin sangat untuk lihat 50 peratus bumi TRM ini sekurang-kurangnya 75 peratus milik Melayu.
‘KESAKTIAN’ TRM
TRM boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:
a) Rizab Melayu (Enakmen Rizab Melayu)
b) Tanah Melayu (diberi milik) terdiri daripada tanah-tanah yang sudah dibuka melebihi 40 tahun atau tanah-tanah yang tinggal diduduki oleh kaum Melayu
c) Tanah Pertanian Melayu mengikut Enakmen Tanah 1987 (Malay Agricultural Settlement).
Berdasarkan perangkaan Sumber Asli Alam Sekitar, keluasan TRM di negara ini pada 2009 meliputi 4,087,268.47 hektar. Tetapi hanya 33.55 peratus yang telah diusahakan secara produktif.
TRM tidak boleh dicagarkan meskipun realitinya banyak tanah terbabit yang sudah dicagarkan kepada pihak bank.
Mengikut undang-undang, sekiranya pembeli tidak tahu tanah berkenaan adalah TRM, itu bukan salahnya. Tetapi jika tahu dan masih menerima untuk membeli, maka terbatal perjanjian terbabit.
Waima apa pun, orang Melayu mesti pertahankan TRM. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak pertahankan.
Terpanggil juga saya untuk mengajak kerajaan menjadikan isu hak-hak orang Melayu sebagai satu pembelajaran di peringkat sekolah. Kelak generasi muda akan faham mengenai Perlembagaan Persekutuan dan keistimewaan orang Melayu.
Sepatutnya harus ada penjelasan kepada orang ramai berkenaan kandungan penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukankah kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum?Jika semua pihak faham, kita dapat kawal keadaan.
Dalam zaman tular atau viral hari ini, dengan ‘gong rebana’ WhatsApp, Telegram, Twitter, Facebook atau apa sahaja ‘lidah tangan’nya, jelas wujudnya ‘situasi’ berbahaya.
Di mana-mana orang akan persoalkan macam-macam benda.
TERKENANG SINGAPURA
Kita pun sudah hilang Singapura (1965) yang rakan saya sifatkan republik itu bumi terbaik dan termahal. Itu belum lagi kita cerita bandar-bandar ibu negeri dalam Tanah Melayu ini yang majoriti dimiliki dan diduduki bukan Melayu. Kekadang bila sesekali ke Johor, makan di Senibong, memandang ke seberang tambak sana, hati saya sayu dan kecewa.
Andai katalah Perdana Menteri pertama kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Lee Kuan Yew pada 1965, pulau itu barangkali masih kepunyaan Malaysia hari ini. Ah! Betapa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan.
Ingin saya melihat bumi milik Melayu bertambah nilai, menjadi aset terbesar dan termahal. Ini bagi menjana ekonomi Melayu sekurang-kurangnya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat Tionghoa.
Kaum lain kaya kerana mendapat jutaan ekar tanah, menguasai kota dan bandar serta miliki tanah strategik dan ladang yang subur. Pulau Pinang tiada tanah rizab Melayu (TRM)dan Kuala Lumpur hanya 2.75 peratus TRM.
Untuk makluman sebahagian besar anak bangsa yang masih belum mengerti takrifan TRM, ini adalah tanah-tanah yang dimiliki oleh orang Melayu dalam sempadan sesuatu negeri di negara ini.
Hak miliknya hanya boleh dipegang atau dipindahkan kepada orang Melayu. TRM wujud semasa pentadbiran kolonial British bagi menyekat penjualan tanah orang Melayu kepada orang asing.
Berikutan itu peruntukan pemilikan tanah kepada orang Melayu melalui enakmen tahun 1913 bertujuan memastikan tanah-tanah yang dimiliki oleh orang Melayu tidak dipindah milik kepada orang bukan Melayu. Ini demi menjaga kepentingan para petani, ladang-ladang dan kerajaan penjajah ketika itu.
Justeru, TRM merupakan salah satu daripada hak jaminan keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak keistimewaan orang Melayu yang merangkumi TRM telah dimaktub dalam Fasal 86 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Perkara 89 (1), setiap tanah yang telah diwartakan sebagai TRM sebelum Hari Merdeka 31 Ogos 1957 akan terus tertakluk kepada peruntukan enakmen TRM negeri-negeri.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment