Sunday, February 7, 2021

Guna Peluang Tekan Parti-Parti Melayu Supaya Ikut Tuntutan Mereka

MCA-DAP bukan semata tolak SOP Tahun Baru Cina,
tapi ‘kerajaan Melayu’
BANGI – Tindakan parti berasaskan kaum, MCA dan DAP yang senada mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina, hanyalah untuk menguji kerajaan yang didominasi parti Melayu.

Kedua-dua parti menggunakan peluang menekan parti Melayu yang memerintah supaya mengikut semua tuntutan, selepas melihat kerajaan sekarang lemah, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir.

“Ini persoalan pokok yang sebenarnya. Semua parti Melayu terlalu bergantung kepada kepada mereka meneruskan talian hayat.

“Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk menekan parti-parti Melayu yang memerintah agar mengikut semua tuntutan mereka dari sekecil-kecil isu hingga sebesar-besarnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, pemimpin MCA dan DAP dilaporkan senada tidak bersetuju dengan SOP untuk perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.

Bantahan itu dilihat apabila Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa senarai yang dikeluarka MKN ditarik balik dan diganti dengan versi yang disemak semula.

Pertikaian itu turut disambut Ahli Parlimen Bangi (DAP), Ong Kian Ming yang menjelaskan maksud makan besar untuk mereka tinggal di rumah sama hanyalah sebagai makan malam biasa dan bukan sebahagian daripada budaya perayaan itu.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menggesa kerajaan untuk mengkaji semula SOP – kononnya dianggap tidak sensitif terhadap masyarakat Tiong Hua.

Dakwanya, kontroversi terbesar adalah melarang makan malam perjumpaan Tahun Baru Cina dan keluarga berkumpul.

“DAP meminta kerajaan persekutuan untuk mengkaji dan memperbetulkan SOP terbaru mereka untuk perayaan Tahun Baru Cina, yang bukan hanya tidak sensitif terhadap masyarakat Cina tetapi benar-benar tidak menghormati,” dakwanya.

Melihat ‘permainan’ mereka, Ustaz Sharipudin mengakui pendirian senada itu bukanlah baharu, cuma parti Melayu sahaja yang masih mendakwa ada kelompok mereka beraliran sederhana.

“Bangsa Melayu yang beragama Islam boleh menerima SOP Hari Raya Aidilfitri tahun lepas, mengapa mereka tidak boleh menerima SOP MKN untuk perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

“Kita lihat sudah banyak isu yang membabitkan kepentingan bangsa Melayu dan Islam tidak menjadi isu utama parti-parti Melayu kerana ingin menjaga hati parti bangsa lain dalam pakatan bersama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan menolak SOP MKN untuk perayaan Tahun Baru Cina ini adalah satu kejayaan untuk melemahkan kerajaan sedia ada.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak penolakan lain, bukan hanya membabitkan SOP tetapi akta atau perundangan yang menganggu-gugat kehendak bangsa itu.

“Kesemuanya senada, seiya dan sekata. Tidak berubah. Mereka tidak akan mengiktiraf mana-mana kerajaan Melayu yang memerintah Malaysia.

“Cuma mereka akan akur ketika mana kerajaan Melayu kuat, dan mula menekan setelah melihat kerajaan Melayu lemah sebagaimana sekarang ini,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment