Tuesday, May 24, 2022

Orang Malaysia Masih Lagi Mentaliti Rendah

SIKAP pengguna yang membuang sampah di Central Spine Road (CSR) seperti yang tular baru-baru ini jelas menunjukkan sikap buruk dan lemah dalam kebertanggungjawaban. Ia sekali gus mengiyakan kenyataan yang mengatakan Malaysia memiliki first class infrastructure, third class mentality itu tepat.

Sepatutnya sebagai rakyat, apalah salahnya menyimpan sampah atau sisa makanan dan membuangnya apabila sampai di lokasi yang menyediakan kemudahan tong sampah?

Pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi lebuh raya walaupun sudah membuat perancangan yang rapi dan jangka panjang mengenai di lebuh raya ini pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun wujudnya keperluan untuk menyediakan kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah walaupun orang ramai terpaksa berbayar termasuk tandas.

Amat janggal jika laluan CSR yang sepanjang hampir 400 kilometer dari Simpang Pelangai, Pahang hingga berhampiran sempadan Negeri Sembilan tidak disediakan kemudahan R&R dan hentian sebelah.

Sekiranya pihak berwajib bercadang untuk menyediakan kemudahan tersebut, maka tidak sepatutnya menunggu sehingga lebuh raya siap sepenuhnya. Kemudahan itu sepatutnya di bina di jajaran jalan yang telah dibuka. Pihak berwajib sewajarnya menyediakan kemudahan sekurangkurangnya hentian sebelah jika tidak bercadang menyediakan R&R disebabkan sistem lebuh raya tanpa tol.

Dengan cara menswastakan pengoperasian hentian sebelah kepada mana-mana pengusaha yang berminat dan layak dapat memudahkan pengguna ketika melalui lebuh raya tersebut.

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment