Isu tanah rizab Melayu selesaiKUALA LUMPUR: Isu penyelewengan tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Sitiawan, Perak yang didakwa berpindah milik kepada bukan Melayu sudah selesai dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan, hasil pemeriksaan dan siasatan kerajaan negeri, status tanah tersebut masih lagi rizab Melayu.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah memberi penjelasan kepada pihak yang mendedahkan isu itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman, baru-baru ini.
“Hamidah sudah dimaklumkan secara rasmi oleh Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip semasa berkunjung ke pejabatnya baru-baru ini.
“Hamidah pun tahu (isu) sebab dia pernah menjadi Exco pada masa kejadian.
“Jawapan PTG adalah jawapan sebenar, tiada dolak dalik. Ia mesti diterima oleh semua pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Hamidah sebelum ini mendakwa, seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Sitiawan telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket dipercayai didalangi oleh pegawai kerajaan.
Dakwanya, pada 21 November 1997, kerajaan negeri telah memberi pajakan selama 99 tahun sebahagian tanah tersebut kepada sebuah syarikat yang pengarahnya seorang bukan Melayu.
Hasil siasatannya mendapati, tanah tersebut kini telah dipecah kepada 317 plot berbeza yang 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit. – UTUSANHamidah dakwa tiada pertemuan
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman menafikan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendakwa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah memberi penjelasan kepada Putra berhubung isu penyelewangan tanah rizab Melayu di negeri itu.
Hamidah berkata, tiada pertemuan yang dibuat dengan mana-mana pihak termasuk PTG serta Menteri Besar, sambil menyifatkan kenyataan Saarani sebagai satu usaha ‘menyapu isu tanah rizab Melayu ke bawah karpet’.
“Untuk makluman, saya tidak berjumpa pun dengan PTG atau pihak Menteri Besar baru-baru ini, seperti didakwa. Kali terakhir pertemuan dengan PTG ialah pada 6 Oktober tahun lalu. Waktu itu, saya berjumpa dengan Pengarah, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.
“Dalam pertemuan itu yang turut dihadiri adik saya, Datuk Fariz mengaku bahawa memang berlaku kesilapan, dan dia sebut pada saya, sebagai manusia, kita tidak lari daripada membuat silap. Itu kali terakhir saya jumpa, jadi bagaimana Menteri besar boleh keluarkan kenyataan yang tak tepat?
“Persoalannya, kenapa kerajaan negeri dan PTG seolah-olah mahu berdolak-dalik, adakah demi nak menyapu isu ini ke bawah karpet? ” soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama beliau berkata, usaha untuk membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar juga menemukan jalan buntu, apabila sehingga kini tiada sebarang pertemuan yang berjaya diatur.
“Di pihak Menteri Besar pula sampai sekarang masih tiada maklum balas untuk berbincang. Saya rasa, Menteri Besar tidak memahami isu sebenar dan saya yakin berita yang saya dedahkan dalam Mingguan Malaysia pada 24 Januari lalu tidak pun dibaca.
“Sekiranya beliau membaca, sudah pasti beliau akan memahami apakah isu sebenarnya yang berlaku. Kita tidak menafikan status tanah itu masih tanah rizab Melayu, tapi persoalannya kenapa ia dimiliki oleh bukan Melayu tanpa proses pembatalan dan penggantian yang mengikut Enakmen Rizab Tanah Melayu,” soalnya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment