Ketua parti Melayu terbesar itu menegaskan bahawa dia hanya menegakkan demokrasi serta keperluan bagi memilih kepimpinan parti.
“Saya mesti terus terjemahkan bahawa saya adalah seorang yang demokrasi dan disebabkan itu, pada pemilihan 2018, jawatan presiden ditandingi tiga orang.
“Kali ini, kalau tujuh orang nak bertanding pun (jawatan presiden), lebih ramai lebih baik,” katanya dalam satu program temu bual.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah menyatakan bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan tetap diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan.
Kenyataan Zahid itu seperti memberi “lampu hijau” bahawa beliau sedia meletakkan jawatannya sebagai pertaruhan. Kesediaan beliau itu tiba ketika parti itu berkocak mengenai siapa mampu menerajui UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). UMNO dilihat berada dalam krisis kerana Zahid sendiri berhadapan kes di mahkamah.
Pengumuman Zahid untuk membuka ‘gelanggang’ itu meningkatkan kehangatan bahawa akan berlaku pemilihan parti.
KELEBIHAN PENYANDANG
Persoalannya, siapa paling layak menerajui jawatan tertinggi dalam UMNO dan jawatan penting lain. Siapa mampu menyatukan ahli, diterima rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan lebih penting mengembalikan parti itu menduduki kerusi empuk di Putrajaya. Pemilihan presiden serta jawatan kanan lain akan menentukan sama UMNO mampu memenangi PRU-15.
Dari pengamatan Utusan Malaysia, beberapa pemimpin mungkin menawarkan diri mengisi jawatan Presiden UMNO.
Zahid, 68, walaupun berhadapan krisis kredibiliti berikutan pendakwaan rasuah, dijangka mempertahankan jawatannya. Dia yang memiliki kelebihan selaku penyandang masih menguasai sekurang-kurangnya sokongan 60 peratus bahagian.
Ketika UMNO dirundung malang dan tumbang sebagai kerajaan buat pertama kali dalam sejarah 60 tahun pada PRU 9 Mei 2018, Zahid menakhodai parti. Beliau sebelum itu adalah naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden.
Kalaupun sokongan terhadap Zahid terjejas, kemungkinan ia ‘dikacau’ oleh ketua-ketua bahagian pasca 2018 yang akan menolak kepimpinannya. Namun sebahagian besar ketua bahagian masih dibarisi muka lama sezaman dengan Zahid serta termakan budi dengannya ketika dalam kerajaan dahulu.
Kecuali keputusan mahkamah mendapati beliau bersalah, bagi kebaikan UMNO untuk menghadapi pilihan raya, Zahid mungkin menarik diri dan meletakkan parti di atas kepentingan peribadi.
TIADA ISU KREDIBILITI
Ketika ini calon yang dilihat layak mengisi jawatan nombor satu ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 64 tahun itu telah memangku jawatan itu serta menerajui parti untuk beberapa pilihan raya kecil ketika Zahid mengambil ‘cuti’. Dia juga dilihat berpengalaman dan tidak mempunyai isu kredibiliti atau baggage.
Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat merupakan teknokrat yang dibawa masuk politik era Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Penampilan istimewa profesional beliau oleh kerana datang dari Negeri Sembilan dengan dialek negeri serta cara pemilihan kata, seloka dan pepatah yang digunakan sangat menyenangkan ahli UMNO dan sebahagian besar orang Melayu.
Selaku orang nombor dua parti, Tok Mat walaupun belum teruji di Pusat, dilihat calon paling ideal sekiranya Zahid memberi laluan. Meskipun mendapat sokongan agar beliau bertanding jawatan presiden pada 2018, namun Tok Mat menolak peluang itu.
NAIB PRESIDEN PALING MENONJOL
Dalam kalangan tiga Naib Presiden UMNO ketika ini juga, yang paling menonjol ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini kerana beliau menguruskan pandemik Covid-19 secara harian sebagai Menteri Pertahanan merangkap Menteri Kanan (Keselamatan) selain dirinya yang kurang kontroversi.
Ismail, 61, berpengalaman luas sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Agak lengkap resume naib presiden ini yang dilihat akrab dengan akar umbi terutama dengan warlord-warlord di bahagian.
PERLU COMEBACK
Tetapi ramai pemerhati tidak menolak kekuatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Walaupun Hishammuddin, 59, lebih banyak masa membisu sejak kekalahan UMNO dalam PRU-14, dia mesti merasakan masanya telah tiba. Walaupun banyak spekulasi melihatnya cenderung kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin menegaskan tetap setia kepada UMNO.
Ini dilihat sebagai comeback yang perlu dilakukan walaupun jawatan yang sesuai kepadanya ialah timbalan presiden. Begitupun ekoran hubungan baik dengan kerajaan PN, ditambah berbesan dengan seorang pemimpin Bersatu, matlamat sama juga disasarkan beliau untuk terus meloncat ke saingan presiden.
Cuma Hishammuddin dicap sebagai ‘pemimpin yang meninggalkan medan perang yang tewas’ sebaik sahaja UMNO kecundang dalam PRU-14. Selepas sahaja paluan gendang perang terhenti, dengan BN tumbang, beliau ‘bersembunyi’.
Tetapi menjadi anak Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn, memberi kelebihan kepada Hishammuddin kerana UMNO biasanya senang memilih golongan bangsawan dan yang pernah berjasa dalam UMNO.
POLITIK SEGALANYA MUNGKIN
Nama lain yang turut dikaitkan adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 45; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta Pengarah PRU-15 UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, 73.
Kepada ramai ahli UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak masih dilihat sebagai antara punca kekalahan UMNO dalam PRU-14 manakala Tengku Razaleigh dilihat tidak mampu menggerakkan sokongan dalam kalangan golongan muda yang mahu pembaharuan. Faktor usia 83 tahun juga menjadi penghalang kepada Ku Li.
Khairy yang tewas dalam pemilihan presiden 2018 pada kedudukan tempat kedua dengan 51 undi berbanding Zahid, 93 undi dilihat menyepi diri dari akar umbi parti. Walaupun disenangi orang muda, penerimaan di peringkat akar umbi sering dipertikai.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak tidak menolak sebarang kemungkinan dengan ungkapan yang sering disebut “apa sahaja mungkin berlaku dalam politik”. Tajuddin adalah penggerak kepada Himpunan Melayu Bangkit dan Himpunan Penyatuan Ummah sehingga mencetuskan kejayaan kepada kebangkitan Muafakat Nasional dianggotai UMNO-Pas dalam tujuh pilihan raya kecil pasca PRU-14 terutama 2019/2020.
Jika wujud tag team dalam pemilihan nanti, mungkin pemimpin seperti KJ, Ismail Sabri atau Tajuddin akan bergayut kepada “kuda utama” dan menawarkan menjadi orang nombor dua dalam UMNO. Jawatan timbalan presiden boleh menjadi batu loncatan serta membeli masa sebelum melonjak ke takhta presiden.
SAINGAN SENGIT
Sementara itu, saingan untuk jawatan naib presiden parti tidak kurang menariknya. UMNO masih mempunyai ramai pemimpin pada peringkat negeri.
Perebutan tiga jawatan naib presiden pada 2018 menyaksikan persaingan antara Ismail Sabri yang di saat-saat akhir mendahului dengan 16 undi, diikuti Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15 undi), Datuk Seri Mahdzir Khalid (14 undi) serta Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (13 undi).
Begitupun dalam pertarungan sengit menyaksikan keputusan untuk ahli Majlis Tertinggi hanya dimuktamadkan sehingga lewat malam kerana empat bahagian di Kelantan perlu melakukan pengiraan semula undi, Khaled akhirnya mengisi slot Naib Presiden ketiga, meninggalkan Johari, bekas Menteri Kewangan II di kedudukan nombor empat.
Andai kata Mahdzir, Johari dan Khaled memilih untuk ke persaingan timbalan presiden, naib presiden dijangka disaingi oleh Ahli Parlimen Lenggong yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Shamsul Anuar dikenali akrab dengan orang muda UMNO memandangkan pernah menjadi presiden Majlis Belia Malaysia sejak 2005. Asyraf dan Nur Jazlan pula merupakan dua pemimpin muda dan aktivis yang paling lantang menyuarakan secara terbuka idea-idea dan isu untuk bukan sahaja memperkasakan kembali UMNO, malah mempertahankan parti dari ditohmah pembangkang.
Misteri yang sukar dijawab ialah seperti tarikh PRU-15 yang sukar dijangka. Adakah Zahid akan mengotakan kata untuk menobatkan demokrasi dan membenarkan pemilihan? Atau seperti ramai presiden UMNO lampau, menangguhkan pemilihan sebelum pilihan raya atas alasan ia akan memecahbelahkan parti.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment